Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPembangunan industri dan keperluan penyelidikan pada masa ini merupakan dua elemen yang saling berkait rapat dalam mendorong kemajuan sesebuah negara. Universiti merupakan institusi ilmu yang memberikan tumpuan kepada penyelidikan yang dapat diterjemahkan kepada kemajuan teknologi, penghasilan produk serta inovasi yang bermanfaat kepada industri. Melalui penyelidikan juga, para akademik di universiti menyumbang kepada penghasilan pengetahuan baharu yang boleh meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam industri.
Kerjasama yang erat antara pihak universiti dengan pihak industri mampu merealisasikan penemuan kajian ke dalam industri. Sesungguhnya, pembangunan industri yang mapan memerlukan sinergi antara penyelidikan di universiti dengan keperluan sebenar industri, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Di samping merangsang kemajuan teknologi dalam sektor perindustrian, jalinan ini turut membuka ruang kepada universiti untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan relevan dengan kehendak pasaran semasa.
Sebagaimana negara membangun yang lain, Malaysia juga memberikan perhatian terhadap kepentingan penyelidikan dan inovasi kepada industri bagi mencapai pembangunan teknologi dalam industri dan juga perkembangan produk dalam pasaran. Sememangnya, penyelidikan memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan daya saing dan kelestarian industri yang semakin kompetitif.
Perubahan teknologi dan permintaan pasaran yang semakin dinamik telah mendorong para pelaku industri berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti keperluan untuk meningkatkan keberkesanan sumber, mengurangkan kos pengeluaran dan mengadapatasi kaedah yang lebih mampan. Oleh sebab itu, penyelidikan berperanan penting dalam membantu industri mengenal pasti dan menerapkan inovasi baharu yang mampu meningkatkan kecekapan dan produktiviti. Pada masa ini, hasil penyelidikan universiti semakin diiktiraf sebagai sumber bernilai yang membolehkan syarikat menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih berkualiti, selamat, mesra alam, dan sejajar dengan perkembangan trend pasaran.
Beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Korea Selatan telah lama menyedari kepentingan kerjasama penyelidikan oleh universiti kepada industri. Penyelidikan juga tidak terbatas kepada pengembangan teori dan konsep dalam pendidikan semata-mata, malah diakui sebagai pemacu utama kepada kemajuan industri secara langsung.
Di Amerika Syarikat, syarikat gergasi seperti Google dan Tesla bergantung pada dapatan penyelidikan untuk mencetuskan teknologi baharu yang merubah gaya hidup manusia, khususnya dalam era media sosial. Begitu juga di Jerman, penyelidikan dalam bidang kejuruteraan dan pembuatan dalam industri automotif dan teknologi hijau telah meletakkan negara tersebut sebagai peneraju inovasi teknikal pada peringkat global.
Jepun pula menampilkan kecemerlangan dalam bidang robotik dan elektronik, hasil kerjasama erat antara universiti, kerajaan dengan industri, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Sementara itu, Korea Selatan telah muncul sebagai peneraju dalam sektor semikonduktor dan teknologi maklumat melalui sokongan dasar kerajaan yang konsisten terhadap usaha penyelidikan dan pembangunan.
Kesemua negara maju ini memberikan penekanan terhadap kerjasama strategik antara universiti dengan industri dalam memacu pembangunan teknologi dan inovasi, khususnya yang berkaitan dengan peningkatan kecekapan tenaga, pengurusan sumber secara lestari serta penghasilan produk yang lebih mesra alam. Sokongan berterusan terhadap aktiviti penyelidikan juga memastikan mereka kekal di barisan hadapan dalam gelombang inovasi industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menggalakkan institusi pengajian tinggi terlibat dalam penyelidikan berorientasikan industri. Pelbagai dasar telah dirangka oleh pihak kerajaan untuk mewujudkan kerjasama antara sektor akademik dengan pihak industri. Antaranya termasuklah Rangka Tindakan Agenda Nasional Inovasi (NAIA) yang telah dibangunkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertujuan untuk merangka strategi dan tindakan bagi memperkasakan inovasi di Malaysia.
Dasar ini mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan mencipta peluang pekerjaan yang berkualiti, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negara. Selaras dengan keperluan industri kontemporari, pendekatan KPT dalam penyelidikan industri juga memacu pemindahan teknologi dan hasil penyelidikan kepada sektor industri yang berfokuskankeperluan semasa seperti teknologi hijau, Revolusi Perindustrian 4.0 dan sains data yang dapat meningkatkan daya saing negara pada peringkat global.
Pada masa ini, pelbagai dana telah ditawarkan oleh sektor swasta dan agensi kerajaan melalui program geran penyelidikan bagi memastikan hasil penyelidikan universiti memberikan impak langsung kepada pembangunan industri. KPT juga menyediakan pelbagai bentuk sokongan kewangan dan insentif untuk menggalakkan penyelidikan berfokuskan industri. Usaha ini bertujuan memastikan aktiviti penyelidikan di universiti tidak hanya terhenti dalam lingkungan akademik, sebaliknya dapat dimanfaatkan oleh sektor industri untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta membantu agensi kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, masih terdapat sebahagian penyelidikan yang tertumpu pada kepentingan akademik semata-mata dan tidak memberikan impak kepada pembangunan industri. Banyak penyelidik masih cenderung menjalankan kajian berasaskan penerbitan jurnal atau kerangka teori berbanding dengan menghasilkan inovasi yang dapat digunakan secara praktikal dalam sektor industri.
Akibatnya, hasil penyelidikan tersebut kurang dimanfaatkan oleh pihak industri untuk meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing. Tumpuan terhadap pengiktirafan akademik turut mewujudkan jurang kerjasama antara universiti dengan syarikat besar, lalu menyebabkan banyak kajian tidak selari dengan keperluan sebenar industri, terutamanya dari segi potensi pengkomersialan dan penghasilan produk baharu.
Bagi mengatasi isu ketaksepadanan antara penyelidikan akademik dengan keperluan industri, Kerajaan Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui beberapa agensi bagi memastikan hasil penyelidikan universiti turut menyumbang kepada pengembangan sektor perniagaan. Antara langkah tersebut pelancaran Program Perkongsian Industri-Akademik (Industry-Academia Collaboration Program) oleh KPT dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan strategik antara universiti dengan industri bagi mempercepat proses inovasi dan pengkomersialan hasil kajian. Di samping itu, inisiatif ini memberikan penekanan kepada pemindahan teknologi, perkongsian kepakaran serta pembangunan kemahiran, sekali gus membawa manfaat bersama dan memperkukuh daya saing ekonomi negara.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan dana khas melalui Geran Penyelidikan dan Inovasi sebagai insentif kepada ahli akademik di universiti untuk melaksanakan penyelidikan yang berpotensi tinggi untuk diterjemahkan ke dalam bentuk kegunaan industri atau produk komersial. Usaha ini bertujuan memastikan penyelidikan universiti tidak hanya tertumpu kepada aspek teori, sebaliknya mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi negara.
Kini, setiap universiti awam di Malaysia telah menubuhkan pusat kecemerlangan atau institut penyelidikan tersendiri yang menjalankan kajian berasaskan kepakaran masing-masing, selaras dengan keperluan industri berkaitan. Institut penyelidikan ini memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada perkembangan industri melalui inovasi dan hasil kajian yang berimpak tinggi.
Sebagai entiti yang memfokuskan penyelidikan terarah, setiap institut bertanggungjawab untuk menjalankan kajian yang sejajar dengan keperluan sektor industri tertentu. Melalui kerjasama erat dengan pihak industri, penemuan akademik dapat ditransformasikan kepada aplikasi praktikal yang memberikan kesan langsung terhadap pembangunan industri.
Selain itu, institut penyelidikan turut berperanan sebagai penghubung strategik antara industri dengan komuniti akademik yang membolehkan ilmu serta kepakaran penyelidik disalurkan dengan lebih efektif untuk merangka penyelesaian yang inovatif dan berdaya saing. Oleh itu, penyelidikan universiti tidak wajar kekal terhad dalam lingkungan akademik, sebaliknya perlu menjadi pemangkin utama kepada kemajuan industri negara dalam menghadapi persaingan global yang semakin mencabar.
Profesor Madya Dr. Muhammad Abi Sofian Abdul Halim,
Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Lestari,
Universiti Malaysia Terengganu.