Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDemam campak (measles) dan rubela (German measles) merupakan penyakit berjangkit yang berpotensi mendatangkan komplikasi yang serius kepada kanak-kanak. Bagi melindungi masyarakat daripada ancaman ini, Program Imunisasi Kebangsaan telah menetapkan pemberian vaksin MMR kepada bayi ketika berumur sembilan bulan dan 12 bulan. Di Sabah, langkah tambahan turut dilaksanakan dengan pemberian dos vaksin campak pada usia enam bulan.
Pada tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperluas usaha pencegahan tersebut melalui pelaksanaan Measles-Rubella Supplementary Immunisation Activity (MR-SIA). Program ini menyediakan imunisasi campak rubela (MR) secara percuma kepada semua kanak-kanak berumur enam bulan hingga 59 bulan, iaitu di bawah lima tahun. Dalam erti kata lain, pemberian vaksin ini melibatkan kanak-kanak yang lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025.
Pemberian vaksin MR di bawah program ini dijalankan di Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara bermula 4 Ogos hingga 12 Oktober 2025. Melalui inisiatif ini, kerajaan Malaysia berhasrat mencapai sasaran penghapusan demam campak dan rubela menjelang tahun 2030, selaras dengan komitmen antarabangsa untuk memperkukuh kesihatan awam.

Campak
Campak merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus campak. Penyakit ini tergolong dalam jangkitan yang sangat mudah menular, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan berpotensi menyebabkan komplikasi yang serius. Penularan berlaku melalui udara apabila titisan cecair daripada mulut dan hidung individu yang dijangkiti tersebar semasa bercakap, batuk atau bersin.
Program Imunisasi Campak Kebangsaan yang dilaksanakan sejak sekian lama telah memberikan perlindungan kepada kebanyakan kanak-kanak di Malaysia. Namun begitu, kebelakangan ini berlaku peningkatan kes campak di bandar utama yang didorong oleh faktor kemasukan warga asing serta pengaruh gerakan antivaksin. Keadaan ini menimbulkan cabaran baharu kepada usaha kawalan penyakit.
Gejala awal campak termasuklah demam dengan suhu yang tinggi, batuk, mata berair serta kemunculan ruam merah yang merebak ke seluruh badan. Walaupun kebanyakan kanak-kanak pulih selepas dijangkiti, sesetengah kes boleh mengakibatkan komplikasi yang serius, terutamanya dalam kalangan individu yang mengalami kekurangan zat makanan atau mempunyai sistem imun yang lemah.
Komplikasi campak boleh melibatkan pelbagai organ penting seperti telinga, paru-paru, otak dan saluran pencernaan. Dalam kes yang parah, jangkitan ini berisiko membawa maut. Bagi wanita hamil, jangkitan campak boleh mendatangkan kesan buruk seperti keguguran atau kelahiran pramatang, sekali gus menekankan kepentingan langkah pencegahan melalui imunisasi.
Rubela (German Measles)
Rubela atau demam campak Jerman merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan virus. Penyakit ini lazimnya menimbulkan gejala demam ringan dan kemunculan ruam kemerahan yang merebak ke seluruh badan.
Penularan berlaku melalui titisan cecair daripada pesakit yang bersin atau batuk. Jangkitan juga boleh berlaku apabila seseorang menyentuh mulut, hidung atau mata selepas menyentuh permukaan yang tercemar dengan titisan tersebut. Selain itu, perkongsian makanan dan minuman dengan individu yang dijangkiti turut meningkatkan risiko penularan.
Bagi kebanyakan kanak-kanak dan orang dewasa, rubela hanya menimbulkan gejala yang ringan dan pulih dalam tempoh seminggu tanpa memerlukan rawatan khusus. Walau bagaimanapun, penyakit ini mendatangkan risiko yang amat besar kepada wanita hamil kerana boleh menyebabkan sindrom rubela kongenital atau congenital rubella syndrome (CRS) pada janin. CRS boleh mengakibatkan kecacatan kekal yang serius seperti kehilangan penglihatan, masalah pendengaran, penyakit kardiovaskular serta gangguan perkembangan mental.
Kepentingan Program MR-SIA
Program MR-SIA diperkenalkan sebagai langkah tambahan kepada imunisasi rutin yang sedia ada bagi meningkatkan perlindungan masyarakat terhadap penyakit campak dan rubela. Keperluan ini tercetus kerana kadar liputan imunisasi pada peringkat daerah masih belum mencapai tahap yang disasarkan.
Menurut KKM, liputan imunisasi campak, beguk, dan rubela (MMR) secara purata melebihi 95 peratus pada setiap tahun. Namun begitu, pada tahun 2024, hanya 62 peratus daerah berjaya mencapai tahap liputan 95 peratus yang disasarkan.
Keadaan ini menunjukkan keperluan untuk memperkukuh imuniti kelompok (herd immunity). Bagi memastikan penghapusan sesuatu penyakit daripada populasi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan imuniti kelompok perlu mencapai sekurang-kurangnya 95 peratus.
Data WHO pada tahun 2023 menganggarkan seramai 107 500 orang meninggal dunia akibat campak dan majoritinya melibatkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Statistik ini membuktikan kumpulan umur tersebut mempunyai risiko kematian yang paling tinggi apabila dijangkiti.
Situasi di Malaysia turut membimbangkan, apabila 44.1 peratus kes campak dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun, manakala 28.9 peratus melibatkan bukan warganegara. Lebih 84 peratus daripada kes bukan warganegara tersebut berlaku dalam kalangan individu yang tidak pernah divaksin.
Tren kes campak di Malaysia menunjukkan peningkatan yang ketara. Jumlah kes meningkat hampir dua kali ganda, yakni daripada 2002 pada tahun 2023 kepada 3791 pada tahun 2024.
Bilangan wabak juga bertambah daripada 112 pada tahun 2023 kepada 231 pada tahun 2024. Tiga kematian dilaporkan pada tahun 2024 melibatkan kanak-kanak bukan warganegara yang tidak divaksin, masing-masing berumur lapan bulan, tiga tahun dan 17 tahun.
Selain faktor tempatan, kesan pandemik COVID-19 turut menyumbang kepada peningkatan risiko. Gangguan terhadap perkhidmatan imunisasi rutin di seluruh dunia menyebabkan kira-kira 20.6 juta kanak-kanak terlepas dos pertama vaksin campak pada tahun 2021. Oleh itu, pelaksanaan program tambahan seperti MR-SIA amat penting untuk menutup jurang imunisasi, mencegah berlakunya wabak, dan memastikan Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran penghapusan campak dan rubela menjelang tahun 2030.
Peranan Ibu Bapa dan Masyarakat
Kejayaan pelaksanaan Program MR-SIA sangat bergantung pada sokongan serta kerjasama berterusan daripada ibu bapa dan masyarakat. Ibu bapa memikul tanggungjawab utama dengan memastikan anak-anak mereka yang berumur antara enam bulan hingga 59 bulan dibawa ke klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan vaksin MR. Tindakan proaktif ini bukan sahaja melindungi anak sendiri, malah turut menyumbang kepada pembentukan imuniti kelompok dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlu menjadi saluran maklumat yang tepat dengan menyebarkan pengetahuan yang sahih dan berasaskan sains mengenai program MR-SIA kepada keluarga, jiran dan rakan-rakan. Penyebaran maklumat yang benar amat penting bagi mengelakkan pengaruh mitos atau maklumat tidak sahih tentang vaksin yang boleh melemahkan usaha kesihatan awam.

Masyarakat secara keseluruhannya juga berperanan memastikan kejayaan program ini dengan menghadiri sesi vaksinasi yang telah dijadualkan serta memanfaatkan kemudahan yang tersedia, termasuklah penggunaan aplikasi MySejahtera untuk membuat janji temu atau hadir tanpa janji temu di klinik kesihatan. Melalui sokongan padu daripada ibu bapa dan masyarakat, Malaysia dapat melangkah lebih hampir ke arah sasaran penghapusan campak dan rubela, sekali gus melindungi generasi masa hadapan daripada ancaman penyakit berjangkit yang serius.
Faedah Jangka Panjang
Program MR-SIA memberikan impak yang besar terhadap kesihatan awam negara, bukan sahaja dalam jangka masa terdekat tetapi juga untuk generasi yang akan datang. Dari sudut kesihatan masyarakat, program ini berperanan meningkatkan tahap kesejahteraan komuniti dengan mengurangkan kadar jangkitan campak dan rubela sehingga ke tahap yang boleh dihapuskan sepenuhnya di Malaysia. Langkah ini secara langsung melindungi kumpulan berisiko tinggi seperti bayi, wanita hamil serta individu yang mempunyai sistem imun yang lemah, termasuklah pesakit kanser dan pesakit dengan kecelaruan imuniti.
Dari segi ekonomi, pencegahan melalui imunisasi jauh lebih menjimatkan berbanding rawatan. Kos yang diperlukan untuk merawat komplikasi serius akibat campak dan rubela seperti kerosakan otak, ketulian, dan kecacatan kekal akibat CRS, amat tinggi serta membebankan sepanjang hayat pesakit. Oleh sebab itu, pelaburan dalam program imunisasi bukan sahaja melindungi kesihatan awam, malah mengurangkan beban kewangan negara.
Di samping itu, program ini memberikan jaminan perlindungan berpanjangan kepada generasi masa hadapan. Dengan menghentikan penularan penyakit secara berkesan, rantaian jangkitan dapat diputuskan dan kanak-kanak pada masa hadapan akan terus terlindung daripada ancaman ini. Secara tidak langsung, Malaysia turut menyumbang kepada matlamat global yang digariskan WHO untuk menghapuskan campak dan rubela di rantau Asia Tenggara.

Kesimpulannya, program MR-SIA 2025 merupakan langkah proaktif yang signifikan dalam usaha melindungi kesihatan kanak-kanak serta masyarakat Malaysia secara keseluruhan. Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kefahaman tentang kepentingan program ini amat penting bagi memastikan sokongan yang padu dapat diberikan. Vaksinasi bukan sahaja berfungsi sebagai perlindungan kepada anak sendiri, malah turut melindungi masyarakat, khususnya golongan berisiko tinggi seperti bayi, wanita hamil dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama mendukung pelaksanaan program MR-SIA demi mencapai matlamat Malaysia bebas daripada campak dan rubela. Komitmen kolektif ini akan membuka jalan ke arah masa depan yang lebih sihat, sejahtera dan terjamin untuk seluruh rakyat.
Dr. Nor Faiza Mohd. Tohit,
Pakar Perubatan Kesihatan Awam,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.