Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan Hari Penglihatan Sedunia 2024 bersama-sama pelajar tingkatan satu dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiara Permai, hari ini.
Hari Penglihatan Sedunia merupakan sambutan tahunan yang biasanya diadakan di seluruh dunia pada setiap Oktober dan sambutannya pada tahun ini bertemakan “Love Your Eyes Kids” atau “Sayangi Mata Anda”.
Sebanyak 150 orang pelajar tingkatan satu SMK Tiara Permai yang menyertai program ini mengunjungi empat reruai yang disediakan mengikut masa yang telah ditetapkan agar semua peserta dapat mempelajari dan memahami maklumat yang disampaikan mengikut jenis reruai.
Empat reruai tersebut ialah reruai pemeriksaan ketajaman penglihatan; reruai informasi mata juling; reruai informasi ketegangan mata digital (digital eye strain) serta reruai informasi rabun jauh dan rabun dekat.
Untuk sesi pemeriksaan ketajaman penglihatan, mata pelajar diuji sama ada boleh melihat dengan jelas ataupun tidak dengan menggunakan carta huruf yang dikenali sebagai Carta Snellen.

Dalam sesi ini, pelajar diminta untuk membaca barisan huruf dari jauh dan huruf ini akan menjadi semakin kecil di setiap baris untuk mengetahui sama ada pelajar memerlukan cermin mata ataupun memerlukan rawatan yang selanjutnya.
Ketajaman penglihatan yang normal ialah 6/6, yakni seseorang itu boleh melihat dengan jelas sesuatu objek dari jarak enam meter (20 kaki).

Pengarah Program, Puan Balqis Zafirah Mohd Rizan, pelajar tahun tiga program Optometri FSK, UKM berkata, tiga reruai lagi memberikan informasi berkenaan dengan penjagaan mata secara sihat.
Menurut beliau, strabismus atau mata juling berlaku apabila kedua-dua mata tidak selari dan tidak melihat ke arah yang sama pada masa yang sama, sekali gus menyebabkan mata bekerja secara tidak seimbang serta mengganggu penglihatan yang biasanya sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak, namun orang dewasa juga boleh mengalaminya.
Ujar beliau,
Rawatan untuk strabismus termasuklah memakai cermin mata khas, terapi mata atau kadangkala pembedahan untuk meluruskan mata dan setiap rawatan itu adalah sangat penting, terutamanya bagi kanak-kanak untuk mengelakkan masalah penglihatan dalam jangka masa panjang.
Beliau juga menerangkan bahawa rabun jauh (miopia) terjadi apabila seseorang itu sukar untuk melihat objek yang jauh dengan jelas atau apabila melihat sesuatu dari jarak jauh, objek yang dilihat kelihatan kabur.
Katanya lagi, rabun dekat (hiperopia) pula merujuk seseorang itu sukar melihat objek yang dekat dengan jelas atau apabila melihat sesuatu dari jarak dekat, objek itu kelihatan kabur.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Optometri, FSK, UKM, YBrs. Dr. Sumithira Narayanasamy turut menekankan tentang kepentingan informasi berkenaan dengan ketegangan mata digital yang berlaku apabila mata seseorang menjadi letih atau tidak selesa selepas terlalu lama melihat skrin komputer, telefon atau tablet, sekali gus berupaya menyebabkan mata kering, kabur, sakit kepala dan kesukaran untuk fokus.
Beliau menyatakan bahawa cara untuk mengurangkan ketegangan mata ini termasuklah berehat seketika, menggunakan peraturan 20-20-20, yakni melihat sesuatu pada jarak 20 kaki jauh selama 20 saat setiap 20 minit serta memastikan pencahayaan skrin yang sesuai.
Program tersebut ditaja oleh Focus Point Vision Care Sdn. Bhd. (penaja platinum); Pertubuhan Akademi Optometri Malaysia (penaja perak); penaja gangsa, iaitu IGEL, Big Eye Tropicana, Millenium Vision Optometrist, Jantzen dan Pertama Optometrist.
Secara keseluruhannya, program berkenaan telah berjaya mencapai objektif untuk menyampaikan informasi yang berguna tentang penjagaan kesihatan mata kepada pelajar tingkatan satu SMK Tiara Permai.


