Diterbitkan pada 21 Februari 2026, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jangkitan penyakit kelamin (STI) dan jangkitan saluran reproduktif (RTI) merupakan antara isu kesihatan awam yang semakin membimbangkan pada peringkat global. Walaupun sering dianggap sebagai isu peribadi dan sensitif, realitinya jangkitan ini menjejaskan jutaan individu setiap tahun, khususnya wanita muda. Ironinya, walaupun bidang perubatan semakin membangun pesat, kadar jangkitan STI dan RTI semakin meninggi tanpa simptom yang jelas, sukar dikesan dan tidak dapat dirawat.

STI merujuk jangkitan yang disebarkan, terutamanya melalui hubungan seksual seperti klamidia, gonorea, sifilis dan jangkitan papilomavirus manusia (HPV). RTI pula merangkumi jangkitan yang lebih luas yang melibatkan sistem reproduktif wanita, termasuk jangkitan yang tidak semestinya berpunca daripada hubungan seksual seperti bacterial vaginosis dan jangkitan yis. Perbezaan ini penting kerana punca, kaedah pencegahan dan rawatan bagi kedua-duanya berbeza.

Namun demikian, dalam kehidupan seharian, istilah serta perbezaan STI dan RTI masih kurang difahami. Banyak wanita hanya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila mengalami simptom seperti lelehan faraj yang tidak normal, rasa pedih, gatal atau ketidakselesaan. Malangnya, simptom ini sering dianggap remeh atau ditafsir sebagai perubahan biasa tubuh wanita, sedangkan lelehan faraj boleh menjadi petunjuk awal jangkitan STI dan RTI yang serius yang memerlukan rawatan.

Jika tidak dirawat, STI dan RTI boleh membawa kepada komplikasi serius seperti penyakit radang pelvis, sakit pelvis kronik, kehamilan ektopik, kemandulan, kanser serviks serta peningkatan risiko jangkitan HIV. Namun begitu, isu ini jarang-jarang dibincangkan secara terbuka, terutamanya dalam konteks masyarakat Asia yang masih kuat dipengaruhi oleh norma budaya dan stigma sosial.

Wanita Muda: Golongan Paling Berisiko

Golongan muda, khususnya yang berumur antara 15 tahun hingga 24 tahun, dikenal pasti sebagai kumpulan paling terdedah kepada STI. Pada peringkat usia ini, individu sedang melalui fasa penerokaan identiti diri, hubungan sosial dan autonomi peribadi. Dalam konteks ini, kekurangan pengetahuan mengenai kesihatan seksual dan reproduktif boleh mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih tinggi.

Di Malaysia, situasi ini menjadi lebih rumit apabila kesihatan seksual masih dianggap sebagai topik tabu. Perbincangan terbuka mengenai tubuh badan, seksualiti dan simptom reproduktif sering dielakkan, sama ada di rumah, di sekolah atau dalam masyarakat. Akibatnya, ramai wanita muda membesar tanpa kefahaman yang jelas tentang fungsi tubuh badan mereka sendiri.

Kajian menunjukkan bahawa walaupun pelajar universiti mempunyai kesedaran asas tentang STI, tahap pengetahuan yang mendalam tentang cara penularan, simptom dan langkah pencegahan masih rendah. Keadaan ini membimbangkan kerana pelajar sepatutnya tergolong dalam kumpulan yang  boleh mendapatkan maklumat kesihatan dengan terperinci.

Lelehan Faraj: Gejala Normal atau Petanda Jangkitan?

Antara cabaran utama dalam pengesanan awal STI dan RTI ialah kekeliruan terhadap simptom lelehan faraj. Dari sudut fisiologi, lelehan faraj sememangnya normal dan berfungsi melindungi sistem reproduktif. Namun demikian, perubahan dari segi warna, bau, tekstur atau jumlah lelehan boleh menandakan jangkitan.

Malangnya, ramai wanita muda tidak dapat membezakan antara lelehan normal dengan lelehan yang memerlukan pemeriksaan perubatan. Sesetengah daripada mereka memilih rawatan sendiri, segelintir lagi membiarkan simptom berlarutan, dan demikian juga yang mengelak mendapatkan rawatan kerana rasa malu atau takut dipandang serong. Sikap ini boleh membawa kesan jangka masa panjang, termasuk penyakit radang pelvis, kemandulan dan komplikasi kehamilan.

Pengetahuan, Sikap dan Amalan: Kunci Pencegahan

Dalam bidang kesihatan awam, pengetahuan, sikap dan amalan memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku kesihatan seseorang. Individu yang mempunyai pengetahuan yang baik tentang STI dan RTI cenderung mengamalkan langkah pencegahan seperti mendapatkan pemeriksaan berkala dan mendapatkan rawatan awal apabila simptom muncul.

Sebaliknya, maklumat salah, mitos dan stigma sosial boleh membentuk sikap negatif terhadap kesihatan seksual. Apabila simptom jangkitan dianggap memalukan atau dikaitkan dengan penilaian moral, wanita cenderung berdiam diri dan menangguhkan rawatan. Dalam jangka masa panjang, sikap ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu, malah meningkatkan beban kesihatan awam negara.

Halangan Budaya dan Akses kepada Perkhidmatan Kesihatan

Faktor budaya dan norma sosial di Malaysia turut mempengaruhi cara wanita menguruskan kesihatan reproduktif mereka. Pantang larang apabila membincangkan isu seksual, kekangan pendidikan seks yang menyeluruh serta kekurangan perkhidmatan kesihatan yang mesra belia menyukarkan usaha pencegahan dan rawatan awal.

Banyak pelajar perempuan berasa tidak selesa untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang akan stigma sosial atau kurang yakin terhadap tahap kerahsiaan perkhidmatan. Keadaan ini menekankan keperluan kepada pendekatan yang lebih sensitif budaya, berasaskan pendidikan dan berfokuskan pemerkasaan wanita.

Membuka Ruang Perbincangan

STI dan kesihatan reproduktif wanita tidak seharusnya terus menjadi isu senyap. Pendidikan kesihatan seksual yang tepat, mudah difahami dan selari dengan konteks tempatan perlu diperkukuh, khususnya dalam institusi pengajian tinggi. Dengan meningkatkan literasi kesihatan dan mengurangkan stigma, wanita muda boleh diperkasakan untuk menjaga kesihatan diri dengan lebih yakin dan bertanggungjawab.

Kesihatan reproduktif bukan sekadar isu perubatan, tetapi mencerminkan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial wanita. Apabila isu ini dibincangkan secara terbuka dan berfakta, masyarakat akan lebih bersedia untuk melihatnya sebagai tanggungjawab bersama, bukan sesuatu yang perlu disembunyikan.

Kesimpulan

Isu STI dan RTI dalam kalangan wanita muda memerlukan perhatian yang serius dan berterusan. Dengan pengetahuan yang betul, sikap yang positif dan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mesra serta beretika, kes jangkitan sebenarnya boleh dicegah dan dirawat lebih awal. Usaha memecahkan kesunyian ini penting bukan sahaja demi kesihatan wanita, tetapi juga demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara secara keseluruhan.

Preshella Venni Saravana dan Dr. Vanitha Mariappan,
Program Sains Bioperubatan,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi