Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIndustri kosmetik kini berkembang pesat sejajar dengan peningkatan permintaan pengguna terhadap produk kecantikan yang pelbagai, inovatif dan bersesuaian dengan keperluan gaya hidup semasa. Perkembangan ini bukan sahaja dipacu oleh kemajuan teknologi dan kepelbagaian formulasi baharu, malah turut disokong oleh perubahan budaya pengguna yang semakin menitikberatkan aspek penampilan diri sebagai cerminan keyakinan dan identiti peribadi.
Dalam era globalisasi dan keterbukaan maklumat pada masa ini, pengguna juga semakin peka terhadap isu keselamatan bahan, kelestarian alam sekitar serta nilai etika yang terkandung dalam produk kosmetik yang mereka pilih. Oleh itu, nilai estetik bukan lagi satu-satunya faktor tarikan, sebaliknya kualiti, ketulenan bahan dan tanggungjawab sosial jenama turut menjadi pertimbangan utama dalam menentukan pilihan pengguna moden.
Satu daripada aspek utama yang memainkan peranan dalam menarik perhatian pengguna dalam industri kosmetik ialah warna. Pewarna berfungsi sebagai elemen visual yang memberikan kesan pertama terhadap produk, di samping membentuk persepsi tentang nilai, kualiti dan keunikan jenama. Dalam dunia pemasaran yang kompetitif, warna menjadi alat komunikasi yang penting yang menyerlahkan identiti sesebuah jenama, menyampaikan mesej yang tersirat kepada pengguna dan membezakan produk di rak jualan.
Penggunaan warna dalam produk kosmetik sering dirancang dengan teliti agar selari dengan konsep, sasaran pasaran dan trend semasa. Oleh sebab itu, pewarna bukan sekadar menjadi bahan tambahan, malah merupakan komponen yang memainkan peranan dalam mencipta tarikan, membina kepercayaan dan mendorong keputusan pembelian pengguna.
Penggunaan pewarna dalam produk kosmetik kini menjadi trend yang semakin menyerlah dalam kalangan pengeluar dan pengguna. Pelbagai tona dan kombinasi warna digunakan secara kreatif bagi meningkatkan daya tarikan visual produk, sekali gus menjadikannya lebih menonjol dan berdaya saing dalam pasaran. Warna turut berperanan dalam menggambarkan emosi, personaliti dan ekspresi diri, lalu menjadikannya sebagai elemen penting dalam penghasilan kosmetik yang bersifat peribadi dan beridentiti.
Dalam konteks penggunaannya, pewarna digunakan secara meluas dalam pelbagai jenis produk seperti gincu, pembayang mata, pewarna kuku, maskara, celak, bedak asas, topeng muka, rawatan rambut dan serbuk inai. Oleh sebab kepelbagaian penggunaan ini, setiap perumusan warna perlu menyeimbangkan tuntutan estetik dengan keperluan keselamatan dan keserasian terhadap pelbagai jenis kulit pengguna.
Pewarna dalam Produk Kosmetik
Pewarna yang digunakan dalam produk kosmetik lazimnya diklasifikasikan kepada dua kategori utama, iaitu pewarna semula jadi dan pewarna sintetik. Pewarna semula jadi diperoleh daripada pelbagai sumber alam seperti tumbuhan, haiwan dan mineral. Antara contoh sumber tumbuhan termasuklah bit merah dan kunyit, manakala pewarna daripada sumber haiwan termasuklah serangga cochineal yang menghasilkan sebatian karmain. Pewarna mineral pula merangkumi bahan seperti oksida besi yang digunakan secara meluas dalam kosmetik. Beberapa contoh pewarna semula jadi yang sering digunakan termasuklah anato, jus bit dan karmin.

Selain pewarna semula jadi yang diperoleh daripada bit merah, kunyit dan serangga cochineal, terdapat juga pelbagai bahan lain dari sumber alam yang digunakan secara meluas dalam industri kosmetik. Antara yang sering menjadi pilihan termasuklah ekstrak kayu secang atau Caesalpinia sappan yang menghasilkan warna merah cerah dan tahan lama melalui proses pengekstrakan dengan menggunakan pelarut.

Warna kuning semula jadi pula diperoleh daripada ekstrak kuning telur yang mengandungi pigmen karotenoid lutein dan zeaxanthin. Pigmen ini digunakan dalam rumusan produk seperti bedak dan bedak asas (foundation) untuk menghasilkan tona kuning semula jadi yang sesuai dengan warna kulit.
Bahan pewarna daripada sumber buah-buahan juga kian mendapat tempat. Sebagai contoh, buah beri yang kaya dengan sebatian antosianin diekstrakĀ dengan menggunakan pelarut etanol untuk menghasilkan warna ungu. Begitu juga dengan buah delima yang kulitnya mengandungi antosianin dan mampu menghasilkan warna merah apabila diekstrak dengan air atau campuran pelarut seperti etanol.
Selain itu, ekstrak daripada sejenis alga yang dikenali sebagai spirulina turut digunakan dalam kosmetik semula jadi. Pigmen fikosianin yang diperoleh melalui proses penapaian bukan sahaja menyumbang kepada warna biru kehijauan, malah dipercayai berfungsi dalam meredakan inflamasi dan membantu memulihkan kesihatan kulit.

Bahan semula jadi lain yang tidak kurang pentingnya ialah lobak merah yang mengandungi betakaroten, iaitu pigmen berwarna jingga yang diekstrak dengan menggunakan pelarut organik seperti heksana dan etanol. Pigmen ini sering digunakan dalam penghasilan produk seperti sahap noda (concealer).

Akar alkanet pula membekalkan pigmen alkanin yang menghasilkan warna merah keunguan apabila diekstrak dengan etanol atau minyak sayur. Warna yang terhasil daripada merah tua hingga ungu Burgundy juga sering kali menjadi pilihan yang ideal dalam penghasilan produk seperti gincu.
Isu Keselamatan dan Peraturan Penggunaan Pewarna dalam Kosmetik
Dalam era kosmetik moden, penggunaan pewarna sintetik semakin meluas dan menjadi pilihan utama dalam pelbagai perumusan produk. Pewarna sintetik dihasilkan melalui proses kimia, lazimnya berasaskan derivatif petroleum. Bahan ini direka bentuk untuk menawarkan pelbagai kelebihan seperti kestabilan warna, ketahanan terhadap haba serta penjimatan kos pengeluaran berbanding dengan pewarna semula jadi.
Antara bahan yang digunakan dalam pewarna sintetik termasuklah methyl methacrylate yang sering digunakan dalam produk pewarna kuku, khususnya sebagai bahan pembina (nail builder) bagi memanjangkan dan menguatkan struktur kuku. Pewarna sintetik juga banyak digunakan dalam produk seperti gincu seperti Red 6 Lake, Red 7 Lake serta pewarna logam seperti oksida besi. Pewarna ini bukan sahaja memberikan warna yang terang dan tahan lama, malah mudah dikawal dari segi tona dan ketekalan hasil akhir.

Namun begitu, penggunaan pewarna sintetik dalam produk kosmetik adalah tertakluk kepada peraturan yang ketat oleh badan pengawalselia antarabangsa seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU). Garis panduan ini menetapkan had keselamatan, kepekatan bahan dan jenis pewarna yang dibenarkan penggunaannya. Sebagai contoh, pewarna berasaskan tar arang batu telah dilarang dalam banyak negara kerana dikaitkan dengan potensi kesan sampingan terhadap kesihatan seperti risiko kerengsaan kulit dan kesan karsinogenik.
Walaupun pewarna memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya tarikan produk kosmetik, aspek keselamatan pengguna tidak boleh dipandang ringan. Terdapat beberapa jenis bahan pewarna yang telah dikenal pasti mengandungi unsur toksik dan berisiko tinggi terhadap kesihatan, justeru penggunaannya telah dilarang dalam industri kosmetik.
Antara pewarna yang tidak dibenarkan penggunaannya termasuklah Pigment Red 53, Rhodamin B, Metanil Yellow, Ponceau 3R, dan Ponceau SX. Pigment Red 53 merupakan bahan pewarna merah yang mengandungi arsenik, iaitu unsur toksik yang boleh memberikan kesan berbahaya kepada kesihatan. Sebagai alternatif yang lebih selamat, pewarna seperti Pigment Red 7 dan D&C Red No. 36 digunakan. Rhodamin B yang juga menghasilkan warna merah terang telah diklasifikasikan sebagai bahan karsinogenik dan mutagenik, maka penggunaannya digantikan dengan pewarna yang lebih selamat seperti Acid Red 27 dan D&C Red No. 21.
Begitu juga dengan metanil kuning, sejenis pewarna kuning yang boleh menyebabkan iritasi kulit, mata serta pemekaan badan. Pewarna ini kini digantikan dengan bahan yang kurang toksik seperti tartrazina dan solvent orange. Ponceau 3R dan Ponceau SX pula tidak lagi dibenarkan kerana sifat karsinogeniknya. Sebagai alternatif, pewarna sintetik seperti Allura Red AC dan Brilliant Blue FCF telah digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna tanpa menjejaskan mutu estetik produk.
Penggunaan bahan-bahan terlarang ini juga tidak hanya melanggar peraturan, malah turut membawa implikasi yang serius terhadap kesihatan awam. Statistik tahun lalu mencatatkan sebanyak 142 777 unit produk kosmetik tidak bernotifikasi, termasuklah yang mengandungi bahan beracun telah dirampas oleh pihak berkuasa dengan nilai rampasan mencecah RM3.4 juta.
Sehubungan dengan itu, pengguna disarankan agar sentiasa membaca label dan memastikan produk kosmetik yang dibeli telah dinotifikasi kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sekiranya berlaku sebarang kesan sampingan seperti iritasi, alergi atau reaksi kulit lain, pengguna harus segera membuat aduan kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK). Aduan tersebut perlu disertakan dengan maklumat lengkap seperti nama produk, kesan yang dialami dan sampel produk untuk siasatan lanjut.
Setiap produk kosmetik juga wajib dinotifikasi kepada KKM sebelum dikilang, diimport, dibekal atau dijual di pasaran Malaysia. Produk yang didapati mengandungi bahan terlarang akan dibatalkan notifikasinya serta tidak dibenarkan lagi untuk dijual dalam sebarang bentuk atau penjenamaan semula. Senarai produk kosmetik yang telah dibatalkan notifikasi boleh dirujuk melalui laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di sini.

Pemantauan keselamatan dan kualiti produk kosmetik turut dilaksanakan secara berterusan melalui Program Pengawasan Mutu yang dikendalikan oleh KKM. Sebarang makluman atau aduan berkaitan isu keselamatan produk akan dinilai secara profesional dan tindakan regulatori akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran terhadap standard kualiti dan keselamatan yang ditetapkan.
Kesimpulannya, sebagai komponen utama dalam perumusan kosmetik, pewarna memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi nilai estetik yang dibawa, malah turut menyumbang kepada strategi penjenamaan dan pemasaran produk. Namun begitu, penggunaan pewarna yang tidak dikawal rapi boleh memberikan risiko kesihatan yang serius kepada pengguna. Oleh itu, penyelidikan berterusan, pematuhan terhadap peraturan antarabangsa dan kawal selia yang tegas amat diperlukan bagi memastikan semua bahan pewarna yang digunakan adalah selamat, berkesan dan selaras dengan prinsip etika.
Pada masa yang sama, tahap kesedaran pengguna turut memainkan peranan penting dalam menangani isu keselamatan kosmetik. Pengguna disarankan untuk sentiasa meneliti label produk, mengenal pasti bahan kandungan yang digunakan serta memastikan produk telah mendapat kelulusan pihak berkuasa kesihatan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia. Hanya melalui kerjasama antara industri, kerajaan dengan pengguna, keselamatan dan integriti produk kosmetik dapat dipelihara demi kesejahteraan bersama.
Penolong Profesor Dr. Mohamed Asem Mohamed Ameerdin dan Penolong Profesor Dr. Fazlina Mustaffa,
AIMST University.