Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penganjuran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 bakal diteruskan pada tahun ini dengan sasaran memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam usaha membina bakat berkemahiran tinggi bagi mencapai sasaran negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan MSN pada tahun ini merupakan tahun yang ketujuh sejak program berkenaan dilancarkan pada tahun 2018.
Usaha tersebut menunjukkan komitmen MOSTI dalam membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kehidupan rakyat Malaysia secara konsisten dan berterusan.
Tambah MOSTI, pelaksanaan MSN juga adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam kenyataan sama berkata, setiap program yang disusun di bawah MSN menyasarkan pelibatan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), guru, pihak industri dan orang awam.
Beliau turut menyatakan bahawa analisis yang telah dijalankan oleh Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) MOSTI bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun lalu menunjukkan penurunan jumlah pelajar menduduki peperiksaan bagi subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi dalam tempoh enam tahun.
Dalam hal ini, MOSTI komited untuk menggembleng tenaga dan usaha bersama-sama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membudayakan STI melalui program pembudayaan STI di luar bilik darjah yang berterusan kepada kumpulan sasaran, khususnya kanak-kanak dan pelajar pada peringkat bangku sekolah melalui program MSN dalam memperkasakan agenda STEM Negara.
Jelas MOSTI, pelaksanaan Karnival MSN 2024 akan diteruskan secara fizikal dan bersasar di beberapa negeri dengan pelaksanaan Karnival MSN 2024 yang pertama dilaksanakan di Pusat Sains Negara.
Katanya, antara negeri yang akan turut menganjurkan Karnival MSN 2024 kelak termasuklah Perlis, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Putrajaya.
Tambah beliau, MSN 2024 juga akan berlangsung di seluruh negara secara hibrid yang melibatkan penganjuran secara karnival dan aktiviti dalam talian hingga Oktober 2024 bagi memaksimumkan pelibatan dan penyertaan dalam kalangan masyarakat.
Bertemakan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”, MSN pada tahun ini mensasarkan pelibatan sebanyak 600,000 orang pelajar sekolah, penuntut IPT dan masyarakat umum.
Untuk mendapatkan sebarang maklumat mengenai pelbagai aktiviti dan pertandingan, orang awam boleh melayari laman sesawang MSN 2024