Diterbitkan pada 21 Jun 2024, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ayer Hitam – Bersempena dengan Minggu Sains Negara (MSN) 2024, wakil dari Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) berpeluang memberikan ceramah dan bengkel radiasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Menteri untuk meningkatkan kesedaran para pelajar terhadap teknologi nuklear serta menekankan kepentingan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kehidupan.

Ceramah dan bengkel yang dibimbing oleh Encik Hafizal Yusof dan tiga rakan sejawatnya dari Nuklear Malaysia disertai oleh empat orang guru Sains dan 43 orang pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima dari aliran sains tulen.

Sesi ceramah bersama-sama pihak Nuklear Malaysia.

“Terima kasih atas kerjasama Nuklear Malaysia dalam memenuhi acara yang dianjurkan di sekolah ini demi menarik minat pelajar terhadap bidang STEM, sekali gus memastikan generasi muda di negara ini bersedia untuk menghadapi era teknologi yang maju pada masa akan datang,” kata Pengetua SMK Datuk Menteri, YBhg. Datin Hajah Zamhirah Osman ketika merasmikan program berkenaan.

Antara aktiviti yang dilakukan semasa bengkel radiasi.

Program tersebut bukan hanya menampilkan pameran dan eksperimen pengesan sinaran persekitaran, malah alatan kebuk awan dalam bidang nuklear turut dipamerkan.

Menurut Encik Hafizal Yusof, kerjasama yang diberikan oleh Nuklear Malaysia menunjukkan komitmen yang positif dalam memajukan pendidikan sains dan teknologi di sekolah menengah serta memperluas pengetahuan mengenai nuklear dan penggunaannya.

Tambah beliau, inisiatif tersebut adalah penting untuk mengembangkan bakat sains negara dan mempersiapkan para pelajar untuk memainkan peranan yang penting dalam industri dan bidang profesional yang memerlukan kepakaran dalam bidang STEM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi