Diterbitkan pada 24 September 2024, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Peserta kursus Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan yang ditawarkan oleh Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara dalam talian telah menghadiri forum yang bertemakan “Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan” di Ballroom UKMShape, Bangi baru-baru ini.

Forum ini telah dijayakan oleh peguam dan salah seorang pengasas firma guaman Jayadeep, Hari dan Jamil, Encik Harikanan Ragavan; peguam di firma guaman Raja, Darryl dan Loh, Puan Charlaine Adrienne Chin; dan pensyarah perubatan dan pakar dalam etika perubatan dan undang-undang, Dr. Hazdalila Yais Haji Razali.

Ahli panel yang membincangkan tema “Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan” Encik Harikanan Ragavan (kiri), Puan Charlaine Adrienne Chin (tengah) dan Dr. Hazdalila Yais Haji Razali (kanan).

Timbalan Dekan Jaringan, Industri, Alumni dan Masyarakat, FSK UKM,  Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa sijil profesional ini sangat penting bukan sahaja untuk doktor perubatan, malah untuk semua pekerja yang terlibat dalam memberikan penjagaan kesihatan, sama ada di premis kerajaan atau swasta.

“Ilmu pengetahuan yang disampaikan dalam sijil profesional ini sangat membantu dalam mencegah dan menghindari perbuatan yang boleh menyebabkan berlakunya kes medikolegal dalam bidang kesihatan”.

Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf juga berharap agar ramai lagi pengamal perubatan yang memberikan perkhidmatan kesihatan disyorkan untuk menyertai kursus Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan demi meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan supaya lebih cakna dengan perkara yang melibatkan medikolegal dalam perkhidmatan kesihatan, keselamatan pesakit dan pengurusan risiko klinikal.

Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf (kiri) menyampaikan sijil kepada peserta Sijil Profesional Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan.

Encik Harikanan Ragavan mengesyorkan supaya setiap pengamal perubatan mengambil insurans indemniti yang bersesuaian, sejajar dengan kepakaran pengamal perubatan tersebut supaya sekiranya terlibat dalam kes medikolegal, syarikat insurans indemniti boleh membayar jumlah kos guaman dan kos yang ditetapkan oleh mahkamah sekiranya keputusan kes tersebut tidak berpihak kepada pengamal perubatan yang terlibat.

“Kes medikolegal di Malaysia ini boleh melibatkan ganti rugi jutaan ringgit serta bergantung pada keputusan hakim dalam mahkamah,” ujarnya lagi.

Puan Charlaine Adrienne Chin pula menekankan betapa pentingnya pendokumentasian dalam setiap rekod pesakit dan pengamal perubatan perlu memastikan pendokumentasian tersebut boleh dibaca supaya tidak menimbulkan sebarang keraguan.

“Dalam proses mengambil persetujuan pesakit, semua pengamal perubatan perlu menerangkan sepenuhnya prosedur yang akan dilakukan ke atas pesakit, risiko yang boleh berlaku akibat prosedur tersebut, kesan sampingan prosedur dan perlu memastikan agar pesakit memahami persoalan yang dibincangkan untuk menghindarkan berlakunya kes saman medikolegal terhadap pengamal perubatan,” hurai Puan Charlaine Adrienne Chin.

Sementara itu, Dr. Hazdalila Yais Haji Razali menasihatkan supaya pengamal perubatan segera mendapatkan nasihat daripada pegawai undang-undang atau syarikat insurans indemniti yang berkenaan sekiranya disaman oleh pesakit atas sebab medikolegal.

Terangnya, “Pengamal perubatan tidak perlu takut jika diugut oleh pesakit, terutamanya semasa menjalankan tugas memberikan khidmat nasihat atau pertolongan cemas kepada pesakit kerana itu merupakan tugas hakiki semua pengamal perubatan serta mengikut etika perubatan”.

Sebahagian daripada peserta forum yang bertemakan “Medikolegal dalam Praktis Penjagaan Kesihatan” anjuran FSK, UKM.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi