Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Penuaan merupakan proses semula jadi yang dilalui oleh setiap individu dan tidak dapat dielakkan kerana telah menjadi sebahagian daripada kitaran hidup manusia. Seiring dengan peningkatan usia, warga emas berhadapan dengan pelbagai cabaran yang boleh memberikan kesan kepada kesejahteraan fizikal, sosial dan emosi mereka.

Antara cabaran utama tersebut termasuklah perubahan dalam struktur sosial. Kebanyakan warga emas kehilangan pasangan hidup, manakala anak-anak pula semakin sibuk dengan komitmen masing-masing. Hubungan sosial bersama rakan-rakan dan komuniti setempat turut semakin berkurangan, lalu menyumbang kepada rasa terpinggir dalam kalangan golongan ini.

Pada masa yang sama, tahap kesihatan fizikal menjadi semakin merosot akibat penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes), tekanan darah tinggi (hipertensi) dan radang sendi (artritis), sekali gus menjejaskan kualiti hidup warga emas. Keadaan tersebut juga sering mencetuskan perasaan kesunyian serta tekanan emosi yang berpanjangan, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak lagi aktif dalam masyarakat.

Laporan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa pada tahun 2023, sebanyak 11.6 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini terdiri daripada warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas. Negara ini juga dijangkakan mencapai status “negara tua” menjelang tahun 2030 apabila lebih 15 peratus daripada jumlah penduduk berumur 60 tahun ke atas. Perubahan demografi ini memberikan implikasi besar terhadap sistem sosial dan perkhidmatan kesihatan negara, khususnya dari segi penyediaan sokongan emosi dan mental kepada warga emas.

Kemurungan dalam Kalangan Warga Emas

Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bertajuk Advocacy Brief: Social Isolation and Loneliness Among Older People (2021) menegaskan bahawa pengasingan sosial dan kesunyian dalam kalangan warga emas merupakan isu kesihatan awam yang serius. Isu tersebut juga berpotensi meningkatkan risiko gangguan mental seperti kemurungan (depresi) dan kebimbangan (anxiety).

Kemurungan dikenal pasti sebagai antara masalah kesihatan mental yang paling dominan dalam kalangan warga emas. Gangguan ini boleh mengakibatkan kehilangan minat terhadap aktiviti harian, perubahan emosi yang ketara serta masalah fizikal seperti gangguan tidur (insomnia) dan kurang selera makan. Kajian turut menunjukkan bahawa warga emas yang mengalami kemurungan mempunyai risiko lebih tinggi untuk membunuh diri, khususnya apabila tidak mempunyai jaringan sokongan sosial yang kukuh atau mengalami pengasingan sosial secara berpanjangan. Oleh sebab itu, WHO menekankan keperluan untuk menangani isu ini secara menyeluruh melalui pendekatan kesihatan mental, pelaksanaan program sosial dan dasar yang menyokong kesejahteraan warga emas dalam jangka masa panjang.

Di Malaysia, isu kemurungan dalam kalangan warga emas semakin membimbangkan. Dalam sesi dialog bertajuk “Golongan Tua Paling Murung di Malaysia?” yang disiarkan oleh Astro Awani, dinyatakan bahawa sekitar 20 peratus warga emas berkemungkinan mengalami kemurungan. Keadaan ini didorong oleh beberapa faktor seperti kemerosotan kesihatan fizikal, tekanan kewangan dan kehilangan hubungan sosial yang menyokong kesejahteraan emosi.

Lebih meresahkan, kebanyakan daripada mereka tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya kerana stigma sosial dan kurangnya kesedaran mengenai pentingnya penjagaan kesihatan mental. Hal ini mengakibatkan mereka terus memendam perasaan tanpa sokongan ahli profesional yang diperlukan.

WHO turut mengemukakan laporan bahawa hampir 15 peratus warga emas di seluruh dunia mengalami gangguan mental yang serius, termasuklah kemerosotan fungsi kognitif atau nyanyuk (demensia) dan gangguan kebimbangan kronik (chronic anxiety disorder). Walaupun rawatan tersedia, banyak individu yang masih belum menerima intervensi yang mencukupi atau bersesuaian.

Pada peringkat nasional, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan seperti perkhidmatan kaunseling dan penubuhan pusat kesihatan khas untuk warga emas seperti Geriatrik Komuniti (GeKo). Namun begitu, tahap kesedaran terhadap kewujudan perkhidmatan ini masih rendah, manakala stigma sosial kekal sebagai penghalang utama yang menghalang golongan ini daripada mendapatkan bantuan.

Akibatnya, warga emas yang terjejas terus berhadapan dengan tekanan emosi dan kesunyian tanpa jaringan sokongan yang mantap. Keadaan ini bukan sahaja memberikan kesan terhadap emosi dan kesihatan mental, malah boleh menjejaskan kesihatan fizikal serta kesejahteraan hidup mereka dalam jangka masa panjang.

Oleh hal yang demikian, sokongan emosi perlu diberikan keutamaan dalam memastikan kesejahteraan warga emas. Peranan aktif keluarga, komuniti dan pihak berwajib juga amat penting dalam membina sistem sokongan yang menyeluruh dan berkesan. Pada masa yang sama, perlu ditegaskan bahawa kesejahteraan mental dan sosial golongan ini bukanlah sekadar isu individu, malah turut mempengaruhi keharmonian dan ketahanan masyarakat secara keseluruhan.

Kepentingan Sokongan Emosi dalam Kehidupan Warga Emas

Sokongan emosi merupakan elemen asas yang membantu warga emas menjalani kehidupan yang lebih berkualiti. Mereka yang menerima sokongan emosi yang mencukupi berkemungkinan besar menikmati kehidupan yang lebih bahagia dan bermakna, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran usia lanjut.

Kajian oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia melalui artikel yang bertajuk “Loneliness and Coping Strategies Among Older Adults in Johor: A Qualitative Approach” menunjukkan bahawa sekitar 37.2 peratus warga emas mengalami kesunyian yang merangkumi 32.6 peratus kesunyian sosial, 39.9 peratus kesunyian emosi dan 9.2 peratus kesunyian dalam keluarga. Kesunyian yang berpanjangan dikenal pasti sebagai faktor utama yang membawa kepada tekanan emosi yang serius serta meningkatkan risiko kemurungan, gangguan mental dan penyakit fizikal seperti tekanan darah tinggi serta penyakit jantung.

Selain itu, kajian tersebut turut mendapati bahawa individu yang mempunyai tujuan hidup yang jelas mengalami kadar penurunan kognitif yang lebih perlahan, iaitu 20 peratus lebih rendah berbanding dengan mereka yang hidup dalam pengasingan. Penemuan ini menguatkan lagi bukti bahawa sokongan sosial dan interaksi aktif dengan keluarga serta komuniti memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kesunyian dan kemurungan dalam kalangan warga emas.

WHO pula menyatakan bahawa warga emas yang mempunyai sokongan sosial yang baik cenderung memiliki tahap kesejahteraan mental dan fizikal yang lebih baik, selain menghadapi risiko yang lebih rendah terhadap kemurungan dan gangguan mental.

Kesunyian dan pengasingan sosial pula dikenal pasti berupaya meningkatkan risiko gangguan kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular dan strok. Pengasingan sosial juga memberikan kesan negatif terhadap kualiti hidup warga emas seperti gangguan tidur, penurunan kognitif, peningkatan tekanan emosi dan kebimbangan.

Walau bagaimanapun, hubungan sosial yang sihat bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan emosi, bahkan turut memperkukuh kesejahteraan fizikal serta menyokong gaya hidup yang lebih aktif dan sihat. Oleh itu, interaksi sosial yang berterusan serta hubungan yang kukuh dengan ahli keluarga dan komuniti merupakan elemen penting dalam mengurangkan kesunyian dan meningkatkan kualiti hidup warga emas.

Dalam konteks Malaysia, peranan keluarga, masyarakat dan kerajaan perlu digembleng secara kolektif bagi memperkukuh sistem sokongan yang menyeluruh untuk golongan ini. Inisiatif seperti program sokongan sosial di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), perkhidmatan GeKo di klinik kesihatan, sesi kaunseling percuma serta pelbagai program kesihatan mental mampu mengurangkan kesan negatif kesunyian terhadap kesejahteraan warga emas secara keseluruhan.

Peranan Rumah Kebajikan dan Komuniti dalam Menyokong Warga Emas

Rumah kebajikan memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan warga emas yang tidak mempunyai keluarga atau telah kehilangan tempat bergantung. Bagi kebanyakan individu dalam golongan ini, rumah kebajikan merupakan satu-satunya tempat yang dapat memberikan perlindungan serta penjagaan asas seperti makanan, tempat tinggal dan rawatan kesihatan.

Namun begitu, aspek kesejahteraan emosi dalam kalangan penghuni rumah kebajikan sering kali terpinggir. Kebanyakan warga emas yang menetap di rumah kebajikan mengalami perasaan kesunyian dan terasing akibat kekurangan interaksi dengan ahli keluarga dan masyarakat luar.

Menurut WHO, lebih 30 peratus warga emas yang tinggal di rumah kebajikan mengalami kemurungan yang berpunca daripada ketiadaan lawatan keluarga serta kurangnya sokongan sosial berterusan. Perasaan sedih dan terasing ini boleh mengakibatkan kemerosotan kesihatan fizikal, mempercepat kemunculan penyakit kronik dan menjejaskan kesejahteraan mental secara keseluruhan.

Bagi menangani cabaran ini, kehadiran sukarelawan, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui lawatan berkala amat diperlukan untuk memberikan warga emas rasa dihargai dan diingati. Aktiviti sosial seperti sesi bersembang, program kebudayaan, terapi seni dan lawatan luar dapat membantu mencetuskan emosi positif serta mengurangkan tekanan mental dalam kalangan mereka.

Beberapa program intervensi yang dilaksanakan oleh institusi kebajikan juga menunjukkan bahawa warga emas yang aktif berinteraksi dengan sukarelawan dan masyarakat luar mengalami peningkatan ketara dalam kepuasan hidup. Peluang untuk terlibat dalam aktiviti komuniti seperti berkebun, memasak atau mengajar kemahiran kepada generasi muda turut memberikan makna dan tujuan hidup yang lebih mendalam serta membantu mengurangkan rasa kesunyian.

Selain itu, rumah kebajikan berpotensi menjadi pusat integrasi sosial antara warga emas dengan generasi muda. Program seperti Adopt a Grandparent yang telah berjaya di beberapa negara lain boleh dilaksanakan secara meluas di Malaysia untuk membina hubungan mesra antara dua generasi ini.

Pelajar sekolah dan universiti pula boleh melibatkan diri dalam aktiviti bersama-sama warga emas seperti membaca buku, berkongsi pengalaman hidup atau sekadar meluangkan masa bersama-sama. Inisiatif seperti ini bukan sahaja membawa manfaat kepada warga emas, malah turut menyemai nilai empati dalam kalangan generasi muda dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keperluan sosial warga emas.

Di samping itu, peranan kerajaan dan NGO perlu ditingkatkan dalam memperbaik kualiti hidup warga emas di rumah kebajikan. Pelaksanaan program sokongan mental dan emosi seperti terapi berkumpulan, bimbingan rohani, aktiviti keagamaan dan sesi kaunseling dapat membantu mereka mengatasi perasaan terasing serta membina daya tahan emosi yang lebih kuat.

Masyarakat juga perlu diberikan pendidikan dan pendedahan berterusan tentang kepentingan menjaga hubungan dengan warga emas di rumah kebajikan. Kempen kesedaran, pelibatan dalam aktiviti amal serta galakan kepada masyarakat untuk menyertai program sukarelawan dapat membantu mengubah persepsi terhadap rumah kebajikan, yakni daripada sekadar tempat perlindungan kepada sebuah pusat pembangunan sosial yang berperanan penting.

Oleh itu, peranan rumah kebajikan sebagai penyedia sokongan emosi dan sosial kepada warga emas wajar diperkukuh. Golongan ini berhak menerima perhatian, kasih sayang dan penghargaan yang setara dengan mereka yang masih tinggal bersama keluarga. Kerjasama erat antara keluarga, masyarakat, organisasi kebajikan dengan kerajaan amat diperlukan bagi memastikan warga emas di rumah kebajikan dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna, bermaruah dan berkualiti.

Langkah-langkah Meningkatkan Sokongan Emosi Warga Emas

Bagi memastikan warga emas menerima sokongan emosi yang mencukupi, peranan individu, keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa perlu digembleng secara menyeluruh. Ahli keluarga disarankan untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama warga emas agar mereka berasa dihargai dan tidak tersisih daripada kehidupan seharian. Komunikasi konsisten seperti perbualan harian, lawatan berkala serta pelibatan dalam keputusan keluarga dapat menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan emosi mereka.

Pelibatan warga emas dalam aktiviti kemasyarakatan dan perjumpaan sosial juga perlu digalakkan. Interaksi sosial yang aktif membantu mereka mengekalkan hubungan yang sihat dan seterusnya mengurangkan risiko kesunyian dan kemurungan. Persekitaran yang menyokong penglibatan sosial dapat memberikan dorongan yang positif terhadap kesihatan mental dan fizikal warga emas.

Pada peringkat komuniti, NGO dan persatuan sosial memainkan peranan penting dalam menyediakan pelbagai program sokongan yang bermanfaat. Kumpulan sokongan, sesi terapi berkumpulan, lawatan sosial berkala serta aktiviti seperti kelas seni, bengkel kesihatan mental dan sukan ringan merupakan antara inisiatif yang boleh membantu warga emas mengekalkan kesejahteraan emosi. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh interaksi sosial, malah memberikan peluang kepada mereka untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Di samping itu, kerajaan perlu meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental yang mesra warga emas. Perkhidmatan seperti kaunseling percuma, sokongan psikologi berasaskan komuniti dan program pencegahan awal harus diperluas bagi menangani isu kesihatan mental sebelum menjadi lebih serius. Keberkesanan usaha ini juga bergantung pada kempen kesedaran awam yang berterusan untuk menghapuskan stigma terhadap usaha mendapatkan bantuan profesional dalam kalangan warga emas.

Kesimpulannya, kesejahteraan emosi warga emas amat bergantung pada peranan aktif keluarga, masyarakat dan kerajaan dalam membina sistem sokongan yang holistik dan berkesan. Usaha berterusan untuk memastikan mereka tidak terpinggir, serta menerima perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya akan membantu golongan ini menjalani kehidupan yang lebih bermakna, sejahtera dan berkualiti.

Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor,
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh,
Universiti Sains Malaysia.

Dr. Ahmad Imran Mohamed,
Pegawai Perubatan dan Calon Sarjana Kesihatan Awam,
Universiti Malaysia Sawarak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi