Diterbitkan pada 18 Mei 2025, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era yang sedang bergelut dengan pelbagai krisis alam sekitar seperti pemanasan global, peningkatan paras laut dan pelepasan karbon yang tidak terkawal, isu kelestarian alam menjadi menjadi keutamaan sejagat. Seiring dengan pertumbuhan pesat penduduk dunia dan proses urbanisasi yang berterusan, keperluan terhadap sumber dan bahan binaan yang mesra alam semakin mendesak. Tumpuan global kini beralih kepada inovasi teknologi hijau yang bukan sahaja menjamin kemampanan sumber, bahkan turut menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar dan manusia.

Satu daripada elemen yang semakin menonjol dalam wacana teknologi hijau ialah kayu, iaitu bahan semula jadi yang telah digunakan oleh manusia sejak zaman purba. Dalam dunia moden hari ini, kayu tidak lagi sekadar digunakan sebagai bahan perabot rumah atau struktur binaan asas, sebaliknya mula diangkat sebagai komponen utama dalam inovasi teknologi hijau masa hadapan. Potensinya yang luas dalam industri pembinaan, kejuruteraan, reka bentuk dan teknologi biokimia menjadikan kayu semakin relevan dalam landskap pembangunan lestari. Pendekatan baharu terhadap penggunaan kayu membuktikan bahawa bahan ini bukan dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber berasaskan fosil, malah turut menyumbang kepada pemulihan kitaran semula jadi bumi.

Dalam konteks Revolusi Perindustrian Keempat yang didominasi oleh teknologi seperti kecerdasan buatan, robotik dan pencetakan tiga dimensi, kayu sedang mengalami kebangkitan semula sebagai sumber lestari yang boleh digabungkan dengan teknologi moden. Konsep bangunan hijau dan bandar pintar yang sedang giat dibangunkan di seluruh dunia membuka ruang kepada kayu untuk memainkan peranan strategik dalam mencipta persekitaran binaan yang lebih sihat dan rendah karbon. Kajian turut membuktikan bahawa bangunan berasaskan kayu mampu menyerap karbon sepanjang kitaran hayatnya, berbanding dengan bahan seperti konkrit dan keluli yang menghasilkan pelepasan karbon dioksida yang tinggi semasa proses pengeluaran.

Tambahan pula, trend global dalam bidang kejuruteraan menunjukkan perubahan paradigma yang signifikan. Negara seperti Jepun, Norway, Kanada dan Austria telah mendahului dalam pembangunan struktur tinggi berasaskan cross-laminated timber (CLT), sekali gus menjadikan kayu sebagai alternatif yang kukuh, tahan lasak dan berdaya saing kepada bahan binaan konvensional. Selain menyumbang kepada estetika reka bentuk moden, kayu juga mendukung aspirasi ekonomi karbon rendah yang menjadi matlamat utama kebanyakan negara menjelang tahun 2050.

Di Malaysia, kekayaan biodiversiti hutan tropika seharusnya menjadi kelebihan utama dalam membangunkan teknologi kayu yang mampan. Namun begitu, masih banyak yang perlu dilakukan. Hal ini termasuklah dari segi pemindahan teknologi, pelaksanaan dasar sokongan kerajaan, pembangunan modal insan serta peningkatan kesedaran awam terhadap peranan kayu sebagai sebahagian daripada teknologi masa hadapan.

 

Kelebihan Utama Penggunaan Kayu dalam Industri Moden

Penggunaan kayu dalam industri moden semakin mendapat perhatian sebagai alternatif yang mampan dan inovatif kepada bahan binaan konvensional seperti konkrit dan keluli. Antara kelebihan utamanya termasuklah keupayaan kayu untuk menyimpan karbon dioksida dari atmosfera, sekali gus membantu mengurangkan jejak karbon keseluruhan bagi sesebuah projek pembinaan.

Selain itu, pemprosesan kayu memerlukan penggunaan tenaga yang jauh lebih rendah berbanding dengan penghasilan bahan binaan lain. Keadaan ini menjadikan kayu lebih bersifat mesra alam dari sudut tenaga sepanjang kitar hayatnya. Kayu juga merupakan sumber yang boleh diperbaharui, terutamanya apabila diperoleh daripada hutan yang diurus secara lestari berdasarkan prinsip Pensijilan Pengurusan Hutan. Hal ini bermakna bekalan kayu dapat dikekalkan tanpa menjejaskan biodiversiti atau kestabilan ekosistem.

Dari sudut sifat fizikal, kayu memiliki keupayaan penebatan haba dan akustik yang baik, sekali gus menjadikannya bahan yang ideal untuk pembinaan bangunan kediaman dan komersial yang cekap tenaga serta selesa didiami. Dalam konteksĀ seni bina dan reka bentuk moden, kayu turut menawarkan tahap fleksibiliti yang tinggi. Kayu boleh dibentuk, dipotong dan digabungkan dengan bahan lain untuk menghasilkan rekaan yang kreatif, kontemporari dan futuristik.

Sebagai contoh, inovasi teknologi seperti CLT dan glued laminated timber (glulam) telah melonjakkan keupayaan struktur kayu ke tahap baharu dan membolehkan pembinaan bangunan bertingkat tinggi yang tahan gempa dan sesuai dengan pelbagai keadaan iklim. Gabungan ciri estetik, kecekapan tenaga serta keupayaan teknikal menjadikan kayu sebagai bahan binaan yang relevan dan berpotensi untuk diterajui dalam era pembinaan moden yang berteraskan kelestarian.

Teknologi Biokayu: Langkah ke Hadapan

Di sebalik penampilannya yang tampak sederhana, kayu memiliki potensi yang besar dalam bidang teknologi bahan, khususnya dalam konteks ekonomi hijau dan bioteknologi moden. Teknologi biokayu merangkumi pelbagai inovasi yang melibatkan transformasi bahan berasaskan kayu kepada produk bernilai tambah tinggi melalui proses biokimia, mekanikal dan nanoteknologi. Pendekatan ini memperluas fungsi kayu daripada bahan struktur kepada bahan mentah pelbagai guna, bahkan meletakkannya di barisan hadapan dalam sektor bioplastik, biofarmaseutikal dan elektronik organik.

Bioresin dan bioplastik daripada lignin

Lignin merupakan komponen utama dalam dinding sel tumbuhan berkayu dan boleh diproses menjadi bioresin serta bioplastik mesra alam. Dengan potensi untuk menggantikan bahan sintetik dalam pembungkusan dan automotif, lignin membuka laluan baharu kepada pembangunan produk lestari yang tidak bergantung pada sumber petroleum.

Nanoteknologi dan nanokristal selulosa (CNC)

CNC yang diekstrak daripada kayu memiliki kekuatan mekanikal yang luar biasa dan sifat serba guna. CNC kini digunakan dalam penghasilan bahan komposit, panel solar serta komponen elektronik. Dalam bidang perubatan pula, CNC menjadi pilihan sebagai bahan bioserasi dalam penghasilan pembalut luka, penghantar ubat dan implan mikro.

Biojisim kayu untuk tenaga boleh baharu

Sisa kayu daripada industri perhutanan dan pemprosesan kayu boleh dijadikan sumber tenaga boleh baharu melalui kaedah pirolisis dan penapaian, yang menghasilkan biogas dan bioetanol. Teknologi ini amat berpotensi dalam memperkasakan komuniti luar bandar dengan penyelesaian tenaga yang bersih dan mampu milik.

Kayu lut sinar dan boleh lentur

Inovasi terkini dalam pengolahan kayu telah menghasilkan bahan seperti kayu lut sinar yang berpotensi digunakan dalam pembinaan pintar dan reka bentuk dalaman yang cekap tenaga. Ciri fleksibiliti dan estetika kayu turut membuka ruang kepada penggunaan futuristik yang menggabungkan nilai fungsi dan seni bina.

Secara keseluruhannya, kayu bukan sekadar peninggalan warisan atau simbol tradisi, tetapi kini muncul sebagai bahan teras dalam pembentukan masa hadapan yang lestari dan berdaya tahan. Dalam menghadapi tekanan global akibat perubahan iklim dan kemerosotan sumber asli, kayu memberikan penyelesaian praktikal yang bersifat regeneratif dan rendah karbon.

Inovasi seperti kayu lut sinar, cross-laminated timber (CLT) dan glulam membuktikan keupayaan kayu untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan dunia moden tanpa menjejaskan estetika atau ketahanannya. Sokongan dasar kerajaan yang progresif, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan serta kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap bahan mampan, kayu berada pada kedudukan yang strategik untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau.

Kini, tibalah masanya untuk manusia meneroka dimensi baharu kayu yang bukan hanya sebagai bahan perlindungan atau struktur, tetapi sebagai simbol harapan, inovasi dan masa hadapan yang berakar umbi dalam kelestarian bumi.

Reka bentuk rumah kayu moden yang menggabungkan elemen seni bina tradisional dengan sentuhan kontemporari.
Bangunan moden bertingkat yang dibina dengan menggunakan teknologi CLT dan glulam.
Inovasi kayu lut sinar membuka dimensi baharu dalam teknologi binaan mesra tenaga.

Ts. Dr. Ahmad Fauzi Awang dan Ts. Junaiza Ahmad Zaki, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Industri Perkayuan, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Pahang (Kampus Jengka).

Azharizan Mohamad Norizan, Pegawai Penyelidik, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi