Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Persatuan Toksikologi Malaysia (MySOT) telah mengadakan kunjung hormat kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, baru-baru ini.
Kunjungan ini mencatat sejarah penting buat MySOT yang telah ditubuhkan sejak tahun 2010 dengan misi memajukan bidang toksikologi di Malaysia.
Pertemuan tersebut diadakan bagi menyerahkan watikah pelantikan kepada YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai Ahli Kehormat MySOT.
Pada masa yang sama, perbincangan turut diadakan mengenai sumbangan toksikologi terhadap pembangunan sistem kesihatan negara.
Delegasi MySOT disertai oleh empat ahli toksikologi Malaysia yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, iaitu Dr. Rozaini Abdullah dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Ts. Dr. Razinah Sharif dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Dr. Chan Kok Meng dan Dr. A’edah Abu Bakar dari Petroliam Nasional Berhad.
Antara perkara utama yang dibangkitkan dalam pertemuan ini termasuklah keperluan untuk memberikan perhatian terhadap isu toksikologi seperti mikroplastik, rokok elektronik dan bahan kimia pengganggu endokrin dalam persekitaran.
YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut menekankan kepentingan pendidikan awal berkaitan dengan toksikologi kepada kanak-kanak sebagai langkah asas dalam membina kesedaran kesihatan sejak usia muda.
Menurut beliau, usaha mendidik generasi muda tentang bahaya bahan toksik dan pencemaran alam sekitar perlu bermula sejak peringkat sekolah rendah lagi agar mereka dapat memahami risiko serta membina gaya hidup yang lebih sihat dan selamat.

MySOT dalam pertemuan tersebut turut memaklumkan bahawa Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah bagi persidangan toksikologi utama peringkat Asia yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2026.
Persidangan ini dijangka menghimpunkan pakar toksikologi dari seluruh rantau Asia bagi membincangkan isu semasa berkaitan dengan bahan toksik, pendedahan alam sekitar dan penyelesaian saintifik terhadap pelbagai cabaran kesihatan awam.
Bagi menyambut peluang tersebut, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan kesediaan beliau untuk merasmikan persidangan berprestij itu.
Beliau turut menegaskan bahawa persidangan ini berpotensi mengangkat nama Malaysia sebagai peneraju dalam bidang toksikologi serantau serta membuka ruang kerjasama lebih luas antara penggubal dasar, institusi akademik dengan komuniti penyelidik.
“Saya menyambut baik inisiatif ini dan berharap agar usaha MySOT dapat menggerakkan gelombang baharu dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap peranan toksikologi dalam kehidupan harian. Malaysia wajar menjadi contoh kepada negara lain dalam menerapkan pendekatan berasaskan sains untuk melindungi kesihatan awam,” ujar beliau dalam pertemuan tersebut.
Turut hadir dalam pertemuan ini ialah wakil dari MySOT dan Institut Perubatan Negara yang mewakili pelbagai kepakaran dalam bidang toksikologi.