Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Premis makanan yang kotor boleh dikenakan tindakan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, individu yang ingkar arahan tersebut boleh didakwa dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut KKM, peruntukan bagi ciri kebersihan premis makanan, perkakas, amalan pengendalian oleh pengendali makanan dan pengangkutan makanan jelas diperincikan di bawah Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009, yakni terdapat 33 kesalahan boleh dikompaun.
Ujar KKM,
Mana-mana individu yang gagal membayar kompaun tersebut boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda hingga RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Dalam tempoh Januari hingga Jun 2024, sebanyak 910 premis telah diarahkan tutup kerana tidak bersih dan sejumlah 16 415 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.
Selain itu, daripada sejumlah 94 275 orang pengendali makanan yang diperiksa di seluruh negara, sebanyak 79 818 orang (84.7 peratus) pengendali makanan telah mendapatkan suntikan antitifoid.
KKM juga berkata, pemilik premis makanan bertanggungjawab untuk memastikan setiap pengendali makanan mengikuti Latihan Pengendali Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf oleh KKM.
Katanya,
LPM yang dijalankan adalah berdasarkan modul pengajaran standard yang telah ditetapkan oleh KKM yang merangkumi lima komponen utama termasuklah kebersihan makanan dan pengendali keselamatan dan kualiti makanan serta faktor kritikal keracunan makanan.
Latihan ini memberikan pengetahuan dan latihan asas kepada pengendali makanan dalam bentuk yang paling mudah difahami untuk dipraktikkan semasa di lapangan.
Tegas KKM, pemilik premis dan pengendali makanan di negara ini perlulah sentiasa mengamalkan amalan kebersihan dan keselamatan makanan yang baik dan mematuhi keperluan perundangan yang ditetapkan demi kesihatan dan kesejahteraan awam.
Kata KKM,
Orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan “Perhati dan Pilih” premis makanan yang bersih dan mempunyai logo Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) dari KKM serta mengamalkan “Lihat Hidu Rasa” kerana tindakan ini merupakan langkah awal dan cara paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.
KKM juga menjelaskan bahawa sekiranya seseorang itu ingin memuat naik sebarang foto atau video berkaitan dengan isu kebersihan dan keselamatan makanan dalam media sosial, maka lokasi premis makanan berkenaan hendaklah diberikan secara terperinci agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa.
Semua pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung dengan isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan yang berlaku, maka segera menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah, jabatan kesihatan negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan.