Diterbitkan pada 27 Oktober 2024, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gombak – Penerima Anugerah Khas Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi Anugerah Kejiranan Hijau tahun 2022, iaitu Kebun Kejiranan Komuniti Garden 8 sekali lagi melangkah maju ke hadapan apabila mula memperkenalkan menu sihat dalam senarai jualan makanan dan hasil tanaman menerusi program “Sunday Market” di Taman Perwira, Gombak, Selangor.

Program ‘’Sunday Market’’ merupakan aktiviti bulanan yang diadakan untuk menjual hasil tuaian tanaman yang diusahakan kepada masyarakat setempat di samping memupuk semangat kejiranan menerusi aktiviti gotong-royong dan aktiviti kemasyarakatan.

Selain itu, program ini turut dimeriahkan dengan aktiviti jualan pelbagai jenis makanan dan minuman seperti nasi lemak berlauk, lontong, soto, bihun, roti nan, roti titab, sup cendawan, produk pastri, teh, kopi tarik dan menu lain berdasarkan tema yang ditentukan.

Yang menariknya dalam program kali ini, hasil tanaman yang diperoleh di kebun Garden 8 digunakan sebagai ramuan kepada menu sihat dengan mewujudkan kaunter khas jualan makanan sihat.

Penjualan makanan sihat dalam program ini merupakan cetusan idea oleh Puan Aida Adnan bersama-sama rakannya setelah menghadiri kursus memperkasakan usahawan makanan sihat Rightdiet4u© bimbingan Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Sambutan untuk kali pertama menyediakan kaunter khas bagi jualan makanan sihat selepas menghadiri kursus usahawan makanan sihat bimbingan H-CARE, UKM amat menggalakkan dan kami akan terus menawarkan menu sihat dengan menggunakan hasil tanaman organik daripada kebun kami,” kata Puan Aida Adnan.

Antara menu sihat yang ditawarkan termasuklah gabungan makanan nostalgia tempatan dan moden seperti lempeng oat sayuran, ubi dan pisang rebus bersama-sama sambal bilis dan kelapa parut, pecal sayuran, sandwic dan sebagainya.

Antara menu sihat yang ditawarkan oleh Garden 8 dalam program “Sunday Market”.

Sementara itu, Ketua Projek Memperkasakan Usahawan Makanan Sihat Rightdiet4u©, YBrs. Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf berkata, inisiatif yang diusahakan ini ialah satu daripada langkah untuk mempromosikan dan menawarkan menu sihat kepada komuniti setempat.

“Sambutan daripada orang ramai menunjukkan bahawa menu sihat yang ditawarkan mempunyai pasarannya yang tersendiri dan berpotensi untuk dikembangkan,” jelasnya lagi.

Ujar beliau,

Program usahawan makanan sihat ini merupakan anjuran H-CARE bersama-sama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO dan Pusat Aktiviti Warga Emas untuk memperkasakan usahawan makanan dalam menawarkan makanan sihat kepada pelanggan, sekali gus membolehkan orang ramai mendapatkan makanan yang sihat.

Penyediaan lempeng oat sayuran secara langsung oleh salah seorang ahli komuniti Garden 8.

Dalam program tersebut, terdapat juga jualan produk tempatan dan barangan pertanian serta para pengunjung berkesempatan untuk menyertai bengkel melukis untuk kanak-kanak, aktiviti santai di kebun, aktiviti kitar semula dan aktiviti lain yang menarik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi