Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam era digital dan ledakan teknologi maklumat pada masa ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak boleh lagi berpuas hati dengan cara kerja konvensional, malah perlu berani untuk berubah, mencabar kebiasaan dan berani untuk meneroka sempadan baharu, terutamanya dalam mendepani gelombang ekonomi digital.
Demikian penegasan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Ahmad Suhaimi Endut ketika berucap dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi tadi.

Ketika berucap bagi pihak Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi, beliau berkata, tema “Aspirasi Madani Mencetus Inovasi” yang dipilih untuk majlis pada hari ini menunjukkan peri pentingnya semangat dan nilai yang terkandung dalam konsep madani diupayakan sebagai penggerak utama dalam melahirkan idea baharu dan penyelesaian kreatif, sekali gus memacu kemajuan negara.
Tambah beliau, tema ini amat signifikan dengan aspirasi negara dalam membina Malaysia MADANI yang sejahtera, makmur dan berdaya saing di persada dunia, malah inovasi merupakan nadi kemajuan sesebuah bangsa.
Katanya,
“Aspirasi madani menekankan aspek kesejahteraan, keterangkuman, kemampanan, inovasi dan hormat. Hal ini bermakna, inovasi yang dicipta bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemajuan dari segi ekonomi dan teknologi, tetapi bagi memastikan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial, pemeliharaan alam sekitar dan keharmonian negara.
Tema ini juga merupakan seruan untuk menjadikan nilai madani sebagai DNA dalam setiap usaha inovasi bagi mewujudkan sebuah bangsa yang bukan sahaja maju dan berdaya saing, malah sejahtera, adil dan harmonis
Menurut beliau, DBP perlu memainkan peranan yang penting dalam merealisasikan aspirasi madani yang digagaskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan enam tonggak utamanya, iaitu kesejahteraan rakyat; kemampanan; daya cipta; keyakinan; rasa hormat dan ihsan, terutamanya dalam aspek memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan budaya ilmu, sejajar dengan dasar KPM, iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.
Jelas beliau, dengan adanya inovasi ini bukan sahaja dapat memperkaya produk yang dihasilkan dengan elemen budaya tempatan, malah dapat memperluas pasarannya pada peringkat global.
Ujarnya,
Saya titipkan harapan dan saranan ini kepada seluruh warga DBP agar menjadi peneraju, bukan pengikut dan pupuklah budaya inovasi secara berterusan.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, Hari Inovasi DBP 2024 diadakan untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh warga kerja DBP yang telah menghasilkan kreativiti dan inovasi serta rakan sinergi DBP yang telah bersama-sama menyebarluaskan dan memartabatkan bahasa Melayu.
Dalam majlis berkenaan, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada para penerima anugerah bagi semua kategori, iaitu Anugerah Citra Karya, Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik, Anugerah Citra Projek dan Anugerah Inovasi Ketua Pengarah.
Beliau berkata,
Pada tahun ini, buat julung-julung kalinya, pengurusan DBP telah bersetuju agar nilai hadiah pertandingan anugerah inovasi dalam bentuk wang tunai ditingkatkan agar dapat memupuk dan menyemarakkan lagi amalan kreativiti dan inovasi dalam budaya kerja yang diamalkan.

Dalam majlis yang sama, DBP turut melancarkan Buku Teks Digital Interaktif “Cekap Baca” yang dibangunkan dalam bentuk aplikasi pembelajaran sebagai satu medium bagi mengintegrasikan teknologi dan kemahiran literasi dengan lebih menyeluruh.

Projek ini dibangunkan untuk menyokong usaha pemerkasaan KPM dalam mendigitalkan kandungan bahan pendidikan negara dan memastikan kesediaan DBP untuk melibatkan diri dalam pendigitalan buku teks apabila penerbitan buku teks kohort baharu bermula kelak.
Pembangunan aplikasi ini memberikan manfaat kepada murid dalam lingkungan umur lima tahun hingga sembilan tahun untuk menguasai kemahiran membaca selaras dengan pendekatan baharu yang akan diperkenalkan oleh KPM dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Aplikasi yang berasaskan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan ini juga akan membawa pengguna meneroka pembelajaran membaca dengan penerapan elemen interaktif seperti audio dan video, animasi dua dimensi dan tiga dimensi, latihan interaktif, gamifikasi dan realiti maya.
Turut hadir dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2024 berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan, pengarah-pengarah jabatan, ketua-ketua bahagian, karyawan DBP dan tetamu undangan lain.
Selanjutnya, majlis turut dimeriahkan dengan sesi penyampaian Anugerah Citra Karya yang merupakan pengiktirafan kepada karya yang dihasilkan oleh karyawan DBP, sama ada karya kreatif, bukan kreatif ataupun media baharu interaktif.




Selain itu, Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik juga diberikan kepada bahagian yang melaksanakan pengurusan kewangan terbaik bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan DBP, iaitu Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Pusat Dokumentasi Melayu dan DBP Wilayah Tengah, masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM1000.00 dan sijil penghargaan.
DBP Cawangan Sabah dan Pusat Dokumentasi Melayu berjaya memperoleh Anugerah Citra Projek berikutan berjaya meningkatkan citra DBP menerusi projek yang dilaksanakan, sekali gus memberikan impak dalam menyebarluaskan dan memartabatkan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.
Bagi Anugerah Inovasi Ketua Pengarah telah dimenangi oleh Pusat Dokumentasi Melayu berikutan hasil inovasi yang dijalankan, khususnya dalam aspek penyampaian perkhidmatan dan peningkatan citra DBP serta memberikan manfaat kepada pembinaan negara bangsa.