Diterbitkan pada 27 Julai 2024, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Butterworth – Dalam usaha untuk memperkenalkan teknologi canggih dan peranan penting agensi keselamatan kepada komuniti, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Air Tawar telah menganjurkan Karnival Kokurikulum dan STEM 2024 dengan pelibatan sebanyak 350 orang pelajar.

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) berpeluang memperkenalkan kemudahan makmal nuklear termasuklah sesi interaktif yang memberikan pelajar pemahaman tentang aplikasi teknologi nuklear dari bidang perubatan hinggalah pertanian, selain mempromosikan manfaat dan keselamatan teknologi nuklear kepada para pengunjung yang hadir dalam karnival tersebut.

Pameran teknologi nuklear yang disediakan oleh Nuklear Malaysia.

“Karnival yang dianjurkan ini diharapkan dapat memberikan pencerahan kepada pelajar dan guru mengenai teknologi dan keselamatan, sekali gus membuka peluang kepada pihak kami untuk membuat lawatan ke Nuklear Malaysia dalam masa terdekat bagi menambah ilmu pengetahuan yang lebih mendalam tentang bidang sains dan teknologi,” ujar Penolong Kanan Pentadbiran SMK Telok Air Tawar, Puan Norizan Ismail.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia kerana dapat bersama-sama menjayakan karnival berkenaan.

Dalam karnival tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyediakan pameran tentang teknik pemadaman kebakaran dan peralatan keselamatan yang canggih, sekali gus memberikan peluang kepada para pelajar untuk menyaksikan demonstrasi penyelamatan dan merasai pengalaman menjadi anggota bomba.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menyertai karnival tersebut mempamerkan kenderaan polis, peralatan forensik dan memberikan penerangan yang jelas peranan mereka dalam menjaga keselamatan awam kepada para pengunjung.

Pameran yang disediakan oleh pihak Nuklear Malaysia mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila para pelajar menunjukkan minat yang mendalam terhadap teknologi nuklear.

Pengunjung Karnival Kokurikulum dan STEM SMK Telok Air Tawar 2024 melihat teknologi nuklear yang dipamerkan oleh pihak Nuklear Malaysia.

Dengan kejayaan penganjuran Karnival Kokurikulum dan STEM SMK Telok Air Tawar 2024, acara seumpama ini seharusnya diperbanyakkan bagi memperkaya pengalaman pendidikan pelajar serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sains, teknologi dan keselamatan kepada masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi