Diterbitkan pada 28 Julai 2025, 11:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era keterhubungan digital yang pesat, media sosial telah menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat. Platform ini berfungsi sebagai saluran komunikasi dan gambaran kehidupan peribadi kepada khalayak luas. Dalam banyak keadaan, media sosial menjadi ruang untuk memperoleh perhatian dan penerimaan sosial berdasarkan bilangan tanda suka, tontonan serta komen yang diperoleh.

Keinginan untuk mendapat respons tinggi daripada pengguna lain mendorong individu meluangkan masa yang panjang di hadapan skrin. Setiap maklum balas dijadikan petunjuk kejayaan sesuatu hantaran. Semakin banyak reaksi diterima, semakin besar tanggapan bahawa kandungan yang dikongsi itu diterima dan dihargai oleh komuniti dalam talian. Hal ini juga membawa kepada peningkatan bilangan pengikut yang dianggap sebagai satu bentuk pencapaian peribadi.

Jumlah pengikut dalam sesebuah akaun media sosial sering ditafsirkan sebagai ukuran populariti seseorang. Individu yang mempunyai kurang daripada 1000 pengikut biasanya dianggap kurang menonjol dalam ruang digital. Mereka yang mempunyai antara 1000 hingga 5,000 pengikut pula berada dalam kategori pengaruh rendah, manakala angka antara 5000 hingga 10 000 meletakkan mereka dalam kelompok pertengahan. Hanya mereka yang memiliki lebih daripada 10 000 pengikut dikaitkan dengan pengaruh tinggi.

Perubahan ini menunjukkan peralihan dalam cara masyarakat menilai kedudukan sosial. Dahulu, tokoh pelajar seperti ketua pengawas atau pemain utama sukan sering dianggap sebagai individu paling dikenali dalam komuniti sekolah. Kini, kedudukan tersebut beralih kepada mereka yang memiliki bilangan pengikut tinggi di platform digital.

Dalam perkembangan berkaitan dengannya, perhatian dan pengiktirafan yang diterima dalam talian sering dikaitkan dengan perasaan puas dan bahagia. Banyak pengguna menjadikan media sosial sebagai ruang untuk mengisi keperluan emosi, lalu menilai kesejahteraan hidup berdasarkan sambutan terhadap kandungan yang dikongsi. Kebergantungan terhadap respons pengguna lain menjadikan kehadiran dalam media sosial satu keperluan psikologi yang sukar dikawal. Ketiadaan akses atau interaksi di platform ini boleh menyebabkan tekanan, kegelisahan dan rasa terputus daripada dunia sosial.

Keadaan ini memperlihatkan keadaan identiti digital dan identiti peribadi semakin berkait rapat. Dalam kalangan pengguna aktif, nilai dan harga diri sering dirujuk kepada jumlah pengikut serta reaksi terhadap kandungan yang dikongsi. Tindakan membandingkan diri dengan pengguna lain di pelbagai platform seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok menjadi satu kebiasaan. Media sosial kini memainkan peranan yang ketara dalam menentukan populariti dan kedudukan sosial individu dalam masyarakat.

Pengaruh ini lebih menonjol dalam kalangan Generasi Z, iaitu individu yang lahir antara tahun 1997 hingga tahun 2012. Mereka membesar bersama-sama teknologi digital dan media sosial, lalu menjadikan mereka lebih terdedah kepada tekanan populariti dalam talian. Menurut kajian, Malaysia berada dalam kedudukan kedua tertinggi di dunia bagi penggunaan media sosial, bersama-sama Filipina.

Antara Keperluan dengan Kehendak: Mengapakah Media Sosial Menjadi Pilihan?

Satu daripada persoalan utama dalam memahami tabiat penggunaan media sosial ialah apakah faktor yang mendorong seseorang menjadi pengguna setia platform ini? Adakah kecenderungan tersebut dipacu oleh keperluan, kehendak atau kombinasi kedua-duanya? Walaupun keperluan dan kehendak sering disalah anggap sebagai perkara yang serupa, kedua-duanya membawa maksud yang berbeza dalam konteks psikologi dan tingkah laku pengguna.

Keperluan merujuk  unsur asas yang penting untuk kesejahteraan manusia seperti keinginan untuk diterima dan diiktiraf dalam kalangan masyarakat. Beberapa pengkaji berpendapat bahawa keperluan ini merupakan satu daripada keperluan asas manusia dan media sosial menjadi antara saluran paling mudah dan cepat untuk memenuhinya. Sebaliknya, kehendak pula merupakan pelengkap kepada keperluan yang bukan bersifat asas tetapi membantu menjadikan kehidupan lebih selesa dan memuaskan.

Berdasarkan pengertian ini, media sosial boleh dianggap sebagai satu bentuk kehendak yang bertindak memenuhi keperluan asas seseorang. Maka itu, kedua-dua aspek ini saling berkait dan tidak dapat dipisahkan dalam menjelaskan keterikatan pengguna terhadap media sosial.

Dari sudut psikologi, kecenderungan terhadap penggunaan media sosial dapat dijelaskan melalui empat bentuk keperluan utama, iaitu keperluan kognitif, keperluan emosi, keperluan peribadi dan keperluan sosial.

Pertama, keperluan kognitif merujuk  keinginan untuk memperoleh maklumat, ilmu pengetahuan dan pemahaman terhadap isu semasa. Media sosial membekalkan pelbagai maklumat terkini, sama ada berkaitan dengan perkembangan dalam negara mahupun antarabangsa yang boleh diakses dengan mudah pada bila-bila masa.

Kedua, keperluan emosi melibatkan keperluan untuk mendapatkan hiburan dan melepaskan tekanan. Banyak pengguna menggunakan media sosial sebagai ruang untuk menenangkan diri, mengisi masa lapang atau mengatasi rasa sunyi. Melalui hantaran yang bersifat santai atau lucu, serta interaksi sosial secara maya, mereka memperoleh kelegaan daripada tekanan harian.

Ketiga, keperluan peribadi berkaitan dengan pembinaan dan pengukuhan identiti diri. Media sosial memberi ruang kepada individu untuk menonjolkan minat, kemahiran dan pendirian peribadi. Misalnya, individu yang mempunyai minat dalam bidang masakan sering menggunakan platform ini untuk berkongsi resipi dan video masakan sebagai bentuk ekspresi diri dan pembinaan reputasi dalam komuniti digital.

Keempat, keperluan sosial melibatkan hubungan antara individu dalam masyarakat. Media sosial menyediakan saluran komunikasi yang pantas dan mudah, membolehkan hubungan sosial dibentuk, dikekalkan dan diperkukuh tanpa batasan masa dan tempat. Aplikasi seperti WhatsApp misalnya, membolehkan pengguna berinteraksi secara aktif dalam kumpulan keluarga, rakan sekerja, mahupun komuniti tertentu melalui perbincangan yang berterusan.

Antara Realiti dengan Persepsi: Media Sosial sebagai Pentas Populariti

Kandungan yang dimuat naik dalam media sosial pada masa ini sering dihasilkan dengan satu matlamat yang jelas, iaitu untuk menarik perhatian khalayak demi memperoleh tanda suka, jumlah tontonan dan komen. Namun demikian, tidak semua yang dipaparkan menggambarkan realiti sebenar kehidupan individu tersebut. Begitu juga, tidak semua maklum balas yang diterima lahir daripada keikhlasan atau penghargaan yang tulen.

Sebagai contoh, dalam situasi tertentu, seseorang mungkin memilih menu makanan yang luar biasa atau kurang digemari, semata-mata untuk mencipta hantaran yang dianggap menarik dan berbeza. Walaupun makanan tersebut tidak menepati cita rasa atau tidak serasi dengan seleranya, imej dan naratif yang dibina lebih diutamakan daripada pengalaman sebenar.

Begitu juga dengan gambar senyuman di tepi pantai yang kelihatan seolah-olah sedang menikmati percutian indah, sedangkan keadaan itu mungkin hanya momen singkat tanpa makna sebenar percutian. Tidak kurang juga yang menampilkan gaya hidup yang tampak mewah dan sempurna, walhal realiti kehidupan mereka jauh berbeza daripada gambaran yang dipaparkan.

Yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan ini tidak lagi dianggap luar biasa. Sebaliknya, keadaan ini telah menjadi norma dalam budaya media sosial. Tujuan utama kebanyakan hantaran bukan lagi untuk berkongsi pengalaman atau pandangan secara jujur, sebaliknya untuk meraih perhatian, pujian dan bilangan pengikut. Tanggapan positif yang diperoleh, walaupun bersifat spontan atau sekadar reaksi kosong sering dianggap sebagai bentuk pencapaian peribadi.

Fenomena ini juga memperlihatkan keadaan sebahagian besar pengguna media sosial yang telah terperangkap dalam budaya pencarian populariti yang bergantung sepenuhnya pada penilaian pihak lain. Nilai dan harga diri tidak lagi ditentukan oleh pandangan sendiri tetapi diukur melalui reaksi orang lain terhadap  yang dipaparkan dalam alam maya.

Oleh hal yang demikian, persoalan sama ada fenomena ini membawa kebaikan atau keburukan bergantung pada pertimbangan dan kesedaran setiap individu. Setiap pengguna media sosial perlu menilai sendiri tujuan mereka berkongsi kandungan, sumber motivasi di sebalik setiap hantaran serta kesan yang ditinggalkan kepada emosi dan kehidupan harian. Justeru itu, tepuk dada, tanya selera. Adakah kehadiran media sosial digunakan secara bijak untuk memperkayakan kehidupan atau sekadar menjadi medium pencarian pengiktirafan yang tidak pernah berpenghujung?

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi