Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApabila disebut sahaja perkataan stres, pasti terbayang pelbagai perkara dalam fikiran seperti bebanan kerja, ketidakseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan, masalah kewangan, hubungan yang renggang atau apa-apa sahaja yang menekan jiwa. Kajian terkini menunjukkan bahawa tahap stres dalam kalangan masyarakat Malaysia terus meningkat. Keadaan ini tidak terhad kepada golongan pekerja, bahkan turut dialami oleh pelajar dan kanak-kanak. Secara ringkas, stres semakin bertambah dalam semua peringkat umur masyarakat dari semasa ke semasa.
Namun demikian, tahukah anda bahawa stres tidak semestinya mengundang kesan yang buruk? Dalam bidang psikologi, stres dibahagikan kepada dua kategori, iaitu eustres dan distres. Kedua-duanya menyumbang kepada pengaruh yang berbeza terhadap kesejahteraan fizikal, mental dan emosi individu. Oleh sebab itu, memahami peranan serta perbezaan stres ini penting supaya kita mampu mengurus keadaan itu dengan lebih berkesan.
Makna di Sebalik Stres
Perkataan stres berasal daripada istilah Greek, iaitu stringere yang bermaksud ketat atau tegang. Menurut Mahmood Nazar Mohamed (2018) dalam bukunya yang berjudul Pengantar Psikologi, stres dapat difahami melalui tiga sudut utama.
Pertama, kewujudan rangsangan dalam bentuk fizikal, fisiologi dan psikologi seperti bunyi bising, suhu yang melampau, sakit, jangkitan penyakit atau emosi marah. Kedua, tindak balas semula jadi badan terhadap tuntutan atau tekanan yang timbul daripada dalaman seseorang. Ketiga, keupayaan individu berinteraksi dengan persekitaran yang menjadi punca stres serta tahap penyesuaian dirinya terhadap keadaan tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa stres merupakan desakan yang mendorong kita untuk bertindak balas terhadap cabaran, ancaman atau perubahan dalam kehidupan.
Hans Selye (1907–1982), seorang ahli endokrinologi yang dianggap sebagai pelopor dalam kajian stres memperkenalkan konsep stres sebagai tindak balas fisiologi terhadap tekanan melalui Teori Sindrom Adaptasi Am. Apabila seseorang itu berdepan dengan situasi yang mencabar seperti tarikh akhir tugasan, temu duga kerja atau konflik dalam hubungan, badan akan menghasilkan hormon stres seperti adrenalin dan kortisol. Kedua-dua hormon ini meningkatkan kadar degupan jantung, mempercepat pernafasan dan menambah tenaga secara mendadak sebagai persediaan untuk bertindak.
Selye turut membezakan stres kepada dua kategori, iaitu eustres dan distres. Kedua-dua jenis stres ini mendatangkan kesan yang berbeza terhadap kesejahteraan seseorang.
Eustres: Stres yang Baik
Eustres merujuk bentuk stres yang positif serta bermanfaat. Tekanan jenis ini berlaku apabila tahapnya masih terkawal dan mendorong peningkatan prestasi serta motivasi.
Eustres berfungsi sebagai rangsangan kepada minda dan emosi untuk terus berkembang, berani mencuba perkara baharu serta berusaha untuk mencapai matlamat hidup. Antara situasi yang sering menimbulkan eustres termasuklah hari pertama bekerja di tempat baharu, persediaan majlis perkahwinan, penyertaan dalam sukan atau pertandingan, pengalaman menyampaikan ucapan di hadapan khalayak, usaha memulakan perniagaan kecil dan keinginan untuk mendalami pengetahuan baharu.
Richard Lazarus (1922–2002), seorang pakar psikologi dari Amerika Syarikat menjelaskan bahawa eustres berlaku apabila individu itu menilai rangsangan sebagai sesuatu yang boleh dikawal dan dianggap sebagai peluang, bukannya ancaman. Penilaian kognitif atau persepsi terhadap situasi berperanan besar dalam menentukan reaksi seseorang.
Sebagai contoh, walaupun jantung berdegup kencang, rasa berdebar atau tangan berpeluh, individu masih berasa teruja dan bermotivasi untuk memberikan yang terbaik. Dalam erti kata lain, eustres penting dalam perkembangan diri kerana membantu seseorang itu keluar daripada zon selesa dan membuka ruang untuk mencuba pengalaman baharu.
Distres: Stres yang Buruk
Distres merujuk tekanan yang berlebihan atau berpanjangan sehingga menyebabkan individu itu hilang semangat, berasa cemas dan gagal mengawal keadaan. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, distres boleh menimbulkan kesan negatif terhadap kesihatan mental dan fizikal.
Antara situasi yang lazim menimbulkan distres termasuklah kehilangan orang tersayang, berlakunya konflik dalam keluarga atau di tempat kerja, masalah kewangan yang serius, kegagalan dalam pelajaran atau kerjaya serta pengalaman menghadapi penyakit kronik. Selain itu, rasa rendah diri akibat membuat perbandingan dengan orang lain juga boleh menjadi punca utama yang melemahkan emosi dan semangat individu.
Aaron Beck (1921–2021), pengasas Terapi Kognitif Tingkah Laku menjelaskan bahawa tekanan emosi seperti distres berkait rapat dengan cara seseorang itu mentafsir pengalaman hidupnya. Pemikiran yang negatif, tidak realistik atau terlalu umum boleh memperburuk keadaan.
Sebagai contoh, seseorang yang gagal memperoleh tawaran universiti mungkin melihat dirinya sebagai tidak bernasib baik, sering gagal dan menganggap masa hadapannya telah berakhir. Walaupun perkara ini kelihatan kecil, distres boleh mengundang kesan yang serius seperti gangguan tidur, kemurungan, serangan panik, penurunan daya tumpuan dan masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung serta kelemahan sistem imun.
Tanda Stres
Stres sebagai bentuk rangsangan akan menimbulkan pelbagai tindak balas dalam badan, sama ada dari segi fizikal, emosi, kognitif atau tingkah laku. Dari sudut fizikal, stres sering menyebabkan kesukaran untuk tidur, sakit kepala, keletihan yang melampau, pertumbuhan jerawat serta penurunan kehendak seksual. Dari sudut emosi, individu akan mudah berasa iri hati, cepat marah, hilang minat terhadap aktiviti harian serta dilanda rasa gelisah, runsing dan tidak tenteram.
Dari sudut kognitif pula, stres boleh mengakibatkan fikiran bercelaru, kesukaran menumpukan perhatian, kelemahan membuat keputusan, terfikir untuk melarikan diri daripada masalah serta ketidakupayaan menyiapkan tugasan sehingga selesai. Dari sudut tingkah laku, stres biasanya ditunjukkan melalui kecenderungan bekerja secara berlebihan, perubahan selera makan, pengambilan rokok, alkohol atau dadah, enggan berehat atau beriadah serta sikap mengasingkan diri daripada orang lain.
Menurut laporan oleh World Health Organization pada tahun 2022, stres kronik merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan masalah kesihatan mental pada peringkat global dan perlu diberikan perhatian yang serius. Jika stres berlaku berulang kali dan gagal diurus dengan baik, individu berisiko menghadapi gangguan hubungan sosial serta penyakit psikosomatik seperti depresi, keresahan, penyakit jantung, diabetes, penyalahgunaan bahan dan masalah kesihatan lain yang berpunca daripada stres.
Rawat Sebelum Lewat
Tidak semua stres perlu dihindari dan tidak semua stres juga perlu diikuti. Cara seseorang itu menilai stres akan menentukan kesannya dalam kehidupan seharian.
Kesedaran tentang hal ini wajar dipupuk sejak di bangku sekolah kerana sebahagian besar masalah kesihatan mental dalam kalangan dewasa berpunca daripada kegagalan mengurus stres sejak kecil. Tanpa latihan untuk membina daya tahan yang baik semasa membesar, individu mudah terkesan oleh perkara kecil atau isu yang tidak berkaitan dengannya secara langsung.
Kesedaran awal tentang pengurusan stres dapat disalurkan melalui peranan kaunselor sekolah atau guru bimbingan dan kaunseling. Hal ini juga seiring dengan satu daripada fokus utama bidang bimbingan dan kaunseling sekolah, iaitu aspek psikososial dan kesejahteraan mental murid.
Sebagai latihan kendiri, terdapat beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan untuk memahami stres dengan lebih mendalam. Individu disarankan mengenal pasti punca stres, memahami proses berlakunya stres bermula daripada sebab hingga kesannya terhadap diri serta meneliti situasi yang kerap mencetuskan tekanan.
Selepas itu, perancangan perlu dibuat dengan membina aktiviti pengurusan stres dan melatih diri untuk melaksanakannya secara konsisten. Selain itu, penting juga untuk membezakan antara eustres dan distres yang dialami sebagai asas perkembangan diri. Melalui langkah ini, seseorang itu akan menjadi lebih peka terhadap keadaan diri dan persekitaran, sekali gus lebih bersedia untuk menghadapi cabaran hidup.
Dapatkan Bantuan Profesional
Sekiranya stres tidak lagi terkawal, mengganggu kehidupan harian atau menimbulkan rasa putus asa, pilihan untuk mendapatkan bantuan profesional merupakan pilihan yang tepat. Kaunselor, ahli psikologi atau doktor psikiatri boleh membantu melalui sesi terapi, kaunseling, atau rawatan bersesuaian. Untuk rujukan pantas, laman sesawang findahelpline.com/my menyediakan senarai organisasi di Malaysia yang menawarkan khidmat sokongan kesihatan mental.
Masyarakat juga tidak sepatutnya berasa malu atau takut untuk mendapatkan bantuan kerana menjaga kesihatan mental sama pentingnya dengan menjaga kesihatan fizikal. Imam Al-Ghazali (1058–1111) dalam karya Ihya’ Ulumuddin menegaskan bahawa jiwa manusia ibarat raja yang memerintah badan. Keseimbangan jiwa yang sihat akan mengawal akal, nafsu dan anggota badan agar tidak merosakkan diri. Beliau juga menekankan peranan agama dan nilai keimanan dalam membentuk jiwa yang seimbang, berakhlak mulia serta mampu mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Realitinya, stres tidak dapat dielakkan kerana merupakan sebahagian daripada kehidupan. Perkara yang membezakan kesannya bergantung pada cara seseorang mengurus tindak balas terhadap stres tersebut. Eustres mampu menjadi pemangkin kepada pencapaian dan pertumbuhan diri, manakala distres berpotensi menjejaskan kesejahteraan sekiranya tidak dikawal.
Masyarakat yang prihatin perlu mengutamakan sokongan bersama dalam menghadapi stres. Kesedaran, pemahaman dan tindakan yang tepat akan menjadi asas kepada pembentukan kehidupan yang lebih seimbang, sihat dan sejahtera.
M. Afif Luqman Ahmad Tarmidzi,
Pelajar Bimbingan dan Kaunseling,
Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar.