Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) merupakan antara acara dwitahunan terbesar di rantau Asia Tenggara yang menghimpunkan pelbagai pemain utama dalam sektor pertahanan, keselamatan, maritim dan aeroangkasa. Sejak penganjuran pertamanya pada tahun 1991, LIMA menjadi platform untuk mempamerkan teknologi terkini, menjalinkan kerjasama industri dan membincangkan perkembangan semasa yang berkaitan dengan keselamatan serantau serta kemajuan teknologi pertahanan.

LIMA turut menarik penyertaan negara luar yang melihatnya sebagai ruang interaksi industri dan diplomasi pertahanan yang signifikan. Melalui pameran statik, demonstrasi udara dan laut serta sesi persidangan, LIMA menyediakan peluang kepada syarikat, agensi kerajaan dan pasukan tentera dari seluruh dunia untuk bertukar-tukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama dalam bidang yang semakin berkembang ini.

LIMA membawa makna yang luas kepada negara dari sudut diplomasi, teknologi dan kerjasama antarabangsa.

Pertunjukan Udara LIMA ke-17

Acara yang sering menjadi tumpuan utama setiap kali edisi LIMA berlangsung ialah sesi pertunjukan udara. Pertunjukan ini sentiasa dinantikan oleh pengunjung dari dalam dan luar negara dan telah menjadi slot tetap sejak LIMA diperkenalkan pada tahun 1991.

Pertunjukan udara yang paling dinanti-nantikan oleh peminat industri penerbangan melibatkan persembahan formasi oleh pasukan aerobatik, terutamanya daripada pasukan terbaik antarabangsa. Antara yang pernah beberapa kali menyertai LIMA termasuklah pasukan Russian Knights.

Pada edisi ke-17 LIMA yang berlangsung pada tahun 2025 bertemakan Today’s Innovation, Tomorrow’s Achievements, pasukan Russian Knights sekali lagi menarik perhatian dengan persembahan pesawat tempur Rusia, Sukhoi Su-35S dan Su-30SM. Aksi pelbagai gerakan udara yang dipamerkan memperlihatkan kecekapan dan ketangkasan para juruterbangnya.

Penyertaan Russian Knights dalam LIMA turut berfungsi sebagai demonstrasi keupayaan teknologi penerbangan Rusia dan medan latihan lanjutan bagi juruterbang mereka. Selain itu, pelibatan pasukan ini menzahirkan keterlibatan Rusia dalam kerjasama global dalam sektor pertahanan dan aeroangkasa.

Russian Knights: Legenda Aerobatik Dunia

Russian Knights merupakan satu-satunya pasukan aerobatik di dunia yang melaksanakan formasi aerobatik dengan menggunakan pesawat pejuang berat sebenar tanpa sebarang pengubahsuaian bagi mempamerkan kemahiran serta keupayaan istimewa mereka. Pasukan ini ditubuhkan secara rasmi pada 5 April 1991 dan membuat penampilan sulung pada peringkat antarabangsa hanya beberapa bulan selepas penubuhannya menerusi sebuah pertunjukan udara di Poland.

Pasukan demonstrasi aerobatik Russian Knights menerbangkan enam pesawat pejuang pertahanan udara Sukhoi Su-35S dalam pertunjukan udara Airshow China di Zhuhai.

Pada tahun yang sama, Russian Knights menyertai edisi LIMA yang pertama dengan menampilkan pesawat Su-27 Flanker. Komitmen mereka terhadap acara ini diteruskan apabila pasukan tersebut kembali menyertai LIMA dalam edisi seterusnya pada tahun 1993 dan tahun 1995. Pada tahun 1993, mereka sekali lagi menerbangkan pesawat Su-27 Flanker, manakala pada tahun 1995, pasukan ini mengalami kemalangan semasa dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan udara di LIMA.

Tragedi Tahun 1995

Peristiwa tragis menimpa pasukan Russian Knights pada 12 Disember 1995 apabila tiga unit pesawat Sukhoi Su-27 Flanker terhempas berhampiran dengan Pangkalan Udara Cam Ranh di Vietnam yang mengakibatkan kematian empat juruterbang, iaitu Boris Grigoryev, Alexandr Syrovoy, Nikolay Grechanov dan Nikolay Kordyukov. Kemalangan tersebut berlaku semasa pasukan berkenaan sedang dalam perjalanan pulang dan dijadualkan berhenti mengisi minyak di pangkalan tersebut.

Nahas dikatakan berpunca daripada kekeliruan arahan ygan diterima pada ketika itu yang dipandu arah oleh pesawat pengangkut Ilyushin Il-76 yang turut berfungsi sebagai pesawat peninjau. Akibat kesilapan mentafsirkan arahan tersebut, tiga unit pesawat terhempas di kawasan pergunungan, manakala satu lagi pesawat berjaya mengelak dan mendarat dengan selamat di Cam Ranh.

Walaupun tragedi tersebut memberikan kesan yang besar kepada pasukan, semangat Russian Knights untuk terus mempersembahkan kebolehan mereka tidak pernah luntur. Mereka kembali menyertai LIMA dalam edisi berikutnya, termasuklah pada tahun 1997, tahun 2003, tahun 2013, tahun 2017, tahun 2019 dan tahun 2023. Dalam edisi LIMA ke-16 yang berlangsung pada tahun 2023, pasukan Russian Knights tampil bersama-sama lima pasukan aerobatik antarabangsa lain, iaitu Black Eagles dari Korea Selatan, Jupiter dari Indonesia, 1 August dari China dan Al-Fursan dari Emiriah Arab Bersatu.

Misi dan Peranan Russian Knights dalam Dunia Aeroangkasa

Pasukan Russian Knights diasaskan oleh Pusat Demonstrasi Pesawat Proskurov Pengawal ke-237 yang berpangkalan di Pangkalan Udara Kubinka dan diiktiraf sebagai satu daripada pasukan aerobatik paling elit di dunia. Mereka merupakan pasukan tentera pertama yang melakukan persembahan aerobatik dengan menggunakan jet pejuang Su-27, iaitu pesawat tempur sebenar yang menetapkan penanda aras baharu dalam dunia penerbangan, khususnya dari segi ketepatan manuver.

Pada masa ini, Russian Knights menggunakan pesawat pejuang model Su-30SM dan Su-35S bagi melaksanakan persembahan akrobatik udara dalam pelbagai pertunjukan dan perarakan, sama ada pada peringkat domestik mahupun antarabangsa. Misi mereka tertumpu kepada usaha memperkenalkan teknologi penerbangan Rusia, mempromosikan kepakaran aeronautik negara tersebut serta menjalinkan hubungan kerjasama dengan tentera udara dari pelbagai negara di seluruh dunia. Secara tidak langsung, mereka berperanan sebagai duta kecil yang membawa imej negara.

Su-30SM dan Su-35S: Teknologi di Sebalik Persembahan

Dari sudut spesifikasi, Su-30SM ialah pesawat pejuang pelbagai peranan yang digunakan, terutamanya untuk misi serangan darat, manakala Su-35S merupakan pesawat pejuang keunggulan udara yang direka untuk menguasai ruang udara dan menyediakan perlindungan taktikal. Kedua-dua pesawat ini kerap digandingkan dalam operasi dengan Su-35S menyediakan perlindungan udara, manakala Su-30SM menjalankan misi serangan ke atas sasaran di darat.

Dua pesawat pejuang Su-35S milik pasukan aerobatik Russian Knights.

Peranan utama Su-30SM tertumpu pada operasi serangan darat dan pelbagai misi lain melalui gabungan ciri seperti dua tempat duduk, sayap kanard yang meningkatkan kebolehgerakan serta keupayaan untuk diisi semula dengan bahan api di udara. Dari segi persenjataan, pesawat ini lazimnya dilengkapi dengan peluru berpandu udara–ke–permukaan (ASM) seperti Kh-29, selain peluru berpandu udara–ke–udara. Su-30SM2 pula merupakan versi yang telah dinaik taraf daripada model Su-30SM dengan peningkatan teknologi, termasuklah penggunaan radar N-035 Irbis-E dan enjin AL-41F-1S yang meningkatkan prestasi keseluruhan pesawat tersebut.

Peranan utama Su-35S sebagaimana yang telah dinyatakan adalah untuk menyerlahkan keunggulan udara melalui penguasaan ruang udara dan pelaksanaan keupayaan pelbagai peranan. Antara ciri penting pesawat ini termasuklah tempat duduk tunggal, sistem avionik termaju, enjin tujahan vektor serta radar jarak jauh. Dari segi persenjataan, Su-35S dilengkapi dengan peluru berpandu udara–ke–udara seperti RVV-MD dan RVV-SD, peluru berpandu anti-radiasi Kh-31P serta sistem radar N135 Irbis-E. Su-35S turut dikenali dengan kebolehgerakannya yang luar biasa, termasuklah keupayaan untuk melaksanakan manuver aerobatik kompleks seperti Pugachev’s Cobra.

Kelebihan utama Su-35S dapat diperincikan kepada beberapa aspek. Pertama, radar tatasusunan imbasan elektronik pasif (PESA) Irbis-E yang memberikan julat pengesanan melebihi 350 kilometer membolehkan pesawat ini menjejak serta melibatkan sasaran pada jarak jauh. Kedua, sistem kawalan tujahan vektor dan kawalan penerbangan serta pendorongan bersepadu membolehkan pesawat ini melakukan manuver 9-g secara tangkas dan responsif dalam pertempuran udara. Ketiga, Su-35S mampu membawa muatan senjata serbaguna dengan 14 mata keras bagi peluru berpandu udara–ke–udara dan udara–ke–darat, lalu menjadikannya fleksibel untuk pelbagai jenis misi.

Keempat, Su-35S mempunyai jarak penerbangan sejauh 3600 kilometer tanpa pengisian bahan api dan boleh dilanjutkan sehingga 4500 kilometer dengan penggunaan tangki luaran, sekali gus membolehkan pelaksanaan misi untuk tempoh yang lebih panjang. Kelima, pesawat ini dilengkapi dengan avionik moden dan gabungan penderia yang meningkatkan keupayaan operasinya secara keseluruhan. Keenam, Su-35S turut memiliki keupayaan super-cruise yang membolehkannya melakukan penerbangan supersonik secara berterusan tanpa menggunakan pascapembakar yang memberikan kelebihan strategik dalam pelbagai situasi penerbangan.

Kelebihan Su-30SM pula terserlah melalui beberapa ciri teknikal dan taktikal yang unggul. Pertama, daya tahan yang jauh lebih tinggi berbanding Su-27 membolehkan pesawat ini menjalankan misi dalam tempoh yang lebih lama.

Kedua, sistem avionik termaju yang menampilkan penderia yang dipertingkatkan serta sistem peperangan elektronik meningkatkan keupayaannya untuk mengesan dan bertindak terhadap ancaman secara lebih efektif. Ketiga, pesawat ini membawa muatan senjata serba guna, termasuklah peluru berpandu udara–ke–udara jarak lanjutan, peluru berpandu anti-kapal dan peluru berpandu serangan kebuntuan.

Keempat, konfigurasi dua tempat duduk membolehkan pegawai sistem senjata membantu juruterbang dalam mengendalikan pelbagai sasaran secara serentak yang meningkatkan keberkesanan misi. Kelima, prestasi penerbangan unggul dipacu oleh sistem tujahan yang berupaya mencapai kelajuan dan ketinggian operasi yang lebih tinggi berbanding dengan pesawat F-35 keluaran Lockheed Martin dari Amerika Syarikat. Keenam, pesawat ini dikategorikan sebagai platform tempur siap sedia yang efisien dalam pelbagai bentuk pertempuran.

Ketujuh, Su-30SM dilengkapi dengan radar tatasusunan berperingkat Bar N011M yang membolehkan penjejakan berbilang sasaran serta penyediaan pengimejan beresolusi tinggi. Kelapan, kebolehgerakan super dicapai menerusi sistem tujahan vektor yang menyokong pelaksanaan manuver ekstrem seperti Cobra dan Herbst Pugachev yang meningkatkan keberkesanannya dalam pertempuran udara. Kesembilan, paparan kepala Thales Head-Up Display 3022 yang disepadukan dalam kokpit memberikan juruterbang akses pantas kepada maklumat taktikal, navigasi, sistem serangan serta kawalan penderia avionik pada waktu nyata.

Sukhoi: Legasi Kejuruteraan Aeroangkasa Rusia

Sama ada Su-27, Su-30SM atau Su-35S, kesemua pesawat ini dihasilkan oleh Sukhoi, sebuah syarikat aeroangkasa Rusia yang mereka bentuk dan membina pesawat untuk tujuan ketenteraan dan awam. Syarikat ini merupakan antara pemain utama dalam industri penerbangan Rusia dan terkenal dengan pengeluaran jet pejuang serta pesawat komersial lain yang merangkumi pesawat kargo dan penumpang.

Organisasi ini kini dikenali dengan nama rasmi JSC Sukhoi dan beroperasi di daerah Begovoy, Moscow, Rusia. Sukhoi diasaskan oleh Pavel Osipovich Sukhoi (1895–1975), seorang jurutera aeroangkasa dan pereka bentuk pesawat kelahiran Belarus. Penubuhan rasmi syarikat ini berlaku pada tahun 1939. Sukhoi merupakan sebahagian daripada syarikat induk yang dikenali sebagai AVPK Sukhoi (Kompleks Industri Tentera Penerbangan Sukhoi), iaitu sebuah konglomerat besar dalam sektor aeroangkasa Rusia.

Dari segi sejarah, Pavel Sukhoi menubuhkan Biro Reka Bentuk Sukhoi (OKB-51) pada tahun 1939 bagi menyelia pembangunan pesawat BB-1 yang kemudiannya dikenali sebagai Sukhoi Su-2. Pesawat BB-1 ialah sebuah pesawat peninjau dan pengebom ringan yang kelulusannya diperoleh selepas resolusi kerajaan pada 29 Julai 1939 yang memformalkan peranan Sukhoi sebagai ketua pereka dan memberikan status bebas kepada biro tersebut.

Melalui status bebas tersebut, Biro Reka Bentuk Sukhoi tidak disepadukan dengan mana-mana kumpulan reka bentuk lain. Dalam erti kata lain, Pavel Sukhoi diberikan autonomi penuh dalam menerajui pembangunan pesawat tanpa campur tangan luar. Biro ini kemudiannya dipindahkan ke Kilang Pesawat Pengeluaran No. 135 di Kharkov, Ukraine, bagi memudahkan urusan pengeluaran. Pada Februari 2006, kerajaan Rusia mengambil langkah strategik dengan menggabungkan Sukhoi bersama-sama Mikoyan, Ilyushin, Irkut, Tupolev dan Yakovlev untuk membentuk satu entiti baharu bernama United Aircraft Corporation.

Hubungan Strategik Malaysia–Rusia

Sepanjang era Perang Dingin, Sukhoi menghasilkan beberapa pesawat tempur bersiri utama, termasuklah Su-7, pesawat pejuang supersonik yang menjadi pengebom utama Soviet pada tahun 1960-an. Selain itu, Su-9 dan Su-15 pula dibangunkan sebagai pesawat pemintas yang membentuk tulang belakang Angkatan Pertahanan Udara Soviet. Sukhoi juga memperkenalkan pesawat pelbagai peranan seperti Su-17 dan Su-24. Menjelang penghujung hayatnya, Pavel Sukhoi berjaya membina prototaip pesawat Su-27 yang dikenali sebagai T-10, namun beliau tidak sempat menyaksikan pesawat tersebut terbang. Su-27 melakukan penerbangan sulung pada tahun 1977 dan diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada tahun 1984.

Hubungan antara Malaysia dengan Rusia, khususnya melalui penglibatan Sukhoi, menjadi semakin erat berikutan perolehan 18 unit jet pejuang Sukhoi Su-30MKM oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi perjanjian yang dimeterai pada tahun 2003. Berdasarkan perjanjian tersebut, Rusia bersetuju untuk menghantar angkasawan pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa sebagai langkah memperkukuh hubungan antara kerajaan dan sebagai timbal balik terhadap pembelian pesawat tempur berkenaan.

Dari sudut perkongsian pengetahuan, penyertaan Malaysia dalam misi Soyuz ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada tahun 2007 memberikan impak besar kepada pembangunan sains dan teknologi negara. Tempat duduk yang ditawarkan oleh Rusia membuka peluang kepada Malaysia untuk terlibat secara langsung dalam eksplorasi angkasa, sekali gus meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan sektor angkasa dan keperluan pembangunan dalam bidang sains, teknologi dan industri berkaitan. Misi tersebut turut memberi inspirasi kepada generasi muda, terutamanya pelajar, untuk menerokai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Dalam misi Soyuz TMA-11, hanya seorang angkasawan Malaysia dipilih untuk menyertai penerbangan tersebut berikutan ketersediaan satu tempat sahaja. Angkasawan yang terpilih, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor diberikan tanggungjawab menjalankan eksperimen penyelidikan di angkasa lepas dalam pelbagai bidang, termasuklah mikrograviti, kajian mikrob di angkasa dan bioteknologi. Kesan daripada penyertaan dalam program ini turut membuka ruang kerjasama bersama agensi angkasa antarabangsa serta merangsang pembangunan teknologi dan penghasilan produk baharu yang menyumbang kepada kemajuan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi