Diterbitkan pada 26 Oktober 2024, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Penganjuran Program Saintis Cilik Virtual 2024 boleh memupuk dan menyemarakkan minat terhadap bidang STEM dalam kalangan pelajar sekolah dalam usaha melahirkan generasi yang berdaya saing, kreatif dan innovatif bagi memacu pembangunan negara kelak.

Demikian ucapan Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam ucapan Perasmian Penutupan Saintis Cilik Virtual 2024 dan pengumuman pemenang bagi program berkenaan.

“Penganjuran pertandingan ini merupakan inisiatif yang baik oleh UiTM Cawangan Perlis untuk menyemai minat bidang STEM dalam komuniti sekolah rendah,” jelasnya lagi.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika menyampaikan ucapan secara maya bagi Program Saintis Cilik Virtual 2024.

Pemenang bagi program bercorak inovasi melalui penghasilan video kreatif dan berinovatif anjuran UiTM Cawangan Perlis menerusi Fakulti Sains Gunaan yang bermula sejak 1 Jun 2024 diumumkan secara maya pada hari ini.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim berkata pertandingan ini telah menerima sebanyak 44 penyertaan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 penyertaan adalah daripada kategori Super Junior, 17 penyertaan daripada kategori Junior dan 16 penyertaan daripada kategori Senior.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan atas sokongan yang amat memberangsangkan atas keterlibatan peserta dalam pertandingan ini yang secara tidak langsung memperkasakan bidang STEM dalam kalangan generasi muda,“ kata beliau lagi.

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim.

Pada masa yang sama, Ketua Juri, YBrs. Dr. Solhan Yahya menyatakan bahawa semua video yang dihakimi menepati syarat dan tema pertandingan.

“Berdasarkan penilaian dan penjurian daripada 47 juri profesional yang dilantik dari pelbagai bidang, kesemua video yang dihantar menunjukkan kualiti dan prestasi yang menepati kehendak pertandingan,“ kata beliau.

Ketua Juri Program Saintis Cilik Virtual 2024, YBrs Dr. Solhan Yahya membuat ulasan dan rumusan penjurian bagi Program Saintis Cilik Virtual 2024.

Para pemenang bertuah bagi setiap kategori layak mendapat wang tunai dan e-sijil yang ditaja oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Mommy Happy Group Sdn. Bhd.

Para peserta Program Saintis Cilik Virtual 2024.
Barisan jawatankuasa penganjur Program Saintis Cilik Virtual 2024 terdiri daripada barisan pensyarah Fakulti Sains Gunaan.

Turut mengikuti majlis ini ialah Pengarah Program, Puan Aziani Ahmad; Koordinator Program Fakulti Sains Gunaan, Dr. Faiezah Hashim dan Dr. Rosyaini Afindi Zaman; perwakilan penaja; dan tetamu undangan lain.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi