Diterbitkan pada 13 Ogos 2024, 14:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Bagi memperkenalkan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh ahli Pusat Kajian Diagnostik, Teraputik dan Penyiasatan (CODTIS) kepada masyarakat, Program Sains Forensik, CODTIS, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Program Sekolah ke CODTIS yang dijayakan oleh 30 pelajar dari Ash Shura Institute Of Quranic Sciences (ASIQS).

Sesi perkongsian pada kali ini menjadikan Program Sains Forensik sebagai program pertama dalam siri program yang diadakan untuk meningkatkan keterserlahan UKM dalam khidmat masyarakat.

Menurut Ketua Program Sains Forensik, Dr. Rus Dina Rus Din dalam ucapan alu-aluannya, program ini juga berhasrat untuk meningkatkan kapasiti enrolmen dalam bidang sains serta meningkatkan penyelidikan sains forensik di Malaysia.

Program Sains Forensik FSK UKM komited dalam menghasilkan graduan dalam bidang sains forensik yang memahami keperluan asas berkaitan dengan kerjaya seperti kemahiran menguruskan bukti, menjalankan ujian terhadap bukti, mentafsirkan keputusan yang diperoleh, menghubungkaitkannya dengan kes jenayah yang telah berlaku dan membentangkan pendapat secara profesional di mahkamah.

Dari kiri ke kanan (barisan hadapan): Pegawai Sains Program Sains Forensik FSK, Puan Rogayah Abu Hassan; Pengarah Program Sekolah ke FSK CODTIS, Profesor Madya Dr. Dayang Fredalina Basri; Ketua Program Sains Forensik FSK, Dr Rus Dina Rus Din, Pengerusi Pusat CODTIS FSK, Profesor Madya Dr. Ahmad Nazlim Yusoff; dan Pengerusi ASIQS, YBrs. Ir. En Mudasir Abdullah bersama-sama pensyarah dan kakitangan Program Sains Forensik CODTIS FSK serta pelajar-pelajar ASIQS.

Sementara itu, Pengarah Program Sekolah ke CODTIS , Profesor Madya Dr. Dayang Fredalina Basri berkata program yang pertama kali diadakan ini telah memilih ASIQS kerana sekolah tersebut menyediakan pelajar yang mempunyai kelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi dan kolej latihan vokasional, selain menjadi pembekal kurikulum Sains al-Quran yang terunggul di Malaysia.

“Program ini akan dilestarikan untuk sekolah seterusnya di Lembah Klang,” ujarnya lagi.

Sebanyak lima reruai telah disediakan yang meliputi pengenalan kepada entomologi dan antropologi (tulang), teknik pengambilan kesan tapak kasut, teknik menimbulkan cap jari laten dan pengenalan kepada siasatan tempat kejadian jenayah.

Pelajar ASIQS diperkenalkan kepada jenis tulang manusia dan haiwan serta kepentingan tulang dalam bidang sains forensik di reruai antropologi.
Pelajar dan tenaga pengajar ASIQS sedang mencuba menimbulkan cap jari laten yang menjadi antara bahan bukti dalam proses pengecaman.
Pelajar ASIQS diberikan pengetahuan tentang penyiasatan tempat kejadian jenayah, satu daripada elemen yang penting dalam bidang sains forensik.
Pelajar ASIQS didedahkan dengan pengetahuan pengambilan kesan tapak kasut dengan menggunakan plaster Paris.

ASIQS merupakan sekolah harian swasta K-12 (rendah dan menengah) yang pakar dalam pengajaran sains Al-Quran dan merupakan sekolah tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi