Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApabila melangkah masuk ke klinik kesihatan, perkara pertama yang sering kita lihat ialah ruang yang bersih, dinding berwarna putih dan kakitangan yang sibuk membantu pesakit. Suasana ini biasanya membuatkan kita berasa tenang dan yakin bahawa tempat itu selamat.
Namun begitu, di sebalik ketenangan tersebut, wujud satu hakikat yang jarang-jarang disedari, iaitu risiko jangkitan yang boleh berpindah antara pesakit, pelawat dengan petugas kesihatan. Klinik yang kelihatan bersih sebenarnya boleh menjadi tempat berkumpulnya pelbagai kuman berbahaya, terutamanya jika amalan kebersihan tidak dipatuhi dengan betul.
Pada setiap hari, ribuan pesakit datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan, menjalani pemeriksaan atau menerima suntikan vaksin. Dalam suasana sebegini, kesilapan kecil seperti batuk tanpa menutup mulut, menyentuh tombol pintu tanpa mencuci tangan atau menggunakan peralatan yang tidak disterilkan dengan sempurna boleh menyebabkan jangkitan merebak. Pergerakan manusia yang berterusan juga menjadikan klinik kesihatan berisiko menjadi tempat persinggahan pelbagai bakteria yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Rawatan Menjadi Punca Jangkitan
Dalam istilah perubatan, keadaan ini dikenali sebagai healthcare-associated infections (HCAI), iaitu jangkitan yang berlaku semasa seseorang itu sedang menerima rawatan di fasiliti kesihatan. HCAI boleh menyerang pesakit, pelawat atau petugas kesihatan tanpa mengira umur dan latar belakang kesihatan. Antara jangkitan yang sering dilaporkan termasuklah pneumonia, jangkitan saluran kencing akibat kateter serta jangkitan luka pembedahan.
Masalah ini bukan perkara kecil. Pesakit yang dijangkiti HCAI biasanya memerlukan rawatan yang lebih lama dan penggunaan antibiotik tambahan. Keadaan ini bukan sahaja menambahkan penderitaan pesakit, malah meningkatkan kos rawatan serta memberikan tekanan kepada sistem kesihatan negara. Pada peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir satu daripada sepuluh pesakit hospital berisiko untuk mengalami jangkitan jenis ini sepanjang tempoh rawatan mereka.
Bakteria Patogen: Musuh yang Tidak Kelihatan
Dalam ruang klinik yang kelihatan bersih sekalipun, bakteria berbahaya atau patogen seperti Methicillin-Resistant Staphylococcus aureus (MRSA), Klebsiella pneumoniae dan Escherichia coli boleh hidup di pelbagai permukaan. Bakteria ini digelar “pembawa senyap” kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun mampu menyebabkan jangkitan yang serius. Lebih membimbangkan, sebahagian daripadanya sudah menunjukkan ketahanan terhadap pelbagai jenis antibiotik, sekali gus menjadikan proses rawatan semakin sukar.
Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa bakteria tertentu boleh hidup di permukaan kering selama berminggu-minggu atau bahkan berbulan-bulan. Permukaan seperti meja pendaftaran, kerusi menunggu, tombol pintu dan katil rawatan sering menjadi kawasan utama pencemaran. Apabila pesakit, pelawat atau petugas menyentuh permukaan yang tercemar tanpa mencuci tangan, bakteria berpotensi berpindah dengan mudah daripada seorang individu kepada individu yang lain.
Persekitaran Klinik dan Punca Penyebaran
Klinik kesihatan merupakan tempat yang sentiasa sibuk dan keadaan ini menjadikan kawalan jangkitan sebagai cabaran yang besar untuk ditangani. Ruang menunggu yang sesak serta sistem pengudaraan yang kurang baik boleh meningkatkan risiko penyebaran bakteria melalui udara.
Selain itu, kelembapan pada permukaan di kawasan rawatan turut mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pembiakan bakteria. Oleh itu, kebersihan klinik juga melibatkan penyelenggaraan sistem udara, pencahayaan dan tahap kelembapan yang seimbang.
Peralatan perubatan pula memerlukan perhatian yang lebih teliti. Alat seperti stetoskop, termometer, otoskop, mesin oksigen dan jarum suntikan digunakan berulang kali antara pesakit. Jika tidak disterilkan dengan betul setiap kali selepas digunakan, peralatan ini boleh menjadi medium penyebaran bakteria daripada seorang pesakit kepada pesakit lain. Proses pensterilan dengan menggunakan autoklaf serta pembersihan menyeluruh selepas setiap penggunaan amat penting untuk memastikan keselamatan pesakit dan petugas kesihatan sentiasa terjamin.

Petugas dan Pesakit: Dua Sisi Tanggungjawab
Petugas kesihatan ialah barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam melindungi pesakit daripada jangkitan. Namun begitu, tanpa disiplin kebersihan yang tinggi, mereka juga boleh menjadi punca penyebaran bakteria.
Amalan mencuci tangan secara konsisten, penggunaan sarung tangan mengikut tatacara yang betul serta penukaran pelitup muka pada masa yang sesuai perlu dijadikan budaya kerja harian. Latihan dan pemantauan dalaman pula penting bagi memastikan setiap petugas kekal peka terhadap risiko jangkitan dan mematuhi langkah pencegahan yang ditetapkan.
Pada masa yang sama, pesakit dan pelawat turut memikul tanggungjawab untuk menjaga kebersihan diri. Pesakit yang batuk atau bersin di ruang tertutup tanpa perlindungan boleh menyebarkan bakteria melalui titisan udara.
Luka terbuka, sentuhan pada permukaan tercemar dan pernafasan juga menjadi laluan utama penyebaran jangkitan. Oleh itu, pendidikan kepada pesakit dan pelawat mengenai etika batuk, kebersihan tangan serta pemakaian pelitup muka perlu ditekankan bagi memastikan persekitaran klinik kekal bersih dan selamat untuk semua.
Dapatan Kajian Tempatan
Satu kajian yang dijalankan di beberapa klinik kesihatan awam di Malaysia mendapati bahawa MRSA dan A. faecalis (CRE) merupakan bakteria utama yang dikesan. Selain itu, bakteria lain seperti Staphylococcus aureus, Escherichia coli, Yersinia sp., Citrobacter sp. dan Enterococcus sp. turut ditemukan di pelbagai kawasan dalam klinik.
Yang menariknya, penyebaran bakteria didapati lebih banyak berlaku pada permukaan persekitaran (87.8 peratus) berbanding dengan peralatan perubatan (12.2 peratus). Antara kawasan yang paling terdedah kepada pencemaran termasuklah bilik rawatan pesakit (46.3 peratus) dan bilik pegawai perubatan (41.5 peratus). Dapatan ini menunjukkan bahawa permukaan yang sering disentuh mempunyai potensi yang besar untuk menjadi medium penyebaran bakteria jika kebersihan tidak dijaga dengan rapi.

Walaupun tahap pengetahuan dan sikap kakitangan kesihatan terhadap kebersihan dinilai memuaskan, pelaksanaan amalan pencegahan masih lemah. Kajian mendapati bahawa meja dan katil rawatan menyumbang hampir 60 peratus variasi pertumbuhan bakteria dalam kemudahan kesihatan. Faktor lain yang turut mempengaruhi termasuk kualiti udara dalaman, keberkesanan proses pembersihan serta tahap pematuhan terhadap prosedur kebersihan yang ditetapkan.
Dapatan ini membuktikan bahawa pengetahuan semata-mata tidak mencukupi untuk mengekang risiko jangkitan di klinik dan hospital. Tanpa amalan kebersihan yang konsisten, kesedaran dan pengetahuan yang dimiliki petugas kesihatan tidak akan mampu melindungi pesakit daripada ancaman bakteria yang tersembunyi di persekitaran rawatan.
Langkah Pencegahan
Sebenarnya, pencegahan HCAI berpaksikan prinsip yang mudah, iaitu disiplin dan ketekalan dalam amalan kebersihan. Antara langkah utama yang perlu diberikan perhatian termasuklah mencuci tangan dengan teknik yang betul, mensterilkan peralatan selepas digunakan, membersihkan permukaan berisiko tinggi secara berkala, memastikan sistem pengudaraan berfungsi dengan baik serta memperkukuh program latihan dan kesedaran dalam kalangan warga klinik.

Langkah ini mungkin kelihatan mudah, namun apabila diamalkan secara berterusan dan menyeluruh, kesannya sangat besar. Setiap tindakan kecil mampu menjadi sebahagian daripada rantaian perlindungan yang mampu menghalang penyebaran bakteria serta mengurangkan risiko jangkitan silang antara pesakit, pelawat dengan petugas kesihatan.
Klinik Kesihatan yang Selamat
Keselamatan pesakit merupakan tanggungjawab bersama yang menuntut komitmen semua pihak, daripada doktor, jururawat, petugas kebersihan, hinggalah melibatkan pesakit dan pelawat. Klinik kesihatan yang bersih dan selamat melambangkan sistem penjagaan kesihatan yang beretika, profesional serta berdaya tahan dalam melindungi nyawa dan kesejahteraan masyarakat.

Peningkatan kesedaran terhadap risiko jangkitan bersama pelaksanaan langkah kawalan yang berterusan akan membina kepercayaan masyarakat terhadap mutu perkhidmatan kesihatan awam. Dengan semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab, setiap klinik mampu berfungsi sebagai tempat rawatan yang benar-benar menyembuhkan dan bukan sumber kebimbangan kepada pesakit dan masyarakat.
Profesor Madya ChM Dr. Normah Awang, Subki Ahmad dan Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin,
Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.