Diterbitkan pada 29 Julai 2025, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Taman Eko Rimba Sekayu ialah satu daripada lokasi untuk rekreasi dan ekopelancongan semula jadi yang popular di pantai timur Malaysia. Taman ini berada dalam kawasan Hutan Simpanan Hulu Terengganu Tambahan di daerah Hulu Terengganu, kira-kira 56 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

Kawasan Taman Eko Rimba Sekayu merupakan kawasan hutan dipterokarpa pamah. Selain memiliki keindahan landskap, air terjun serta sungai yang sejuk dan bersih, kawasan ini turut menyimpan kekayaan biodiversiti flora dan fauna yang masih banyak belum dikaji.

Lokasi Taman Eko Rimba Sekayu (bertanda merah).

Hutan Simpanan Hulu Terengganu Tambahan bersempadan dengan Taman Negara Terengganu di sebelah barat dan barat daya serta berhampiran dengan Kuala Berang di sebelah timur. Hutan ini juga diliputi dengan hutan dara yang masih terpelihara.

Kepelbagaian bentuk muka bumi seperti cerun, lembah, sungai dan air terjun di Taman Eko Rimba Sekayu menyediakan pelbagai mikrohabitat untuk tumbuhan. Selain menjadi destinasi rekreasi dan ekopelancongan, taman ini juga menjadi lokasi untuk menjalankan kajian biodiversiti, konservasi dan pendidikan alam.

Pemandangan di Air Terjun Sekayu.
Air Terjun Sekayu (kiri), denai di sekitar Taman Eko Rimba Sekayu (tengah) dan burung hantu yang turut menghuni di Taman Eko Rimba Sekayu (kanan).
Persekitaran Sungai Peres mempunyai flora riparian (tumbuhan tebing sungai) yang penting seperti spesies herba, pokok renek, tumbuhan pemanjat dan pokok hutan tropika yang lain.
Batu-batuan yang terdapat di Sungai Peres.

Taman Eko Rimba Sekayu dikelaskan sebagai hutan dipterokarpa pamah yang mempunyai struktur berlapis daripada kanopi tinggi, pokok pertengahan, pokok renek hingga tumbuhan lantai hutan. Kewujudan aliran sungai dan beberapa anak sungai menjadikan persekitarannya sangat lembap dan sesuai untuk pelbagai spesies tumbuhan yang sensitif terhadap kelimpahan cahaya yang tinggi. Keadaan mikroiklim yang sejuk dan lembap turut menyumbang kepada kewujudan tumbuhan epifit, paku pakis serta tumbuhan herba di lantai hutan.

Usaha pendokumentasian kepelbagaian flora telah dilaksanakan oleh penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ketika penyertaan dalam Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Terengganu Tambahan pada Oktober 2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Penyelidik FRIM yang terlibat semasa Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpanan Terengganu Tambahan 2024.
Penyelidik FRIM bersama-sama kakitangan dari Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu yang turut membantu kerja di lapangan.

Berdasarkan hasil kerja lapangan yang dijalankan, penyelidik yang terlibat telah merekodkan hampir 55 spesies yang terdiri daripada pelbagai famili tumbuhan yang sedang berbunga dan berbuah di sekitar kawasan Taman Eko Rimba Sekayu. Antara spesies yang menarik perhatian termasuklah Scaphochlamys disticha daripada famili Zingiberaceae, iaitu halia kecil yang endemik kepada negeri Terengganu.

Selain itu, Thismia alba daripada famili Thismiaceae merupakan tumbuhan mikoheterotrofi yang tidak mempunyai klorofil dan bergantung pada hubungan dengan kulat mikoriza. Codonoboea atrosanguinea daripada famili Gesneriaceae pula merujuk herba berbunga cantik yang tumbuh di habitat yang redup.

Sementara itu, Labisia pumila daripada famili Myrsinaceae yang dikenali sebagai kacip fatimah adalah antara tumbuhan bagi ubat-ubatan tradisional Melayu yang penting dan turut menghuni Taman Eko Rimba Sekayu. Pokok palma tempatan seperti Licuala khoonmengii dan Licuala sallehana daripada Arecaceae pula merupakan palma bersaiz sederhana yang endemik dan sesuai untuk landskap semula jadi. Turut direkodkan ialah spesies daripada famili Acanthaceae, Begoniaceae, Euphorbiaceae, Melastomataceae, Orchidaceae, Pentaphragmataceae, Rubiaceae dan Taccaceae.

Scaphochlamys disticha yang tergolong dalam famili Zingiberaceae tumbuh di tanah lembap di tepian sungai.
Codonoboea atrosanguinea biasanya tumbuh di tebing cerun dan tepian denai semula jadi berhampiran dengan air terjun dan sungai. Bunganya yang menyerlah berpotensi tinggi sebagai tumbuhan hiasan dan endemik kepada Semenanjung Malaysia.
Begonia sinuata tumbuh di atas batu dan berpotensi sebagai tumbuhan hiasan.
Licuala sallehana merupakan spesies endemik bagi negeri Terengganu. Palma dengan daun berbentuk kipas bujur yang biasanya tumbuh berkelompok.
Licuala khoonmengii adalah spesies endemik negeri Terengganu yang berpotensi tinggi sebagai pokok landskap semula jadi.
Thismia alba merupakan spesies yang jarang-jarang ditemukan dan biasanya hanya tumbuh ketika musim hujan.

Di samping itu, tumbuhan lantai hutan seperti Begonia dan Phrynium memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelembapan tanah, mencegah hakisan dan menyediakan habitat kepada fauna kecil. Pokok besar seperti tumbuhan genus Ficus pula bertindak dalam mencegah hakisan tanah dan menghasilkan sumber makanan kepada fauna seperti burung dan kelawar pemakan buah.

Tumbuhan berbunga seperti Codonoboea pula menarik serangga pendebunga, sekali gus menjadikan ekosistem ini produktif dan lestari. Interaksi antara kulat mikoriza dengan spesies Thismia menunjukkan kepentingan interaksi bawah tanah dalam ekologi hutan.

Antara ancaman utama terhadap flora di Taman Eko Rimba Sekayu termasuklah perubahan iklim yang menjejaskan mikrohabitat akibat kejadian banjir atau kepala air. Beberapa strategi dicadangkan untuk mengatasi isu ini seperti meningkatkan usaha perlindungan untuk spesies langka dan endemik, membangunkan pangkalan data flora tempatan serta menjalankan pemantauan secara berkala, melatih komuniti supaya lebih cakna berkaitan dengan flora tempatan serta menubuhkan pusat interpretasi biodiversiti.

Selain itu, komuniti setempat juga boleh dilibatkan dalam usaha pemeliharaan dengan dilatih dalam pengenalan tumbuhan, kaedah penyimpanan spesimen, fotografi serta penggunaan sistem penempatan global (GPS) dan herbarium digital. Produk pelancongan berasaskan alam seperti kraf daripada daun palma boleh dibangunkan sebagai sumber ekonomi baharu yang lestari.

Tambahan pula, program pendidikan seperti Jungle School dan aktiviti pelajar seperti ekspedisi atau eksplorasi alam semula jadi akan memupuk minat generasi muda terhadap pemeliharaan biodiversiti. Kawasan Taman Eko Rimba Sekayu juga berpotensi sebagai kelas lapangan kepada pelajar kelas biologi untuk mengenali flora hutan tanah pamah dan spesies yang hidup di tepian sungai. Kerjasama antara agensi seperti JPNT, UMT, FRIM denganĀ  komuniti setempat boleh memanfaatkan kemudahan sedia ada seperti laluan denai, pondok dan taman herba untuk tujuan pendidikan alam dan penyebaran kesedaran biodiversiti.

Secara keseluruhannya, selain menjadi tempat rekreasi, Taman Eko Rimba Sekayu dan kawasan sekitarnya merupakan antara kawasan tumpuan biodiversiti yang kaya dengan flora unik, endemik dan bernilai tinggi. Struktur hutan ini menyediakan habitat kepada flora dan fauna, sekali gus menunjukkan hubungan antara kedua-duanya dalam mewujudkan ekosistem yang saling menyokong dan kompleks.

Oleh itu, pemeliharaan flora juga bermaksud pemeliharaan keseluruhan rantaian ekologi di kawasan ini. Kombinasi antara sains, komuniti dengan pelancongan lestari mampu menjadikan Taman Eko Rimba Sekayu sebagai model pembangunan biodiversiti berasaskan ekosistem hutan tropika yang boleh dicontohi. Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti global, pemeliharaan kawasan seperti Taman Eko Rimba Sekayu amat penting demi masa hadapan warisan semula jadi negara.

 

Siti Munirah Mat Yunoh, Suhaida Mustafa dan Syahida Emiza Suhaimi, Pegawai Penyelidik, Program Biodiversiti Flora, Bahagian Biodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi