Diterbitkan pada 21 Oktober 2024, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Program Eksplorasi Minggu Sains Negara 2024 bersempena dengan Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Perlis telah berlangsung di sekitar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, hari ini.

Program tersebut disertai oleh para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, misalnya warga Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pejabat Pilihan Raya Negeri Perlis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, KinderKaizen Arau dan KinderBebe Arau serta penyertaan daripada pelajar pascasiswazah dan kakitangan UiTM Cawangan Perlis.

“Penyertaan para peserta dalam eksplorasi ini menunjukkan sokongan padu daripada pelbagai pihak terhadap usaha murni dalam memperkasakan agenda sukan dan pendidikan yang disebatikan dengan kemajuan sains dan teknologi sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika berucap dalam program berkenaan.

YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika menyampaikan ucapan di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Sementara itu, Pengarah Program Eksplorasi Minggu Sains Negara 2024 merangkap Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim berkata, para peserta pasti membawa pulang kenangan dan pengalaman yang berharga apabila setiap elemen fizikal dan mental diuji sepanjang melengkapkan setiap tugas dan cabaran di setiap tempat pemeriksaan (check point).

Ujar beliau,

Antara cabaran yang menarik dalam program tersebut ialah keberanian para peserta diuji untuk berdepan dengan itik dan angsa di ladang; menunjukkan bakat mendeklamasikan puisi bertemakan sains dan mengasah kemahiran bekerja dalam kumpulan dengan aktiviti memasukkan pen ke dalam botol.

Beliau juga memaklumkan bahawa para peserta turut diuji dengan permainan minda dan menyusun suai gambar yang merangsang koordinasi tangan dan mata serta berpotensi meningkatkan kemahiran kognitif, afektif dan psikomotor dalam usaha menyelesaikan tugasan yang diberikan.

Salah seorang daripada peserta program, Encik Muhammad Nasrul Ahmad berkata, pelibatan beliau dan rakan-rakannya dalam program ini dapat merapatkan ukhuwah sesama ahli kumpulan dan memberikan peluang untuk melihat panorama kampus dengan lebih dekat.

Kata beliau,

Program ini wajar disokong dan dijalankan lagi pada masa hadapan kerana menyokong amalan hidup sihat dan berpotensi untuk mengetengahkan pelancongan dalam kampus.

Para peserta berusaha menyelesaikan tugasan memasukkan pen ke dalam botol di Tasik Elham, UiTM Cawangan Perlis.
Aktiviti mendeklamasikan puisi di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Cawangan Perlis.
Peserta turut berpeluang menyelesaikan tugasan di Unit Ladang, UiTM Cawangan Perlis.

Eksplorasi Minggu Sains Negara 2024 menyaksikan juara dalam pertandingan yang dianjurkan dimenangi oleh Kumpulan 10 dari SMK Syed Ahmad, naib juara menjadi milik Kumpulan 8 dari AADK Negeri Perlis, manakala Kumpulan 11 dari UiTM Cawangan Perlis memperoleh tempat ketiga.

Sesi penyampaian hadiah oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dan YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim kepada kumpulan yang memenangi pertandingan dalam program Eksplorasi Minggu Sains Negara 2024.

Hadiah khas pula dianugerahkan kepada Kumpulan 1 dari UiTM Cawangan Perlis yang diketuai oleh Encik Muhammad Nasrul Ahmad.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan Eksplorasi Minggu Sains Negara 2024 ialah Pengarah FAMA Negeri Perlis, Tuan Mohd Anzara Azizan: Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail serta tetamu undangan lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi