Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepelbagaian biologi atau biodiversiti merupakan khazanah yang tidak ternilai dan menjadi warisan kepada generasi akan datang. Biodiversiti didefinisikan sebagai keanekaan antara organisma hidup dengan pelbagai sumber dari daratan, samudera dan sebagainya. Sumber ini melangkaui ekosistem daratan mahupun akuatik serta sebahagian daripada ekosistem yang kompleks. Biodiversiti terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu kepelbagaian genetik, kepelbagaian spesies dan kepelbagaian ekosistem.
Malaysia sangat kaya dengan biodiversitinya dan termasuk dalam lingkungan 12 buah negara mega kepelbagaian biologi di dunia. Kekayaan biodiversitinya dianggarkan antara 60 peratus hingga 70 peratus daripada jumlah biodiversiti dunia. Kepelbagaian tersebut dapat digambarkan melalui flora dan fauna yang masih wujud di negara ini.
Burung hidup dalam pelbagai jenis persekitaran seperti hutan tropika, kawasan paya bakau, padang rumput dan pantai yang menyediakan habitat untuk burung yang unik dan jarang-jarang ditemukan mengikut kepelbagaian sumber penggunaannya di habitat tertentu.
Berdasarkan sumber daripada laman sesawang Avibase, terdapat 863 spesies burung yang direkodkan di Malaysia. Mungkin pada pandangan segelintir masyarakat, angka ini tidak memberikan sebarang makna, namun jika dibandingkan angka ini dengan angka burung yang direkodkan di negara lain melalui laman sesawang yang sama, Malaysia didapati antara negara yang mempunyai bilangan spesies burung yang tinggi. Indonesia mencatatkan sebanyak 1849 spesies burung, 461 spesies burung di Singapura, 598 spesies burung di Republik Korea, 719 spesies burung di Jepun dan 453 spesies burung di Ukraine. Perbandingan ini akan menjadi lebih ketara jika dilihat dari sudut keluasan sesebuah negara.
Burung merupakan satu daripada kumpulan spesies yang penting untuk pemuliharaan biodiversiti. Burung berfungsi dalam sesebuah ekosistem untuk menjaga kebersihan alam sekitar dengan bertindak sebagai pemusnah, melindungi komuniti tumbuhan dengan mengawal perosak, agen pendebungaan tumbuhan, menyokong kemandirian tumbuhan yang lebih baik melalui penyebaran benih serta menyediakan nutrien kepada alam sekitar.

Selain itu, burung bukan sahaja memperkaya kepelbagaian biologi, malah memberikan fungsi ekologi yang kritikal. Sebagai contohnya, burung pemakan buah membantu dalam penyebaran biji benih serta memastikan generasi tumbuhan dan kelestarian hutan. Burung merbah dari famili Pycnonotidae merupakan spesies pemakan buah yang dapat membantu dalam menyebarkan biji benih.

Seterusnya, burung pemakan serangga pula berfungsi sebagai pengawal perosak semula jadi, membantu mengawal populasi serangga yang boleh merosakkan tanaman dan mengganggu keseimbangan ekosistem. Spesies burung rimba dari famili Timaliidae merupakan satu daripada komuniti spesies burung pemakan serangga.

Burung juga berperanan sebagai indikator ekosistem. Perubahan dalam bilangan dan jenis spesies burung dapat memberikan petunjuk tentang keadaan habitat burung dan kualiti persekitaran secara keseluruhan. Hal ini membuktikan bahawa populasi burung merupakan cerminan keadaan semula jadi yang membantu masyarakat memahami kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar.
Namun demikian, dalam menghadapi cabaran pembangunan, perubahan guna tanah yang pesat amat memberikan kesan yang ketara kepada habitat semula jadi burung. Pengurangan kualiti kawasan semula jadi yang menjadi habitat burung akan mengancam sesuatu populasi burung, malah mengganggu keseimbangan ekosistem, khususnya dalam rantaian makanan. Oleh hal yang demikian, memelihara dan melindungi hutan sebagai usaha jangka masa panjang adalah penting bagi mengekalkan biodiversiti dan fungsi ekologi yang sedia ada.
Maka itu, pemuliharaan secara landskap amat diperlukan dalam memastikan habitat semula jadi burung dikekalkan dan berfungsi dengan sebaik-baiknya. Di Malaysia, terdapat 55 kawasan penting burung atau important bird area (IBA) yang telah dikenal pasti. IBA ialah habitat yang penting kepada spesies burung endemik atau terancam bagi sesebuah negara.
Antara kriteria utama dalam penentuan kawasan IBA termasuklah populasi spesies terancam secara global dikenal pasti dan wujud di kawasan tersebut. Sebagai contohnya, antara kawasan yang menjadi IBA di Perak ialah Kompleks Hutan Belum–Temengor dan Kawasan Hutan Paya Laut Matang. Walaupun kedua-dua kawasan ini mempunyai profil yang berbeza, yakni Kompleks Hutan Belum–Temengor merupakan hutan darat pamah hingga hutan tanah tinggi, manakala Kawasan Hutan Paya Laut Matang pula terdiri daripada dirian spesies pokok paya laut. Oleh itu, komposisi spesies burung di kedua-dua kawasan ini berbeza.
Selain IBA, inisiatif kawasan penting biodiversiti atau key biodiversity area (KBA) merupakan inisiatif penting yang lebih menyeluruh dalam pemuliharaan secara landskap. KBA mengambil kira kawasan yang menyumbang ke arah kemandirian biodiversiti pada peringkat global yang terdiri daripada semua elemen biodiversiti termasuklah genetik, spesies dan ekosistem. KBA juga boleh diklasifikasikan sama ada di kawasan daratan, air tawar ataupun marin. Kepentingan KBA terhadap sumber biodiversiti negara adalah selaras dengan keperluan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030.
Begitulah besarnya peranan biodiversiti dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar. Oleh sebab itu, kewujudan biodiversiti untuk jangka masa panjang adalah sangat perlu bagi memastikan keseimbangan dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara. Dengan usaha pemeliharaan yang berterusan dan penetapan kawasan perlindungan, kita dapat memastikan bahawa habitat burung dan fungsi ekologinya kekal terpelihara.
Tindakan ini bukan sahaja akan memelihara kelestarian spesies burung, malah turut menyokong projek Pembanguanan Direktori Kawasan Penting Biodiversiti. Usaha pemeliharaan yang dilakukan dapat memastikan hutan di Malaysia kekal sebagai ekosistem yang sihat dan berfungsi dengan baik, memberikan manfaat kepada generasi akan datang serta keseimbangan alam sekitar secara keseluruhan.
Manoshini Appanan dan Mohammad Shahfiz Azman (Pegawai Penyelidik), Cawangan Zoologi, Bahagian Biodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.