Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada 8 November setiap tahun, dunia memperingati Hari Radiografi Sedunia atau World Radiography Day bagi memperingati detik bersejarah penemuan sinar-X oleh Wilhelm Conrad Roentgen pada tahun 1895. Penemuan ini telah merevolusikan dunia perubatan dan menjadi asas kepada pelbagai teknologi moden yang membentuk cara manusia memahami tubuh dan merawat penyakit.
Pada tahun ini, sambutan Hari Radiografi Sedunia mengetengahkan tema “Empowering Healthcare Through Imaging Excellence”. Tema ini menyoroti sumbangan besar bidang radiografi terhadap sistem kesihatan global melalui kecemerlangan teknologi pengimejan.
Meskipun sinaran sering dikaitkan dengan bahaya, hakikatnya radiasi wujud secara semula jadi di sekeliling manusia. Radiasi kosmik dari angkasa, radiasi terestrial daripada tanah dan batuan serta unsur radioaktif semula jadi seperti kalium-40 dalam tubuh manusia membuktikan bahawa pendedahan terhadap radiasi adalah sebahagian daripada keseimbangan alam. Dalam konteks tertentu, radiasi turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan bumi.
Pemahaman yang mendalam terhadap potensi radiasi telah mengubah cara manusia menilai sinaran tersebut, daripada sesuatu yang berisiko kepada sumber inovasi yang menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan sejagat. Pada masa ini juga, radiografi tidak lagi terbatas pada penghasilan imej organ dalaman. Bidang ini merupakan gabungan antara seni dengan sains yang mengungkap kisah kesihatan di sebalik tubuh manusia.
Dalam era perubatan moden, hampir setiap keputusan klinikal berlandaskan dapatan daripada imej diagnostik. Tanpa bantuan teknologi pengimejan, banyak penyakit hanya dapat dikesan pada tahap yang sudah parah. Kemajuan dalam modaliti seperti sinar-X, tomografi berkomputer (CT), pengimejan resonans magnet (MRI), ultrabunyi, mamografi dan perubatan nuklear juga telah membuka peluang untuk pengesanan awal penyakit kronik dan kanser, sekali gus meningkatkan keberkesanan rawatan serta kadar kelangsungan hidup pesakit.
Namun begitu, di kebanyakan negara membangun. termasuklah Malaysia, masih wujud cabaran tertentu dalam memastikan akses yang adil terhadap teknologi pengimejan moden. Jurang antara kawasan bandar dengan luar bandar telah menimbulkan isu kesaksamaan dalam perkhidmatan kesihatan.
Menyedari akan hakikat ini, pelbagai inisiatif seperti program bantuan dan perkhidmatan pengimejan mudah alih (mobile imaging units) dilaksanakan bagi membawa pemeriksaan radiologi terus ke kawasan luar bandar dan pedalaman. Langkah ini seiring dengan matlamat Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage) dan Matlamat Pembangunan Lestari yang menyokong hak setiap individu untuk mendapatkan rawatan diagnostik berkualiti tanpa mengira lokasi, jantina atau status sosioekonomi. Dalam erti kata lain, pelaburan dalam bidang radiografi sebenarnya merupakan pelaburan terhadap kesihatan, kesejahteraan dan masa depan negara.
Di sebalik setiap imej diagnostik yang jelas dan tepat, terdapat barisan juru-x-ray yang berkemahiran tinggi, beretika dan berdedikasi. Selain mengendalikan peralatan, mereka juga bertugas sebagai penjaga keselamatan radiasi, sumber ketenangan kepada pesakit yang cemas serta pelaksana protokol pemeriksaan yang memiliki disiplin dan ketelitian yang tinggi. Tanpa kecekapan dan komitmen mereka, ketepatan diagnosis yang menjadi asas rawatan moden tidak akan tercapai.
Peranan juru-x-ray turut meliputi tanggungjawab untuk mengimbangi kualiti imej dengan dos radiasi pesakit. Penerapan prinsip As Low As Reasonably Achievable (ALARA) yang diperkenalkan oleh National Council on Radiation Protection and Measurements sejak tahun 1977 kekal menjadi asas amalan keselamatan radiasi hingga kini.
Prinsip ini memastikan pesakit hanya terdedah kepada tahap radiasi minimum yang masih mampu menghasilkan imej berkualiti tinggi. Kesedaran dan pematuhan terhadap prinsip ini menjadikan juru-x-ray sebagai penjaga utama dalam penggunaan radiasi secara berhemah.
Sambutan Hari Radiografi Sedunia merupakan wadah untuk menghargai dedikasi warga juru-x-ray dalam bidang diagnostik dan terapi, di samping meraikan kemajuan pesat teknologi pengimejan. Hari istimewa ini juga menjadi ruang refleksi untuk menilai perkembangan bidang radiografi serta cabaran yang menanti pada masa hadapan seperti isu etika penggunaan data, peningkatan automasi dan keperluan mengekalkan keseimbangan antara kecanggihan teknologi serta nilai kemanusiaan dalam penjagaan pesakit.
Kecemerlangan dalam bidang pengimejan perubatan tidak mungkin dicapai tanpa inovasi, penyelidikan dan kerjasama berterusan. Kini, bidang radiografi sedang mengalami transformasi dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), radiomics dan pembelajaran mendalam.
Teknologi ini memudahkan pengesanan automatik kelainan, pengoptimuman dos, analisis imej berasaskan data raya serta meningkatkan kecekapan laporan diagnostik. Kemajuan ini bukan menggantikan manusia, sebaliknya memperkaya keupayaan tenaga profesional kesihatan dengan alat bantu pintar yang meningkatkan ketepatan, kecekapan dan kualiti penjagaan pesakit.
Bagi memastikan bidang ini terus relevan, pendidikan yang berterusan dan latihan profesional amat diperlukan. Pengamal radiografi perlu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan menguasai amalan terbaik selaras dengan perkembangan global.
Institusi latihan, hospital dan badan profesional pula memainkan peranan penting untuk menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat, ruang penyelidikan dan pembangunan kerjaya agar generasi baharu juru-x-ray lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.
Berbekalkan semangat “Empowering Healthcare Through Imaging Excellence”, diharapkan bidang radiografi terus menjadi tonggak kepada sistem kesihatan yang lebih cekap, selamat dan inklusif. Kecemerlangan dalam pengimejan bukan sekadar menghasilkan diagnosis yang tepat, malah memberikan harapan untuk sembuh, memperbaik kualiti hidup dan membina masa hadapan kesihatan yang lebih bermakna.
Selamat Menyambut Hari Radiografi Sedunia!
Ts. Nurul Dizyana Nor Azman,
Pensyarah,
Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor.