Diterbitkan pada 10 November 2024, 11:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sedang merangka perancangan lanjutan susulan daripada kejadian kelunturan karang pada tahun ini.

Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Datuk Adnan Hussain dalam satu kenyataan berkata, antara perancangan DOF termasuklah menguruskan impak setempat, ancaman dan tekanan kepada terumbu karang melalui pengurusan terumbu karang yang berterusan, mengenal pasti terumbu dan spesies karang yang berdaya tahan, restorasi karang, pemantauan berterusan serta pembangunan polisi berkaitan dengan pengurusan dan tindakan kelunturan karang di Malaysia.

Ujar beliau,

Proses pemulihan karang yang mengalami kelunturan boleh mengambil masa dari beberapa minggu hingga beberapa bulan. Jadi, usaha pemantauan akan dijalankan secara berterusan.

Beliau berkata, tanpa usaha pemuliharaan yang kukuh dan tindakan global untuk mengurangkan perubahan iklim, kekerapan dan impak kejadian pelunturan karang berkemungkinan meningkat dan seterusnya mengancam kelangsungan hidup jangka panjang ekosistem terumbu karang.

Tambah beliau, pemantauan masih dijalankan sehingga kini oleh DOF dan Notis Penghentian Sementara Aktiviti Restorasi, Pemindahan Karang dan Sebarang Aktiviti Sentuhan Fizikal dengan Karang yang dikeluarkan oleh DOF pada 2 Julai lalu masih berkuat kuasa. Notis ini akan dibatalkan setelah keadaan terumbu kembali pulih sediakala.

Katanya, berdasarkan kejadian kelunturan karang yang melanda terumbu karang di perairan Malaysia bermula pada Mei yang lalu, yakni hampir 50 peratus terumbu karang, khususnya di Taman Laut mengalami kelunturan, tempoh pemulihannya adalah berbeza mengikut lokasi.

Jelasnya,

Berdasarkan data cerapan suhu permukaan air oleh stesen pemantauan tetap kualiti air di Taman Laut mendapati bahawa suhu air laut telah kembali turun bermula pada September dan kini suhu telah kembali pada tahap normal purata tahunan, iaitu antara 29 darjah Celsius hingga 30 darjah Celsius.

Ujarnya, hingga Oktober 2024, terdapat pemulihan yang berlaku secara perlahan di beberapa terumbu di perairan Taman Laut tetapi purata peratusan karang mati adalah lebih tinggi berbanding dengan karang hidup semasa tempoh pemulihan berkenaan.

Ulas beliau,

Peningkatan peratusan karang mati adalah disebabkan oleh terdapat terumbu karang yang tidak berdaya tahan terhadap perubahan suhu yang meningkat secara mendadak dan berpanjangan, sekali gus membuktikan bahawa perubahan iklim melalui peningkatan suhu air laut memberikan impak yang ketara kepada kesihatan terumbu karang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi