Diterbitkan pada 20 Jun 2024, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) melalui Bahagian Sumber Manusia telah menganjurkan Kursus e-Poster dan Infografik: Canva yang bertujuan memperkasakan kemahiran kakitangannya dalam penggunaan alat reka bentuk digital terkini.

Kursus yang disertai oleh 40 orang peserta dari pelbagai bahagian di agensi tersebut telah dikendalikan oleh pakar dalam bidang reka bentuk digital, iaitu Encik Abu Bakar dan Encik Alif dari Sifoo Art and Multimedia (#SIFOODOTCOM).

Tenaga pengajar dari #SIFOODOTCOM, Encik Alif sedang memberikan taklimat kepada para peserta Kursus e-Poster dan Infografik: Canva.

“Canva merupakan alat reka bentuk dalam talian yang memudahkan pengguna untuk mencipta pelbagai jenis poster, infografik dan bahan visual lain tanpa memerlukan kemahiran reka bentuk yang mendalam,” kata Encik Abu Bakar.

Sepanjang kursus itu berlangsung, para peserta diberikan latihan yang komprehensif dan interaktif mengenai penggunaan Canva secara terperinci dan teknik reka bentuk yang canggih serta strategi untuk menghasilkan e-Poster dan infografik yang menarik.

Encik Alif membantu peserta membuat padanan ketika mencipta poster.

Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk terlibat dalam latihan praktikal menggunakan Canva untuk mencipta karya visual yang profesional.

“Kursus ini diharapkan dapat meningkatkan kemampuan kakitangan Nuklear Malaysia dalam menghasilkan bahan visual yang berkualiti tinggi untuk memudahkan komunikasi dan penyebaran maklumat di dalam dan di luar agensi,” ujar Encik Alif.

Encik Daryl, peserta Kursus e-Poster dan Infografik: Canva anjuran Bahagian Sumber Manusia, Nuklear Malaysia.

Penganjuran kursus tersebut adalah selaras dengan usaha Nuklear Malaysia untuk sentiasa mempertingkat kemahiran dan kecekapan sumber manusia dalam era digital pada masa ini.

Pada akhir sesi kursus berkenaan, para peserta telah memberikan maklum balas yang positif dengan kebanyakan daripada mereka menyatakan bahawa kursus ini telah membuka mata mereka kepada pelbagai potensi dan kemudahan yang ditawarkan oleh Canva dalam melakukan tugas harian mereka.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi