Diterbitkan pada 15 Ogos 2024, 22:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyokong penuh inisiatif Jabatan Kesihatan Negeri Perlis untuk memerangi penyakit diabetes yang merupakan satu daripada penyakit kritikal yang dialami oleh rakyat Perlis berdasarkan data Kajian Tinjauan Kebangsaan dan Morbiditi 2019.

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis sedang merangka satu polisi yang perlu diguna pakai oleh semua jabatan dan agensi negeri Perlis seperti pengurangan makanan yang berkolesterol tinggi dan minuman manis semasa perjumpaan atau sebarang mesyuarat jabatan dan agensi.

“Inisiatif ini diharapkan akan mendapat sokongan daripada semua pihak demi kemaslahatan masyarakat, terutamanya dalam memerangi masalah diabetes,” titah baginda ketika berkenan berangkat menerima mengadap Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, YBrs Dr. Ghazali Chik di Galeri DiRaja Arau.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menerima mengadap Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ghazali Chik di Galeri DiRaja Arau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis (Bahagian Perubatan), YBrs. Dr. Mohamad Zamri Kamis dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis (Bahagian Pengurusan), Encik Wan Ahmad Fazli Wan Kamis menyembah maklum kepada baginda bahawa pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perlis akan terus mengekalkan dan meningkatkan prestasi cemerlang yang telah dicapai sepanjang tahun 2023.

Antara pencapaian cemerlang tersebut termasuklah petunjuk prestasi utama jabatan, iaitu 98.95 peratus, program kejuruteraan terbaik kebangsaan bagi pengoperasian klinik, Hospital Tuanku Fauziah telah dinobatkan sebagai antara dua hospital peringkat negeri yang terbaik pada peringkat kebangsaan dan beberapa pencapaian lain bagi tahun 2024 serta tahun yang berikutnya.

Baginda menzahirkan akan memberikan sokongan yang penuh untuk sebarang usaha yang dilakukan oleh jabatan, agensi dan pihak swasta, terutamanya perkara yang melibatkan kesihatan, pendidikan dan memerangi najis dadah di negeri ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi