Diterbitkan pada 13 Ogos 2024, 20:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2024 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur selama dua hari, bermula pada 12 Ogos 2024 hingga 13 Ogos 2024 disambut meriah dengan penyertaan lebih daripada 10 000 orang peserta.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, MOSTI menyediakan sokongan yang menyeluruh kepada para penginovasi termasuklah dari segi pembiayaan, latihan, program bimbingan, padanan perniagaan serta penyertaan dalam pameran untuk mempercepat pengkomersialan produk.

YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ujar beliau,

Hingga tahun 2023, kerjasama antara MOSTI dengan pelbagai pihak telah berjaya mengkomersialkan sebanyak 553 produk dan perkhidmatan dengan nilai jualan melebihi RM729.89 juta yang merangkumi pasaran tempatan dan antarabangsa, sekali gus menyaksikan peralihan negara daripada pengguna teknologi kepada pencipta teknologi.

Sementara itu, Pengerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), YBrs. Profesor Dr. Rofina Yasmin Othman berkata, program AI Sand Box yang dianjurkan oleh MRANTI dijangkakan mampu meningkatkan daya saing negara pada peringkat global dengan sasaran untuk mencungkil 13 000 bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2026.

YBrs. Profesor Dr. Rofina Yasmin Othman ketika menyampaikan ucapan.

Katanya,

Program tersebut juga menyasarkan penubuhan sebanyak 900 syarikat berasaskan AI dalam tempoh tersebut, sekali gus menunjukkan pencapaian yang membanggakan oleh MRANTI dalam usaha memajukan inovasi negara.

Sepanjang persidangan berkenaan berlangsung, beberapa pelancaran produk dan pertukaran memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian telah diadakan termasuklah pemeteraian kerjasama antara Cradle Fund Sdn. Bhd. dengan VentureTECH serta syarikat Renewcell dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Sesi penyerahan memorandum persefahaman antara syarikat Renewcell dengan UTHM.

Selain itu, pelbagai produk inovatif turut dilancarkan seperti Snaptec, iaitu penapis air pintar, Battery Management and Maintenance dan D Athirah Magic Ruler.

Pada masa yang sama, sesi penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang dan pempamer Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2024 serta pelancaran National Robotic Grand Challenge juga diadakan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Komunikasi Korporat MAXIS, Miriam Bevi Batcha dan Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan, MOSTI, Encik Boniface Anak Edwin Manung.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi