Diterbitkan pada 16 Mei 2025, 11:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Saban tahun, apabila menjelang musim haji, individu yang menerima panggilan untuk menunaikan ibadah tersebut akan mula melakukan pelbagai persiapan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Selain menyediakan dokumen dan keperluan asas, aspek kesihatan juga perlu diberikan perhatian yang serius agar perjalanan ibadah dapat berlangsung lancar dan selamat.

Persediaan berkaitan dengan pengurusan penyakit yang dihidapi serta penyediaan ubat-ubatan merupakan antara langkah penting yang perlu diambil oleh jemaah haji. Usaha ini adalah untuk memastikan tahap kesihatan jemaah berada dalam keadaan optimum, sekali gus membolehkan mereka menunaikan ibadah dengan sempurna sepanjang tempoh berada di Tanah Suci.

Jemaah haji yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan masalah jantung harus menitikberatkan aspek pengurusan ubat-ubatan agar dapat mengekalkan kepatuhan kepada regimen rawatan yang ditetapkan. Tindakan ini amat penting bagi memastikan penyakit yang dihidapi kekal terkawal sepanjang ibadah haji dijalankan.

Sehubungan dengan itu, bakal jemaah haji digalakkan untuk mengambil langkah proaktif dalam mengurus bekalan ubat-ubatan dan keperluan rawatan masing-masing. Perkara ini wajar dilaksanakan seawal yang mungkin agar tidak timbul sebarang kekangan atau kesulitan ketika berada di luar negara kelak.

Membawa Rekod Kesihatan dan Ubat-ubatan Terkini

Bakal jemaah hendaklah memastikan rekod kesihatan terkini dibawa bersama-sama semasa mengerjakan ibadah haji. Rekod ini penting bagi memudahkan anggota perubatan mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan dengan status kesihatan serta senarai ubat-ubatan yang sedang diambil oleh jemaah, terutamanya jika berlaku sebarang kecemasan sepanjang tempoh ibadah berlangsung. Kini, pelan rawatan semasa yang lengkap, termasuklah senarai ubat-ubatan telah direkodkan secara digital dan boleh dirujuk menerusi aplikasi MySejahtera.

Membawa Bekalan Ubat-ubatan yang Mencukupi

Seterusnya, bakal jemaah perlu memastikan bahawa bekalan ubat-ubatan yang dibawa adalah mencukupi untuk keseluruhan tempoh menunaikan haji. Pengiraan jumlah ubat perlu mengambil kira bilangan hari, bermula dari tarikh bertolak hingga kembali semula ke tanah air, termasuklah tempoh transit sebelum tiba di kediaman sendiri. Bekalan tambahan bagi beberapa hari disarankan untuk turut disediakan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kelewatan, perubahan jadual penerbangan atau kemungkinan kehilangan dan kerosakan ubat.

Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya menyediakan bekalan ubat-ubatan bagi merawat sakit ringan seperti ubat batuk, ubat selesema, ubat demam, ubat gastrik, ubat tahan muntah dan ubat cirit-birit. Ubat-ubatan ini kebiasaannya boleh diperoleh di farmasi komuniti melalui ahli farmasi tanpa memerlukan preskripsi. Ahli farmasi pula berperanan membantu menerangkan kaedah pengambilan, dos dan waktu penggunaan yang betul serta memastikan label ubat-ubatan lengkap untuk memudahkan rujukan semasa di Tanah Suci.

Menyimpan Ubat-ubatan dengan Cara yang Betul

Jemaah haji perlu memastikan bahawa ubat-ubatan yang dibawa ke Tanah Suci disimpan dengan cara yang betul bagi mengekalkan keberkesanan dan keselamatannya. Ubat-ubatan sebaiknya dikekalkan di dalam sampul asal bersama-sama label yang lengkap. Maklumat pada label amat penting sebagai rujukan kepada jemaah dan anggota perubatan sekiranya berlaku sebarang keperluan rawatan.

Bekas penyimpanan yang digunakan hendaklah sesuai, mudah dibawa dan kalis air bagi melindungi ubat daripada rosak akibat pendedahan kepada kelembapan atau suhu yang tidak sesuai. Bagi ubat yang perlu disimpan pada suhu antara dua darjah Celsius hingga lapan darjah Celsius seperti insulin yang belum digunakan, jemaah disarankan untuk membawa beg sejuk khas yang dilengkapi dengan pek ais yang mencukupi untuk mengekalkan suhu yang diperlukan.

Sekiranya jemaah memilih untuk menggunakan kotak ubat (pill box) sebagai alternatif penyimpanan, mereka perlu memastikan ubat tidak dikeluarkan daripada pek blister asal. Penyusunan ubat-ubatan dalam kotak ubat sebaiknya dibantu oleh ahli farmasi agar mengikut jadual pengambilan yang betul. Penggunaan kotak ubat hanya digalakkan bagi tempoh yang singkat, contohnya selama seminggu dan perlu diisi semula secara berkala sepanjang tempoh berada di Tanah Suci.

Kekal Patuh terhadap Pengambilan Ubat-ubatan

Jemaah disarankan untuk mengasingkan ubat-ubatan yang perlu diambil sepanjang penerbangan dan menyimpannya di dalam bagasi tangan, termasuklah pen insulin yang sedang digunakan. Sementara itu, bekalan ubat-ubatan lain boleh disimpan di dalam bagasi yang didaftar masuk. Penyimpanan berasingan ini membolehkan jemaah mengambil ubat pada masa yang telah ditetapkan walaupun berada di dalam pesawat.

Walaupun jadual jemaah semasa di Tanah Suci lazimnya padat dengan aktiviti ibadah, pengambilan ubat-ubatan tidak boleh diabaikan, khususnya bagi mereka yang menghidap penyakit kronik. Sebagai panduan, penggunaan penggera atau peringatan di telefon pintar boleh membantu jemaah mengingati waktu pengambilan ubat secara konsisten.

Sekiranya jemaah berniat untuk beriktikaf dan bermalam di masjid, mereka perlu membawa bersama ubat-ubatan yang perlu diambil pada waktu malam. Ubat tersebut hendaklah disimpan dengan betul dan mudah diakses bagi memastikan pengambilan tidak terlepas.

Pada masa yang sama, jemaah diingatkan agar tidak berkongsi ubat-ubatan penyakit kronik dengan individu lain walaupun mengalami gejala yang sama. Amalan ini berisiko mengundang kesilapan pengubatan yang boleh membahayakan kesihatan. Jika berlaku sebarang kekeliruan atau masalah berkaitan dengan ubat seperti kehabisan bekalan, jemaah perlu segera mendapatkan bantuan daripada pasukan petugas kesihatan. Pasukan ini bersedia membantu jemaah yang menghadapi isu kesihatan sepanjang tempoh ibadah berlangsung.

Sebagai kesimpulan, perjalanan menunaikan ibadah haji menuntut persediaan menyeluruh, termasuklah dalam aspek pengurusan kesihatan dan ubat-ubatan. Keprihatinan terhadap keperluan rawatan diri bukan sahaja dapat mengurangkan risiko komplikasi penyakit, malah membantu memastikan kelancaran ibadah yang dijalankan. Perancangan dan tindakan proaktif dalam pengambilan ubat-ubatan perlu dijadikan keutamaan agar ibadah dapat dilaksanakan dalam keadaan yang teratur, selamat dan sebaik mungkin.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali pada cuti umum).

Mohd Shahiri Abd Ghapar,
Pegawai Farmasi,
Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi,
Program Perkhidmatan Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi