Diterbitkan pada 20 Oktober 2024, 22:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah menyantuni warga emas Bait AL-Mawaddah dalam program Sesi Sihat Bersama Komuniti (SEHATI) Bait Al-Mawaddah SEHATI Bait Al-Mawaddah bersempena dengan sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2024.

Program ini adalah hasil kerjasama antara Pusat Kajian Penuaan Sihat Dan Kesejahteraan (H-CARE), FSK, UKM dengan Bait Al-Mawaddah yang bertujuan untuk memberikan pendedahan dan khidmat kesihatan kepada hampir 100 warga emas yang tinggal di sekitar lokaliti Pusat Jagaan Warga Emas, di samping memperkenalkan FSK UKM kepada masyarakat sekitarnya.

Program dimulakan dengan ceramah Rahsia Diet Seimbang di Usia Emas oleh pakar diet daripada Program Dietetik, FSK, UKM, Puan Norhaishah Harun yang memperkenalkan diet seimbang yang perlu diambil oleh semua warga emas mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dan berdasarkan Pinggan Sihat Malaysia, Suku-suku Separuh.

“Semua warga emas perlu makan tiga hidangan makanan utama yang sihat pada setiap hari, yakni dalam satu hidangan makanan utama tersebut, suku ialah makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, suku untuk makanan yang mengandungi protein seperti ayam, ikan atau daging dan separuh bahagian lagi ialah sayur-sayuran atau buah-buahan,” hurai Puan Norhaishah Harun.

Selain itu, makanan diproses seperti sosej, daging burger dan makanan segera, terutamanya mi segera adalah tidak digalakkan, demi menjaga kesihatan dan mencegah daripada penyakit nyanyuk.

Pakar diet daripada Program Dietetik, FSK, UKM, Puan Norhaishah Harun ketika menyampaikan ceramah.

Puan Norhaishah Harun juga berpesan supaya selain menjaga makanan, warga emas juga perlu mengekalkan senaman harian ringan yang mampu dibuat dan tidak membahayakan kesihatan.

“Senaman ringan boleh dibuat dengan berjalan atau dengan senaman dan duduk di atas kerusi,” cadang beliau lagi.

Beliau juga telah memperkenalkan menu masakan sihat untuk sarapan pagi yang dipanggil Lempeng Lagenda.

Puan Norhaishah Harun (tengah) memperkenalkan menu Lempeng Lagenda yang sihat, sesuai dan mudah untuk dimasak oleh warga emas.

“Selain mengenyangkan, lempeng ini mengandungi karbohidrat, lemak, protein, serat, kalsium, zat besi dan disarankan untuk digoreng dengan menggunakan kuali tanpa minyak untuk mengurangkan kandungan lemak tepu yang tidak sihat,” jelas Puan Norhaishah Harun.

Antara warga emas yang hadir dalam Program SEHATI Bait Al-Mawaddah.
Warga emas diajarkan cara pemeriksaan sendiri payudara untuk tujuan pengesanan awal kanser payudara.
Ujian pendengaran untuk warga emas bagi mengenal pasti tahap pendengaran.

Sesi seterusnya diteruskan dengan khidmat pemeriksaan kesihatan seperti indeks jisim tubuh, tekanan darah, kandungan gula dalam darah, ujian pendengaran, pemeriksaan kendiri payudara dan skrotum untuk kanser payudara dan kanser skrotum serta khidmat nasihat pemakanan daripada doktor perubatan, pensyarah, klinisian dan pelajar daripada tiga program yang menyertai SEHATI Bait Al-Mawaddah.

Khidmat pemeriksaan kesihatan oleh doktor perubatan untuk warga emas yang menyertai program SEHATI Bait Al-Mawaddah.

Program seterusnya akan dilaksanakan pada Disember di Bait Al-Mawaddah yang berkonsepkan pemeriksaan kesihatan secara percuma untuk warga emas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi