Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPengurusan ubat di rumah adalah penting untuk memastikan ubat yang diambil dapat memberikan kesan yang diingini dan pada masa yang sama, tidak menyebabkan kesan yang mungkin memudaratkan kesihatan. Namun begitu, masih banyak orang beranggapan bahawa pengurusan ubat yang efektif hanya merangkumi pengambilan dan penyimpanan ubat dengan cara yang betul. Sebenarnya, pengurusan ubat yang baik seharusnya bermula daripada langkah mendapatkan ubat yang berdaftar dan berakhir dengan pelupusan ubat secara selamat.
Senario Semasa Pelupusan Ubat-ubatan yang Salah
Aspek pelupusan ubat lazim dipandang remeh oleh masyarakat kerana berpandangan bahawa ubat-ubatan boleh dilupuskan dengan kaedah yang sama seperti sisa domestik di rumah. Satu kajian yang telah dijalankan di Selangor pada tahun 2019 melibatkan sebanyak 426 responden dewasa yang terdiri daripada pelbagai latar belakang menunjukkan bahawa majoriti daripada responden (84.9 peratus) membuang ubat-ubatan yang telah luput atau tidak digunakan lagi bersama-sama sisa domestik.
Dapatan yang hampir sama turut dilaporkan melalui kajian yang melibatkan hampir seribu responden di sekitar Lembah Klang pada tahun 2021. Dalam kajian ini, hampir dua per tiga daripada pesakit yang mempunyai penyakit kronik melupuskan ubat-ubatan yang tidak digunakan, sama ada ke dalam tong sampah domestik, mangkuk tandas, longkang atau memberikannya kepada orang lain.
Faktor yang Menyebabkan Ubat-Ubatan Berlebihan dan Perlu Dilupuskan
Kedua-dua kajian tersebut turut menyenaraikan beberapa faktor yang menyebabkan ubat-ubatan berlebihan di rumah hingga perlu dilupuskan. Antaranya termasuklah:
Kesan Pelupusan Ubat-ubatan dengan Cara yang Salah
Kepentingan melupuskan ubat-ubatan dengan cara yang betul dan selamat perlu dititikberatkan dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana kaedah pelupusan yang salah mengakibatkan kesan negatif, bukan sahaja kepada manusia, bahkan kepada alam sekitar.
Pembuangan ubat-ubatan bersama-sama sisa domestik ke dalam tandas atau sinki di rumah ataupun secara langsung ke dalam sistem pengaliran boleh meninggalkan sisa farmaseutikal dalam sumber air seperti sungai, tasik, kolam dan laut. Sumber air ini juga yang akan dirawat dan diproses untuk kegunaan aktiviti seharian manusia, contohnya dijadikan sebagai sumber air minuman.
Banyak kajian saintifik telah dijalankan untuk mengesan kehadiran sisa farmaseutikal di dalam kawasan perairan serta mengukur tahap kepekatan dan menilai kesan sisa farmaseutikal ini kepada kualiti sumber air minuman, hidupan akuatik dan kesihatan manusia. Sebagai contohnya, satu kajian pada peringkat global pada tahun 2021 telah mendapati bahawa sampel air sungai yang diambil di 1052 lokasi kajian di 104 negara di seluruh dunia dikesan mengandungi sisa farmaseutikal.
Tambah membimbangkan, sampel yang diambil daripada Sungai Langat di Malaysia turut didapati mempunyai kepekatan sisa farmaseutikal yang tinggi dan tersenarai dalam 20 sungai teratas yang tercemar. Antara sisa farmaseutikal yang paling banyak dikesan termasuklah carbamazepine (ubat antiepileptik), metformin (ubat antidiabetes) dan kafein.
Risiko terhadap kesihatan manusia berkemungkinan untuk meningkat sekiranya manusia terdedah kepada sisa farmaseutikal yang terdapat dalam sumber air minuman dalam suatu tempoh yang panjang. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan sisa farmaseutikal dapat mengganggu fungsi sistem utama badan seperti sistem endokrin dan sistem saraf serta meningkatkan risiko penyakit kanser.
Sisa farmaseutikal daripada kumpulan ubat antimikrobial seperti antibiotik pula boleh menyumbang kepada isu kerintangan antimikrobial. Sekiranya masalah ini tidak dikekang, sistem kesihatan akan berhadapan dengan situasi yang lebih serius pada masa akan datang, iaitu apabila tiada lagi ubat antimikrob yang dapat digunakan untuk merawat jangkitan mikroorganisma dan boleh menyebabkan kematian.
Kaedah pelupusan ubat-ubatan yang salah turut menyebabkan pencemaran alam sekitar dan memberikan kesan terhadap hidupan yang berada di dalam ekosistem tersebut. Sebagai contohnya, beberapa kajian yang dilakukan pada tahun 2000-an menunjukkan bahawa pencemaran sungai dan tasik dengan sisa ubat perancang kehamilan telah menyebabkan ikan dewasa yang mendiami habitat tercemar tersebut bertukar jantina daripada jantan kepada betina. Bukan itu sahaja, sisa farmaseutikal ini juga berkemungkinan untuk kekal dalam rantaian makanan, bermula dengan plankton yang menjadi sumber nutrisi haiwan akuatik dan berakhir dengan manusia yang menjadikan haiwan tersebut sebagai makanan.
Strategi Menangani Isu Pelupusan Ubat-ubatan yang Salah
Menyedari kesan yang serius akibat pelupusan ubat-ubatan yang salah, amalan ini harus dihentikan segera. Kesedaran tentang kepentingan melupuskan ubat-ubatan dengan cara yang betul perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat. Pada masa yang sama, masyarakat harus diberikan pendedahan tentang kaedah pelupusan ubat-ubatan yang sepatutnya.
Orang awam harus memastikan bahawa ubat-ubatan yang telah rosak, luput atau tidak digunakan lagi tidak dibuang ke dalam tong sampah domestik, tandas atau sinki. Sebaliknya, bawa ubat-ubatan yang hendak dilupuskan ke pusat pengumpulan di kemudahan kesihatan awam dan swasta serta premis farmasi rantaian yang terpilih.
Dari pusat pengumpulan, ubat-ubatan ini akan dibawa ke pusat pelupusan untuk dilupuskan dengan cara membakarnya pada suhu yang sangat tinggi di dalam insinerator. Melalui kaedah ini, tiada sisa farmaseutikal yang masuk ke dalam sistem perairan.
Pihak kerajaan juga kini dalam usaha untuk memperkenalkan program MyMediSAFE, iaitu inisiatif yang memberikan fokus kepada pelupusan ubat-ubatan yang selamat. Inisiatif ini akan dilaksanakan secara kerjasama dengan pelbagai rakan strategik dari sektor awam dan swasta yang meliputi kemudahan kesihatan, farmasi komuniti, syarikat dan industri farmaseutikal.
Melalui inisiatif ini, orang awam boleh melayari laman web untuk mengenal pasti pusat pengumpulan ubat-ubatan yang berhampiran dengan lokasi mereka. Selain itu, pelbagai maklumat berkaitan dengan pelupusan ubat-ubatan yang betul akan dikongsikan menerusi laman web tersebut.
Amalan pelupusan ubat-ubatan yang salah boleh juga diatasi dengan memastikan tiada ubat-ubatan yang berlebihan dalam simpanan pesakit. Sehubungan dengan itu, pesakit disarankan agar sentiasa patuh kepada rawatan.
Ketika mendapatkan bekalan ubat-ubatan, mereka harus bertindak proaktif dengan memaklumkan baki ubat-ubatan yang masih terdapat di rumah kepada petugas kesihatan supaya ubat-ubatan yang diperlukan sahaja dapat diberikan dalam kuantiti yang secukupnya. Elakkan juga daripada membeli ubat-ubatan tanpa keperluan. Hal ini dapat mengelakkan isu lambakan ubat di rumah.
Semua Pihak Harus Memainkan Peranan Masing-masing
Pelupusan ubat-ubatan dengan kaedah yang betul bukan sahaja penting untuk memastikan pengurusan ubat-ubatan yang baik di rumah, malah amalan ini dapat membantu mengurangkan risiko kesan negatif kepada kesihatan manusia dan melindungi alam sekitar daripada pencemaran. Oleh hal yang demikian, usaha menangani isu pelupusan ubat-ubatan yang salah perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak.
Walaupun peranan yang boleh dimainkan mungkin berbeza, namun tindakan yang saling melengkapi dapat membantu merealisasikan hasrat murni ke arah kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang. Pelupusan ubat-ubatan secara selamat merupakan tanggungjawab semua.
Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).
Mohd Shahiri Abd Ghapar,
Pegawai Farmasi,
Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi,
Program Perkhidmatan Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia.