Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor telah mencipta tiga kejayaan bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Inovasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tahun 2024.
Sambutan yang mengangkat tema “Aspirasi Inovasi Memacu MADANI” ini merupakan acara tahunan yang meraikan inovasi dan idea kreatif hasil ciptaan warga KPKT.
Tiga pasukan yang mewakili JBPM Negeri Selangor telah mengukir kenangan manis apabila diumumkan sebagai naib johan bagi Anugerah Inovasi Menteri (kumpulan FRIST), tempat ketiga bagi Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (kumpulan Utara) dan merangkul johan bagi Pameran Terbaik Kumpulan Inovatif dan Kreatif (kumpulan EPIC).

Kumpulan FRIST yang dianggotai oleh pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong telah membawakan projek yang diberikan nama “HIKE”, yakni akronim kepada helpful, informative, keep calm dan effective yang merupakan inovasi sistem papan tanda bagi meningkatkan kecekapan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tersesat.
Projek yang telah dinobatkan sebagai naib johan Anugerah Inovasi Menteri itu sebenarnya dapat memudahkan pendaki yang tersesat untuk mengetahui lokasi keberadaan mereka serta mencari jalan keluar ke tempat yang lebih selamat.
Kumpulan kedua yang mewakili JBPM Negeri Selangor merupakan pasukan yang dianggotai oleh pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara yang menggelarkan pasukan mereka sebagai kumpulan Utara.

Kumpulan Utara telah mempertaruhkan projek yang diberikan nama “Fire Guard”, satu projek inovasi yang dapat mengesan kebakaran yang berlaku di premis atau bangunan serta berupaya menghantar maklumat kebakaran kepada pasukan penyelamat dan pemilik premis.
Kumpulan Utara sebelum ini pernah menyandang johan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif peringkat JBPM Negeri Selangor.
Seterusnya, kumpulan EPIC yang berjaya merangkul johan bagi Pameran Terbaik Kumpulan Inovatif dan Kreatif mempertaruhkan projek yang diberikan nama “i-SWISS” dalam membantu pengurusan sumber air ketika operasi dan menjadikan pengendalian jentera lebih efisien.

Kumpulan EPIC merupakan kumpulan kedua yang mewakili Balai Bomba dan Penyelamat Puchong yang diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Encik Muhammad Azizulhakim Idris.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Taib.
Untuk rekod, sebanyak 57 penyertaan telah diterima bagi penyertaan dalam Sambutan Hari Inovasi KPKT pada tahun ini berbanding dengan 25 penyertaan pada tahun lalu.
Selain itu, sebanyak 16 penyertaan telah menyertai Anugerah Inovasi Menteri dan 37 penyertaan dalam Kumpulan Inovatif dan Kreatif.