Diterbitkan pada 4 Ogos 2025, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pernahkah anda mendengar tentang penyakit kencing tikus? Walaupun kedengaran remeh, hakikatnya leptospirosis, iaitu nama saintifik bagi penyakit ini ialah sejenis penyakit zoonotik yang berbahaya serta boleh mengancam nyawa manusia.

Penyakit ini berpunca daripada bakteria Leptospira yang hidup di dalam ginjal haiwan seperti tikus, anjing, kucing liar dan ternakan seperti lembu serta kerbau. Haiwan yang dijangkiti selalunya tidak menunjukkan tanda sakit, namun air kencing haiwan itu mampu mencemarkan air, tanah dan permukaan persekitaran. Dalam keadaan lembap, bakteria ini boleh terus hidup selama berminggu-minggu. Keadaan ini menjadikan kawasan bertakung, kotor atau laluan tikus sebagai kawasan yang sangat berisiko.

Sejak kebelakangan ini, negara digemparkan dengan beberapa kes kematian tragik akibat jangkitan wabak ini. Kejadian tersebut telah mengejutkan banyak pihak dan sekali gus membuka mata masyarakat tentang betapa seriusnya ancaman sebenar penyakit kencing tikus.

Di Malaysia, penyakit ini tidak lagi dianggap sebagai isu terpencil, sebaliknya, menjadi penanda aras terhadap tahap kebersihan persekitaran. Leptospirosis mendapat perhatian lebih serius selepas beberapa kejadian wabak dilaporkan di kawasan rekreasi dan semasa bencana banjir.

Sejak tahun 2010, penyakit ini telah digazetkan sebagai penyakit yang wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. Statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa negeri Perak, Selangor dan Pahang kerap mencatatkan jumlah kes yang tinggi, terutamanya ketika musim hujan.

Namun begitu, isu ini tidak seharusnya difahami sebagai masalah kesihatan awam semata-mata. Di sebalik insiden yang berlaku, tersembunyi krisis pengurusan sisa pepejal, pembaziran makanan serta tabiat masyarakat yang mengabaikan kebersihan.

Penyebaran penyakit ini bukan sahaja berpunca daripada tikus, bahkan berkait rapat dengan sikap manusia yang secara tidak langsung mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk bakteria membiak. Apabila sisa makanan dibuang sesuka hati, longkang dibiarkan tersumbat dan tong sampah tidak ditutup dengan sempurna, maka satu ekosistem yang menyokong kelangsungan hidup tikus dan bakteria Leptospira telah terbentuk.

Sejak zaman dahulu, tikus menjadi “penumpang gelap” dalam kehidupan manusia Walaupun bersaiz kecil, tikus merupakan antara agen penyebar penyakit yang berbahaya, termasuklah leptospirosis.

Selain tikus, haiwan seperti anjing, kucing liar dan haiwan ternakan turut berpotensi menjadi pembawa senyap penyakit ini. Dalam masyarakat yang semakin mengabaikan aspek kebersihan, haiwan yang dahulunya jinak kini boleh menjadi pembawa maut.

Pada masa yang sama, yang lebih merisaukan ialah hakikat bahawa bakteria Leptospira tidak terdiri daripada satu jenis sahaja. Menurut kajian oleh penyelidik dari India, sekurang-kurangnya lapan jenis spesies Leptospira telah dikenal pasti melalui pemerhatian mikroskopik. Kepelbagaian ini menunjukkan bahawa bakteria tersebut sangat kompleks serta berpotensi menyebabkan kesan jangkitan yang pelbagai, bergantung pada jenis strain yang menyerang tubuh manusia.

Kepelbagaian spesies bakteria Leptospira yang direkodkan melalui mikroskop (Gopi et al., 2021).

Leptospira yang Membunuh Manusia

Apabila seseorang itu terdedah kepada air yang tercemar atau apabila luka terdedah kepada air kencing haiwan seperti tikus, anjing atau kucing yang telah dijangkiti, bakteria Leptospira akan mula bergerak dalam aliran darah. Badan manusia akan segera mengesan kehadirannya.

Sistem imun akan bertindak balas dengan mengisytiharkan “perang”. Sel imun melepaskan molekul isyarat seperti interleukin dan TNF-α yang bertindak sebagai “senjata kimia”, lalu mencetuskan demam, bengkak dan keradangan.

Menariknya, keradangan yang berlaku bukan berpunca secara langsung daripada bakteria, sebaliknya daripada tindak balas sistem pertahanan tubuh. Keadaannya seumpama rumah yang terbakar bukan kerana penceroboh tetapi kerana bahan letupan yang digunakan untuk menghalaunya. Namun demikian, jika sistem imun terlalu lemah, keradangan mungkin tidak berlaku dan situasi ini jauh lebih berbahaya.

Hal ini dikatakan demikian kerana Leptospira juga berupaya menyerang badan manusia secara langsung tanpa bantuan sistem imun. Serangan ini berlaku melalui dua mekanisme utama, iaitu toksin bakteria yang merosakkan sel secara kimia serta enzim penguraian tisu yang memecahkan struktur sel dan organ penting seperti hati, buah pinggang dan paru-paru.

Serangan ini berlaku secara perlahan, namun sangat merosakkan selain tidak memerlukan tindak balas imun untuk mencetuskan kerosakan. Akibatnya, organ utama boleh gagal berfungsi dalam tempoh yang singkat.

Hati pula boleh mengalami kerosakan sehingga menyebabkan kekuningan pada mata dan kulit (jaundis). Buah pinggang gagal menapis darah, manakala paru-paru boleh bocor sehingga menyebabkan batuk berdarah. Bahkan, otak juga boleh mengalami keradangan. Keadaan ini menjadikan leptospirosis sebagai penyakit yang sangat membimbangkan. Bakteria kecil ini mampu mencetuskan badai dalam badan manusia dan mengancam nyawa.

Leptospirosis: Bahaya yang Terhasil daripada Persekitaran Kotor

Penularan leptospirosis kepada manusia berlaku apabila seseorang itu bersentuhan dengan bahan tercemar, khususnya melalui luka yang terbuka, kulit yang pecah atau membran mukus seperti mata, hidung dan mulut. Pencemaran silang pula terjadi apabila permukaan, air atau objek yang tercemar oleh air kencing haiwan pembawa disentuh atau digunakan tanpa disedari.

Antara situasi yang biasa berlaku termasuklah apabila minuman tin atau bungkusan makanan disimpan di kawasan gudang atau kedai yang telah dicemari tikus. Selain itu, alatan dapur, lantai, kasut dan pakaian yang terdedah kepada kawasan banjir atau genangan air tercemar turut berisiko menjadi medium penyebaran bakteria. Makanan mentah yang disediakan di atas permukaan yang tidak dibersihkan terlebih dahulu juga boleh menyebabkan jangkitan jika bakteria masih wujud di permukaan tersebut.

Situasi menjadi lebih serius apabila haiwan terinfeksi berkeliaran berhampiran dengan manusia seperti di kawasan perumahan, pasar dan premis makanan. Jangkitan silang bukan sahaja berlaku melalui sentuhan langsung dengan haiwan pembawa, malah melalui rantaian pencemaran tidak langsung yang melibatkan kaki, tangan, pakaian serta peralatan harian yang seterusnya menyentuh badan manusia.

Lebih membimbangkan, semua ini berpunca daripada persekitaran yang tidak bersih, hasil daripada sikap manusia yang mengabaikan pengurusan sisa dan kebersihan asas. Dalam dunia yang saling terhubung, pencemaran di satu kawasan boleh membawa risiko kesihatan kepada seluruh komuniti.

Gejala dan Komplikasi

Leptospirosis sering disalah anggap sebagai penyakit lain kerana gejalanya menyerupai demam denggi dan influenza. Antara gejala awal leptospirosis termasuklah demam yang berlaku secara mendadak, sakit kepala, sakit otot, terutamanya pada bahagian betis dan pinggang, muntah, loya serta cirit-birit. Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami kemerahan mata tanpa pengeluaran air mata yang berlebihan.

Sekiranya tidak dirawat, penyakit ini boleh mengakibatkan komplikasi yang serius. Antara tanda komplikasi termasuklah kekuningan pada kulit dan mata, pengeluaran air kencing yang berkurangan, batuk berdarah serta sesak nafas. Dalam kes yang lebih teruk, pesakit boleh mengalami kejutan septik dan kegagalan pernafasan akibat severe pulmonary hemorrhagic syndrome.

Sampah dan Pembaziran Makanan: Peluang Emas untuk Tikus Membiak

Tikus tidak akan membiak di kawasan yang bersih dan terurus. Haiwan ini cenderung mencari persekitaran yang menawarkan sumber makanan percuma dan tempat perlindungan seperti longgokan sisa makanan, tong sampah terbuka serta sistem perparitan yang tersumbat. Di kawasan bandar yang gagal menguruskan sisa pepejal secara sistematik, tikus mampu membiak dengan pantas dan menjadikan persekitaran tersebut berisiko tinggi untuk penyebaran penyakit seperti leptospirosis.

Masalah ini menjadi lebih parah apabila wujudnya masalah pembaziran makanan. Apabila lebihan makanan dibuang tanpa pengasingan atau tanpa sistem pengkomposan yang terurus, masyarakat secara tidak langsung telah mencipta satu ekosistem yang sesuai untuk tikus hidup dan membiak. Tabiat ini membuka ruang kepada penularan penyakit zoonotik yang berbahaya.

Sebagai langkah mengatasi isu sisa pepejal yang mewujudkan “syurga” buat sang tikus, Malaysia telah menggubal Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). Akta ini bertujuan untuk mengawal selia pengurusan sisa pepejal secara bersepadu dan mampan, menggalakkan pengasingan sisa di punca serta mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan. Selain itu, akta ini juga bertujuan meningkatkan tahap kebersihan awam dan kesihatan persekitaran.

Melalui akta tersebut, pihak berkuasa seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) diberikan kuasa untuk melaksanakan serta menguatkuasakan sistem pengurusan sisa yang cekap. Antara tanggungjawab yang digalas termasuklah mendidik masyarakat, menyediakan kemudahan pengasingan sisa dan mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran yang berlaku.

Namun begitu, undang-undang semata-mata tidak mencukupi. Tanpa perubahan tingkah laku dalam kalangan masyarakat, keberkesanan akta ini akan terbantut. Setiap individu perlu memainkan peranan untuk memastikan sisa makanan tidak menjadi “jemputan” kepada tikus. Pengasingan, pengkomposan yang betul serta pengurusan sisa secara berhemah perlu diamalkan demi kesihatan awam dan kesejahteraan generasi akan datang.

Kelalaian Manusia sebagai Faktor Penyumbang Utama

Tingkah laku manusia memainkan peranan besar dalam menentukan sama ada penularan leptospirosis dapat dicegah atau semakin memburuk. Malangnya, masih ramai yang memandang remeh amalan asas kebersihan seperti tidak mencuci minuman tin sebelum diminum, bermain air banjir tanpa perlindungan atau membuang sampah sesuka hati tanpa rasa tanggungjawab terhadap persekitaran.

Namun begitu, yang lebih merisaukan ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat sehingga kebanyakan daripada kita gagal melihat hubungan langsung antara kebersihan diri, pengurusan sisa yang baik dengan risiko jangkitan penyakit berbahaya. Lebih menyedihkan, wabak ini tidak hanya menjangkiti mereka yang mengabaikan kebersihan, malah turut memberikan kesan kepada individu yang mengamalkan kebersihan dengan baik. Hal ini berlaku kerana kita berkongsi ruang hidup yang sama. Golongan yang mempunyai daya tahan yang rendah seperti warga emas dan kanak-kanak terpaksa menanggung akibat hanya kerana kealpaan orang lain dalam menjaga kebersihan persekitaran bersama.

Kebersihan sebagai Barisan Pertahanan Pertama

Mencegah sentiasa lebih baik daripada merawat. Oleh itu, beberapa langkah penting perlu diamalkan bagi mengurangkan risiko jangkitan leptospirosis. Antara amalan yang boleh diusahakan bersama termasuklah mencuci bekas makanan dan minuman, terutamanya tin dan botol sebelum digunakan. Selain itu, elakkan daripada bermain air banjir, khususnya jika terdapat luka terbuka pada badan. Ketika menjalankan tugas di kawasan berisiko tinggi pula, penggunaan pakaian pelindung amat digalakkan.

Pengurusan sisa makanan juga perlu diberikan perhatian. Sisa perlu diasingkan dan dikompos dengan kaedah yang selamat bagi menghalang kehadiran tikus. Tong sampah pula harus ditutup dengan rapat dan dikutip secara berkala. Amalan kebersihan ini bukan sahaja terhad di rumah, malah perlu diterapkan di tempat kerja dan kawasan awam untuk membentuk satu budaya bersih yang menyeluruh.

Masalah Sampah, Masalah Kita Semua

Leptospirosis bukanlah penyakit yang hanya dibawa oleh tikus, sebaliknya merupakan petunjuk kepada kegagalan manusia dalam menjaga kebersihan persekitaran. Apabila sampah dibuang merata-rata, makanan dibazirkan tanpa rasa tanggungjawab dan amalan kebersihan tidak diberikan keutamaan, manusia secara langsung mencipta ruang yang mengundang jangkitan berbahaya.

Kebersihan merupakan keperluan asas yang melibatkan tanggungjawab bersama. Setiap tindakan kecil seperti membuang sisa dengan betul, membersihkan permukaan selepas digunakan dan menyusun semula tabiat harian yang lebih bersih akan menentukan sama ada bahaya dapat dielakkan ataupun terus mengancam. Pilihan tersebut terletak di tangan kita.

 

Profesor Madya Ir. Dr. Husnul Azan Tajarudin,
Bahagian Bioprocess Teknologi Kejuruteraan,
Pusat Pengajian Teknologi Industri,
Universiti Sains Malaysia.

Dr. Mohd Faznynell Idris,
Pegawai Perubatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi