Diterbitkan pada 19 Oktober 2024, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menzahirkan penghargaan atas keprihatinan terhadap pihak kerajaan yang memperuntukkan sejumlah RM2.27 bilion kepada NRES dalam Belanjawan 2025, iaitu kenaikan sebanyak 2.95 peratus berbanding dengan peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2024.

Menurut NRES dalam satu kenyataan, peruntukan ini bakal memberikan lebih banyak ruang kepada pihaknya untuk menumpukan usaha yang komprehensif demi membina masa hadapan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan lestari untuk rakyat Malaysia.

Katanya, peruntukan ini merangkumi RM1.41 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM0.86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Ujar NRES,

Melalui Belanjawan 2025, kerajaan kekal komited melindungi khazanah alam melalui peningkatan peruntukan Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada RM250 juta berbanding dengan RM200 juta bagi menyokong usaha negeri melindungi hutan dan hidupan liar.

Tambahnya, kriteria pengagihan EFT akan ditambah baik, iaitu sebanyak 50 peratus peruntukan yang diagihkan tertakluk kepada prestasi perbelanjaan kerajaan negeri berbanding dengan 30 peratus pada masa ini.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan di bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan dan Smart Patrol di kawasan hutan simpanan kekal dalam Central Forest Spine untuk melantik 2500 orang renjer komuniti berbanding dengan 2000 orang pada tahun ini.

Menurut NRES, hal ini melibatkan peruntukan sebanyak RM27 juta kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, RM33 juta kepada renjer komuniti Sabah dan Sarawak serta RM20 juta kepada komuniti orang asli.

Kata NRES,

Peruntukan besar ini merupakan bukti pengiktirafan kerajaan kepada renjer komuniti dalam membanteras aktiviti penyeludupan haram, pencerobohan tanah, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar demi memastikan kelestarian khazanah biodiversiti negara dapat dikekalkan.

Kerajaan turut menyokong pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) tempatan melalui modal perniagaan dan kerjasama serta pelaburan dari negara asing.

Tambahnya, kerajaan juga merancang untuk melaksanakan pemetaan potensi sumber REE di seluruh Malaysia pada tahun hadapan dan bercadang untuk meminda Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525] bagi memperkasakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, khususnya yang melibatkan elemen kuota perlombongan, kawalan, pemantauan, penalti dan pengenaan duti eksport.

Katanya lagi, NRES turut menyambut baik pelaksanaan Rang Undang-Undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon dan pengenalan cukai karbon di Malaysia.

Tambahnya, langkah ini adalah untuk membantu usaha transisi kepada ekonomi rendah karbon serta pencapaian sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih sifar pada tahun 2050 dan lain-lain sasaran perubahan iklim negara.

Selain itu, pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dengan pembiayaan sebanyak RM1 bilion bersamaan dengan jaminan kerajaan hingga 80 peratus bagi tempoh hingga tahun 2026 mampu menggalakkan sektor industri tempatan beralih kepada penggunaan produk dan perkhidmatan hijau dan rendah karbon.

NRES memaklumkan bahawa dalam usaha menyokong ekonomi kitaran, kerajaan juga memberikan potongan cukai ke atas sumbangan atau penajaan Smart Artificial Intelligence – Driven Reverse Vending Machine yang akan dilanjutkan hingga 31 Disember 2026.

Katanya, usaha ini secara tidak langsung akan memupuk budaya pengasingan sisa botol plastik dan membuangnya di tempat yang betul, seterusnya menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar yang lestari.

Kerajaan juga memberikan penekanan terhadap aspek penguatkuasaan alam sekitar melalui usaha pengukuhan penguatkuasaan oleh Jabatan Alam Sekitar dan penambahbaikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan peruntukan berjumlah RM3.9 juta.

Tambahnya,

Melalui penambahbaikan akta ini dapat memastikan aspek perundangan berkaitan dengan alam sekitar akan kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa.

NRES berkata, pihaknya komited untuk meneruskan dan melaksanakan inisiatif secara berterusan dalam memperkukuh sokongan pembangunan negara ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 2050.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi