Diterbitkan pada 20 September 2024, 22:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kanser kolorektal merupakan satu daripada ancaman kesihatan yang semakin meningkat di seluruh dunia. Kini, kanser kolorektal menjadi punca kematian kedua tertinggi akibat kanser.

Di Malaysia, kanser kolorektal paling banyak menyerang lelaki dengan kadar insiden 16.9 peratus. Kanser ini juga menduduki tempat kedua dalam kalangan wanita pada kadar 10.7 peratus.

Penyakit ini lazimnya meningkat dengan pertambahan usia dan statistik menunjukkan lelaki lebih terdedah berbanding dengan wanita. Walaupun kanser ini dapat di kesan pada peringkat awal melalui saringan, lebih 70 peratus pesakit di Malaysia hanya didiagnosis pada tahap tiga dan empat, yakni ketika kanser telah mencapai tahap yang sukar dirawat.

Menurut Kajian Malaysia–Survival Kanser yang diterbitkan oleh Muhamad et al. (2023), kadar kelangsungan hidup pesakit dalam tempoh lima tahun selepas didiagnos kanser kolorektal hanya sekitar 51.1 peratus. Kadar ini menurun dengan ketara apabila diagnosis dibuat pada peringkat yang lebih lewat. Faktor utama yang menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup yang rendah ini ialah kesedaran yang rendah tentang kepentingan saringan awal, terutamanya dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah (B40).

Kos Rawatan dan Kepentingan Saringan Awal

Kos rawatan kanser kolorektal di Malaysia sangat tinggi dan boleh menjadi beban kewangan yang berat bagi golongan B40. Kos rawatan pembedahan boleh mencapai antara RM5,477 hingga RM164,984, manakala kos kemoterapi pula boleh mencecah antara RM8,977 hingga RM85,915.

Beban kewangan ini bukan sahaja menyukarkan pesakit untuk mendapatkan rawatan yang diperlukan, malah menjejaskan produktiviti mereka. Masalah ini juga mengakibatkan mereka yang terjejas kehilangan kemampuan untuk bekerja dan menguruskan diri sendiri.

Oleh itu, saringan awal menjadi langkah kritikal dalam menangani kanser kolorektal, khususnya dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah. Melalui saringan awal, kanser dapat dikesan pada tahap awal, lalu meningkatkan peluang pesakit untuk menerima rawatan yang lebih berkesan dan mengurangkan kos rawatan jangka panjang.

Pelaksanaan Saringan Kanser Kolorektal dalam Komuniti

Saringan kanser kolorektal boleh dilakukan melalui ujian pengesanan darah dalam najis atau immunochemical faecal occult blood test (iFOBT) yang membolehkan individu melakukan ujian sendiri di rumah. Di negara berpendapatan tinggi, saringan iFOBT telah dilaksanakan secara meluas untuk memastikan lebih banyak individu disaring.

Pihak urus setia program melaksanakan  soal selidik dan menerangkan kaedah menggunakan kit iFOBT.

Namun demikian, di negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia, saringan oportunistik masih menjadi pilihan utama, yakni saringan ditawarkan kepada individu yang berusia lebih daripada 40 tahun yang datang ke klinik untuk rawatan lain.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Pelan Strategik Nasional untuk Kanser Kolorektal (NSPCRC) 2021–2025 telah melaksanakan saringan oportunistik ini di klinik kesihatan, khususnya mensasarkan individu berumur 50 tahun hingga 75 tahun. Namun demikian, cabaran terbesar dalam hal ini adalah mencapai golongan B40 yang tinggal di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang dilaporkan kesedaran mengenai kepentingan saringan masih rendah.

Inisiatif Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI)

Untuk menangani cabaran ini, Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) yang diketuai Profesor Madya Dr. Nor Azian Abd Murad telah melancarkan program saringan kanser kolorektal di tujuh PPR di sekitar Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. Program yang berlangsung dari Julai 2022 hingga Julai 2023 disasarkan kepada golongan B40 yang tinggal di kawasan PPR tersebut untuk meningkatkan kesedaran dan memudahkan capaian kepada saringan awal.

Orang ramai sedang mendaftar untuk menjalani ujian saringan kanser kolorektal.
Sebahagian daripada penduduk yang menjalani saringan kanser kolorektal dengan menggunakan kit iFOBT.

Dalam program tersebut, lebih 580 penduduk PPR telah menyertai program ini dan menjalani saringan kanser kolorektal dengan menggunakan kit iFOBT yang diberikan secara percuma. Program ini dibiayai oleh dana penyelidikan yang disalurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui projek HiCOE. Program ini bukan sahaja memberikan peluang kepada penduduk untuk melakukan saringan awal, malah menjadi platform untuk mendidik mereka mengenai kepentingan mencegah kanser kolorektal.

Kerjasama Komuniti dan Persatuan Penduduk

Kejayaan program ini tidak hanya terletak pada pelaksanaan saringan itu sendiri, malah bergantung pada kerjasama strategik antara universiti, hospital pengajar (Hospital Canselor Tuanku Muhriz), pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan persatuan penduduk. Persatuan penduduk memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan keberkesanan program ini, khususnya dari aspek promosi hingga pengurusan logistik.

Persatuan penduduk tidak hanya membantu dalam menyebarkan maklumat mengenai program ini, malah menguruskan dewan komuniti, menyediakan kemudahan seperti kerusi, meja dan sistem siar raya serta mengatur jamuan untuk para peserta. Kerjasama erat ini menunjukkan betapa pentingnya pelibatan komuniti dalam menjayakan inisiatif kesihatan awam, terutamanya pada peringkat akar umbi.

Lebih 580 ahli komuniti dari tujuh PPR yang berbeza telah mendapat manfaat daripada program ini, termasuklah mendengar ceramah daripada pakar perubatan mengenai kanser kolorektal. Interaksi secara langsung juga diadakan untuk memahami tanda awal penyakit ini. Program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, malah berperanan sebagai medium interaksi yang berkesan antara pakar kesihatan dengan komuniti.

Impak Program dan Peranan Ketua Komuniti

Program ini berjaya mencapai beberapa objektif utama, termasuklah meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kanser kolorektal dan menggalakkan lebih ramai orang untuk menjalani saringan awal. Kejayaan program ini boleh dijadikan sebagai model rujukan untuk pelaksanaan program seumpama ini dalam komuniti lain, terutamanya di kawasan berpendapatan rendah. Selain kesan positif dari segi kesihatan, peserta program ini juga menjadi agen penyebar maklumat yang berupaya memperluas lagi impak positif program ini kepada seluruh komuniti.

Tambahan pula, bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, mihun, gula, teh dan kopi telah diserahkan kepada peserta program. Setiap bakul makanan yang bernilai RM30.00 ini menunjukkan kepedulian dan sokongan yang diberikan kepada golongan B40 yang menyertai program ini. Keperluan bagi penyediaan bakul makanan dan jamuan diperoleh daripada pembekal tempatan ini juga memperlihat sinergi yang kukuh antara komuniti dengan program ini.

Ketua komuniti, khususnya pengerusi persatuan penduduk telah memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kejayaan program ini. Mereka bukan sahaja menerima program ini dengan baik, malah gigih menggerakkan jentera jawatankuasa untuk memastikan semua urusan berjalan lancar. Usaha gigih yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan ini amat dihargai dan menjadi inspirasi kepada pihak UMBI dalam menjalankan misi kesihatan ini.

Pihak UMBI mengharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperkasakan melalui kerjasama erat antara universiti, pihak berkuasa tempatan dengan komuniti setempat. Model kerjasama yang melibatkan peranan besar ketua komuniti ini seharusnya dijadikan contoh, bukan sahaja dalam konteks program kesihatan, malah dalam pelbagai aspek lain yang dapat memperkasakan komuniti secara menyeluruh.

Penghargaan yang tinggi harus diberikan kepada ketua persatuan penduduk yang telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menjayakan program ini, serta kepada semua pihak yang terlibat. Dengan adanya kerjasama yang kukuh ini, pihak UMBI berharap dapat melihat lebih banyak program seumpama ini dilaksanakan pada masa hadapan, demi kesejahteraan dan kesihatan komuniti B40 di Malaysia.

 
Mohd Arman Kamaruddin,
Pegawai Sains Kanan,
Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI).

Pelajar Sarjana Sains Pembangunan Komuniti, 
Fakulti Ekologi Manusia, 
Universiti Putra Malaysia. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi