Diterbitkan pada 26 Ogos 2024, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memperkukuh keupayaan pegawainya dengan menganjurkan Bengkel Kecerdasan Buatan (AI) Generatif di Pusat Latihan AADK, Sungai Petani, Kedah untuk memperkasakan pegawai dalam penggunaan teknologi AI generatif, sekali gus meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan, pendidikan, analisis dan penyelidikan berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.

Sebanyak 30 orang pegawai dari jabatan AADK pelbagai negeri mengambil bahagian dalam bengkel yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ini.

Sekitar berlangsungnya Bengkel Kecerdasan Buatan Generatif di Pusat Latihan AADK, Sungai Petani, Kedah.

Antara alat bantu AI generatif yang diketengahkan dalam bengkel itu termasuklah ChatGPT Plus, Perplexity, ChatPDF, Gamma, Kahoot 360 dan Canva.

Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Tuan Zainuddin berkata, usia bukanlah penghalang untuk menguasai teknologi AI generatif kerana sesiapa sahaja boleh belajar dan memanfaatkan teknologi ini untuk memperbaik cara kerja mereka.

Tambah beliau, hasil daripada perkongsian AI berupaya membantu pegawai agensi, misalnya untuk menghasilkan bahan ceramah antidadah yang lebih menarik, melakukan kajian ataupun mencari bukti dalam bidang pencegahan dan rawatan serta pemulihan dadah.

Sementara itu, Pengarah Pusat Latihan AADK, YBrs. Dr. Mohd Rafidi menegaskan bahawa penggunaan AI merupakan sebahagian daripada langkah penting untuk memperkasakan ilmu dalam kalangan masyarakat dan strategi yang boleh digunakan bagi memenuhi keperluan semasa.

Dalam bengkel tersebut, para peserta diberikan pendedahan tentang teknologi AI generatif dalam bidang pendidikan, analisis, pencegahan dan penyelidikan secara menyeluruh.

Bengkel tersebut juga membuka ruang kepada para peserta untuk berbincang dan bertukar idea tentang cara teknologi AI boleh diterapkan secara lebih meluas dalam tugas harian serta memperkukuh usaha pencegahan dan pemulihan dadah yang dijalankan oleh agensi yang berkaitan.

Pemenang keseluruhan bagi aktiviti Kahoot 360.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi