Diterbitkan pada 27 Jun 2024, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Zaidah Zakaria

Kuala Lumpur – Seiring dengan usaha mempromosikan pendidikan kesihatan dalam kalangan masyarakat, sebanyak 10 judul buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertemakan kesihatan telah dilancarkan di Dewan Seminar Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Menara DBP pada pagi tadi.

Majlis pelancaran buku yang dilaksanakan bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun ke-68 DBP itu dirasmikan oleh Pengerusi, Institut Jantung Negara merangkap mantan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Syabas dan tahniah kepada 55 orang penulis yang terdiri daripada pakar bidang dari pelbagai pusat pengajian tinggi awam, institusi dan individu yang telah berjaya menulis buku bertemakan kesihatan tersebut, sama ada secara berkumpulan mahupun yang menulis secara individu,” kata YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Pengerusi, Institut Jantung Negara merangkap mantan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menyentuh skop penulisan seperti COVID-19, apnea, resdung, kesihatan gigi dan gusi yang diterjemahkan dalam buku tersebut, beliau menyatakan bahawa perkongsian ilmu yang diberikan membolehkan para pembaca memperoleh pengetahuan tentang kesihatan, memahami pelbagai jenis penyakit, sekali gus mendorong masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Beliau turut menzahirkan sokongan yang berterusan kepada DBP dalam usaha memperkembang bidang penerbitan merentasi pelbagai bidang untuk memandaikan bangsa melalui bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa ekonomi.

Sebanyak 10 buku bertemakan kesihatan dilancarkan oleh Pengerusi, Institut Jantung Negara merangkap mantan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah (tengah) sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan (kiri) dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Encik M. Azahari Edin (kanan) di Dewan Seminar Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Menara DBP.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan dalam ucapan alu-aluannya berkata, sebahagian buku bertemakan kesihatan yang ditulis berkisar tentang COVID-19  menyaksikan kesungguhan pasukan kesihatan dan keselamatan negara yang bertungkus lumus mengawal jangkitan penyakit demi memastikan masyarakat tidak panik dalam menghadapi situasi tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan.

Rentetan itu, beliau menyatakan bahawa penerbitan buku bertemakan kesihatan ini merupakan satu daripada usaha yang dilakukan oleh DBP untuk memberikan pengetahuan secara tuntas kepada masyarakat agar mereka menjadi lebih cakna dalam menjaga kesihatan diri, keluarga dan persekitaran.

Katanya,

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penulis yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang sangat tinggi sepanjang proses penerbitan buku bertemakan kesihatan ini.

Teruskanlah menulis dan menerbitkan bukan sahaja buku, bahkan makalah bersama-sama DBP kerana kami sentiasa menyokong penulisan dan penerbitan ini lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi.

Pada masa yang sama, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah ketika ditemu bual mengenai fungsi buku bertemakan kesihatan yang dilancarkan pada hari ini, beliau menyatakan bahawa penerbitan buku tersebut berupaya menyampaikan maklumat kepada orang awam dalam usaha meningkatkan tahap literasi kesihatan masyarakat.

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkongsikan pandangan beliau tentang isu kesihatan ketika ditemu bual oleh editor Dewan Kosmik selepas Majlis Pelancaran Buku Bertemakan Kesihatan di DBP.

Ujar beliau,

Buku yang dilancarkan pada pagi tadi melibatkan lima buah buku tentang penyakit berjangkit dan lima buah buku lagi berkaitan dengan penyakit tidak berjangkit, sekali gus membolehkan masyarakat mempelajari cara pencegahan dan kawalan pelbagai penyakit.

Jelas beliau, tanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri, keluarga, komuniti dan negara bukanlah tanggungjawab Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semata-mata, malah menjadi tanggungjawab setiap individu.

Dalam sesi temu bual itu juga, beliau berkongsi pengalaman tentang cabaran yang dihadapi oleh KKM ketika di bawah pentadbirannya bukan sahaja dalam menangani penularan virus COVID-19, malah usaha yang dilakukan untuk mencegah penyebaran berita palsu yang mendatangkan kebimbangan kepada rakyat.

“Oleh hal yang demikian, saya memuji usaha seperti penerbitan buku yang ditulis oleh pakar bidang bagi menjawab dan memberikan fakta yang tepat kepada orang ramai,” ujarnya lagi.

Selain itu, menjawab persoalan langkah yang boleh dilakukan oleh pakar dan ahli dalam bidang kesihatan untuk menyahut peluang menerbitkan buku atau majalah, beliau berpandangan bahawa DBP perlu mengamalkan konsep kerjasama bersepadu dengan pelbagai pihak.

Dengan mengambil konsep kerjasama yang diamalkan oleh KKM semasa pandemik sebelum ini, yakni membentuk kerjasama dengan semua kementerian, sektor awam dan sektor swasta serta negara serantau, DBP boleh membantu mereka yang memiliki kepakaran tertentu dengan memberikan panduan dan sokongan untuk menghasilkan manuskrip tentang kesihatan dengan baik.

Buku bertemakan kesihatan yang dilancarkan pada hari ini ialah COVID-19: Pembunuh Senyap Dunia; COVID-19: Anda Tanya Kami Jawab; Kesiapsiagaan dan Pengurusan Makmal Wabak COVID-19; Pemodelan Wabak COVID-19 di Malaysia; Naratif Wabak Dunia dari Athens ke Wuhan; 100 Persoalan mengenai Kesihatan Gigi dan Gusi; Apa yang Perlu Anda Ketahui tentang Renitis dan Resdung; Apa yang Perlu Anda Ketahui tentang Hernia; Apa yang Perlu Anda Ketahui tentang Kanser Prostat dan Apnea Tidur Lena yang Membawa Maut.

Buku bertemakan kesihatan terbitan DBP.

Kesemua buku berkenaan ditulis oleh pensyarah dan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian; Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Malaya; Universiti Sultan Zainal Abidin; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Institut Penyelidikan Perubatan dan secara perseorangan dengan menggunakan terminologi dan istilah saintifik yang mudah untuk difahami oleh segenap lapisan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Perubatan, Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, YBrs. Dr. Hadijah Yunos; Editor Kanan Bahagian Buku Umum, Puan Marsilawati Mohamad Rani; Ketua-ketua Jabatan; Ketua-ketua Editor; Ketua-ketua Bahagian; barisan penulis 10 judul buku bertemakan kesihatan dan tetamu undangan lain.

Tetamu kehormat bersama-sama urus setia yang menjayakan Majlis Pelancaran Buku Bertemakan Kesihatan terbitan DBP bergambar sebagai tanda kenang-kenangan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi