Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHalia ialah sejenis tumbuhan herba. Nama botaninya Zingiber officinale. Di Malaysia dan kebanyakan negara Asia, penduduknya menggunakan halia dalam masakan dan minuman. Halia mengandungi bahan aktif yang terbukti bersifat antiradang dan antioksidan. Dalam perubatan tradisional pula, halia dipercayai dapat melangsingkan badan.
Pokok halia berasal dari Amerika Selatan dan banyak ditanam di negara Asia Tenggara. Halia terdiri daripada pelbagai jenis seperti halia bara, halia Indonesia dan halia Thailand yang memberikan aroma wangi. Dalam masakan, halia digunakan untuk menghilangkan bau hanyir ikan atau daging serta digunakan sebagai sebahagian daripada rempah ratus.
Halia seperti halia Bentong dan halia bara juga digunakan dalam produk perubatan tradisional dan moden. Halia dipercayai berkesan untuk melegakan badan, menghadam makanan, merawat angin dalam badan, merawat muntah, cirit-birit dan sakit perut. Halia juga membantu dalam melancarkan pengaliran darah serta menyembuhkan penyakit reumatik atau sengal sendi tulang.
Halia Bentong
Halia Bentong adalah berbeza daripada halia biasa yang digunakan dalam masakan harian. Halia Bentong mempunyai rasa yang lebih pedas, berbau wangi, seratnya lebih halus, berkulit nipis dan mempunyai kandungan air yang tinggi. Halia Bentong juga digelar raja halia yang memiliki keistimewaan tersendiri, khususnya untuk merawat masalah badan dan banyak digunakan dalam produk perubatan tradisional.
Terdapat beberapa pengusaha yang memanfaatkan halia Bentong sebagai produk dalam pelbagai bentuk seperti serbuk halia, jus halia, minyak halia atau teh halia. Satu daripadanya ialah pati halia Bentong Blitz yang mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai peringkat pengguna.


Pengusaha pati halia Bentong Blitz, Encik Noordin Ibrahim berkata, pati halia Bentong Blitz yang diusahakannya sejak lapan tahun lalu mendapat permintaan yang baik. Beliau memasarkan sebanyak 1500 botol pati halia Bentong Blitz dan kira-kira 1000 botol jus halia Bentong sebulan secara jualan langsung melalui penghantaran pos dan kurier.

“Pada peringkat awal, saya memasarkan produk halia Bentong Blitz di pasar tani dan pasar pagi sahaja sebelum memasarkan secara terus melalui pos sejak November 2023”, kata Noordin.
Katanya, pati halia keluarannya langsung tidak menggunakan air dan dicampurkan dengan madu lebah tualang, bawang putih tunggal dan buah Kulim bagi memberikan kesan kepada rawatan kesihatan. Menurutnya lagi, produknya juga tidak menggunakan pengawet, gula dan juga perwarna.
Noordin, 59 tahun yang mempunyai premis memproses pati halia Bentong di Bandar Sunway Semenyih, Selangor dibantu oleh empat pekerja separuh masa. Beliau menggunakan kira-kira dua tan halia Bentong sebulan yang dibeli daripada peladang di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.
Apabila ditanya mengenai perkembangan perniagaannya pada masa hadapan, beliau juga sedang mengusahakan sendiri tanaman halia Bentong seluas kira-kira 4.04 hektar di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Usaha itu dilakukan bagi mengatasi kesukaran untuk mendapatkan halia Bentong segar atau tidak terlalu bergantung pada pihak ketiga.
Sejarah Halia Bentong
Kira-kira 1200 spesies halia tergolong dalam famili Zingiberaceae yang merupakan famili terbesar pokok halia yang boleh ditemukan di seluruh dunia. Daripada spesies itu, kira-kira 1000 spesies ditemukan di negara Asia Tropika.
Kini, selepas lebih 60 tahun dan keistimewaan halia Bentong hebat diperkatakan, tumbuhan itu telah ditanam di merata-merata tempat di seluruh negara. Di Malaysia, asal usul halia Bentong bermula dengan tanaman kecil-kecilan secara konvensional di Bukit Tinggi dan Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang sejak tahun 1963. Iklim mikro persekitaran di kawasan tersebut dikatakan sangat sesuai untuk pertumbuhan halia.
Bentong terletak pada ketinggian 700 meter dari aras laut dengan purata taburan hujan sekitar 187 milimeter (mm) sebulan atau 2200 mm setahun. Suhunya pula mencecah 24 darjah Celsius hingga 28 darjah Celsius.
Kawasan tanaman halia memerlukan saliran yang baik. Tanah bertekstur gembur dan banyak bahan organik dengn pH antara 5.5 hingga 6.5 adalah sesuai untuk pertumbuhan dan pembentukan rizom.
Halia Bentong mengambil masa selama 12 bulan selepas ditanam untuk mendapatkan halia tua, manakala kira-kira enam bulan hingga tujuh bulan untuk pembentukan halia muda. Bergantung pada permintaan semasa dan harga yang baik, halia sudah mula dituai seawal usia lapan bulan bagi memenuhi kehendak pasaran.
Kaedah menanam halia di sesuatu kawasan dilakukan secara giliran dengan tanaman lain selepas halia dituai. Cara ini bagi mengelakkan serangan penyakit reput umbut dan kawalan rumpai, terutamanya pada peringkat awal penanaman.
Petani juga biasanya membiarkan kawasan tanaman halia Bentong selama beberapa bulan sebelum halia ditanam semula bagi memastikan kualitinya terpelihara. Langkah itu untuk mengelakkan serangan cacing nematod (Meloidogyne spp.) yang boleh menjejaskan kualiti halia. Pada tempoh tersebut, tapak berkenaan ditanam dengan tumbuhan jangka pendek seperti sayur-sayuran.
Berdasarkan pengalaman pengusaha halia dan bagi mengelakkan giliran di tapak, halia Bentong sudah mula ditanam secara fertigasi. Melalui kaedah ini, halia tidak lagi ditanam di atas batas tetapi di dalam polibeg atau bekas.
Petunjuk Geografi
Bagi menjamin keunggulan produk untuk mendapat penarafan antarabangsa dan dapat memberikan pulangan ekonomi yang baik secara berterusan, halia Bentong sudah didaftarkan oleh Pejabat Pertanian Daerah Bentong di bawah petunjuk geografi (GI) dengan nombor pendaftaran GI2013-00010 pada 21 Ogos 2011. Pendaftaran ini menunjukkan bahawa halia Bentong mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia di samping 91 produk pertanian dan makanan lain seperti kek lapis Sarawak, mangga harum manis Perlis, ikan patin Temerloh, kain songket Terengganu, beras Bario, kopi Tenom, durian Musang King D197 (2014) dan lain-lain.
Untuk makluman pembaca, petunjuk geografi merupakan satu daripada komponen harta intelek yang istimewa kerana dapat dikaitkan dengan nama tempat sesuatu produk itu dihasilkan. GI diuruskan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Sesuatu produk GI menunjukkan kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan seperti halia Bentong atau beras Bario yang menunjukkan tempat asal produk tersebut. Tempoh perlindungan GI adalah selama 10 tahun dari tarikh pendaftaran dan boleh diperbaharui selama 10 tahun lagi.
Berdasarkan pendaftaran GI, hanya pengeluar yang menjalankan aktiviti di kawasan geografi seperti yang dinyatakan di dalam sijil pendaftaran sahaja boleh menggunakan GI tersebut untuk urusan perniagaan. Selain itu, hak penggunaan produk hendaklah sepertimana yang didaftar berdasarkan spesifikasi kualiti, reputasi atau ciri yang dinyatakan dalam sijil pendaftaran.
Permintaan Halia Negara
Malaysia memerlukan antara 50 ribu hingga 60 ribu tan halia setahun untuk pelbagai kegunaan. Namun begitu, pengeluaran halia negara hanya mampu mengeluarkan kira-kira 20 ribu tan setahun. Oleh itu, bagi menampung permintaan, kekurangan itu diperoleh dengan mengimport halia dari beberapa buah negara seperti Thailand, India dan China.
Antara faktor penyebab ketidakcukupan bekalan termasuklah kekurangan benih serta tempoh penuaian halia yang menghampiri 12 bulan daripada tarikh menanam. Penanam halia juga perlu menunggu sehingga setahun untuk mendapatkan anak benih yang matang dan mencukupi bagi keluasan ladang masing-masing. Sebab lain pula termasuklah kekurangan tanah dan sistem berselang-seli bagi penananam halia di tapak yang sama dengan tanaman lain. Halia pula harus dibiakkan daripada keratan rizom yang matang, yakni berusia lebih daripada 12 bulan.
Walau bagaimanapun, atas permintaan pasaran kebanyakan pengusaha menuai halia selepas lapan bulan hingga 10 bulan sahaja di samping dapat menyingkatkan tempah memperoleh hasil. Halia muda pula dituai selepas 4.5 bulan hingga lima bulan.
Sebagai perbandingan, tempoh menuai bagi herba lain seperti bunga kantan adalah antara 12 bulan hingga 16 bulan selepas tanaman kali pertama. Selepas itu, bunga kantan boleh dituai antara lima hari hingga tujuh hari sekali. Menuai serai (Cymbopogon citratus) pula adalah pada bulan kelapan selepas ditanam, manakala kunyit (Curcuma domestica) pada bulan ke-10, rosel (Hibiscus sabdariffa) pada bulan keenam dan lengkuas pada bulan ke-12.
Berdasarkan perangkaan tiga tahun lalu, keluasan penanaman halia di Malaysia adalah seluas 940 hektar dengan jumlah pengeluaran menghampiri 14 ribu tan metrik. Lebih kurang sembilanr ribu kilogram halia muda boleh dihasilkan dengan keluasan satu hektar, manakala kutipan hasil halia tua adalah sebanyak 15 tan hingga 20 tan metrik bagi setiap hektar. Halia juga perlu disimpan di tempat yang kering, pengudaraan yang baik agar tahan lama dan tidak diserang kulat.
Mengikut Dasar Agromakanan Negara 2010–2020, pengeluaran hasil herba dijangka meningkat daripada 17 ribu tan metrik kepada 73 ribu tan metrik dengan kadar pertumbuhan sebanyak 15.4 peratus setahun. Pasaran ekstrak herba seperti halia dan halia Bentong, tongkat ali, kacip fatimah, serai wangi, pegaga, gaharu dan seumpamanya diunjurkan meningkat daripada AS$30.8 bilion (RM145.135 bilion) pada tahun 2021 kepada AS$55.3 bilion (RM260.582 bilion) menjelang tahun 2026.
Potensi ini sewajarnya digarap oleh para petani dan pengusaha untuk memperbanyak tanaman di samping dapat membantu mengenai kerterjaminan makanan negara. Pengusaha juga boleh mengeluarkan produk hiliran yang lebih kreatif dan berdaya saing bagi merebut pasaran semasa.
Jadual 1 Komposisi zat dalam 100 gram halia.
