Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Perlis yang diadakan di Dewan Seri Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat (YAB) Tuan Mohd Shukri Ramli.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Perlis amat berbesar hati kerana telah dipilih sebagai rakan peneraju dan dibantu oleh UiTM Cawangan Perlis selaku rakan strategik bagi pelaksanaan program ini.


Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Puan Ruziah Shafei mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan UiTM Cawangan Perlis selaku agensi pelaksana kerana dapat menganjurkan Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Perlis bersama-sama jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta rakan strategik yang lain.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri amat serius dalam membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan rakyat setempat.
Ujar beliau,
Antara tujuan utama pelaksanaan karnival ini adalah untuk meraikan kepelbagaian teknologi dan inovasi di Perlis dan memberikan peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka kepada seluruh rakyat di Perlis.
Beliau juga menyeru agar seluruh rakyat di negeri ini terus komited dan proaktif mengambil bahagian dalam penganjuran pelbagai program Minggu Sains Negara dan program anjuran MOSTI.
Katanya,
Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan komitmen yang jitu kepada MOSTI, khususnya dalam menjayakan pelaksanaan Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics Pertandingan Akhir Kebangsaan 2024 yang akan dilaksanakan pada November nanti di Putrajaya.
Seterusnya, Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi berkata, pemilihan UiTM Cawangan Perlis sebagai tuan rumah bagi Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Negeri Perlis jelas membuktikan bahawa keupayaan kampus ini untuk menyediakan kemudahan dan sumber manusia yang berkualiti dalam memastikan perjalanan karnival berlangsung dengan lancar.
Tambah beliau,
Para pengunjung juga boleh memanfaatkan peluang untuk menyertai pelbagai program yang menarik, misalnya persembahan STEM Talent Show, pertandingan Eksplorasi Minggu Sains Negara, pertandingan dan bengkel Robot Sumo, pameran STEM oleh institusi, agensi dan jabatan kerajaan, program derma darah dan sebagainya.


Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Sains, Teknologi, Inovasi dan Teknologi Hijau), Yang Berhormat Tuan Megat Hashirat Hassan; Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi, MOSTI, Encik Abdullah Daud; Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Cawangan Perlis dan tetamu undangan lain.