Diterbitkan pada 5 Mei 2025, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goal (SDG) diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015, dunia telah mula mengorak langkah ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan plastik konvensional. Langkah ini termasuklah usaha beralih kepada penggunaan plastik yang boleh terbiodegradasikan sebagai alternatif yang lebih lestari.

Plastik konvensional lazimnya mengambil masa yang sangat lama untuk terurai secara semula jadi dan boleh memakan masa antara ratusan hingga ribuan tahun. Hal ini menjadikan plastik sebagai antara bahan buangan yang paling sukar untuk diuraikan oleh alam sekitar.

Sebagai perbandingan, bahan lain seperti kertas biasanya terurai dalam tempoh sebulan, manakala besi mengalami proses pengaratan yang tidak dianggap sebagai proses biodegradasi sepenuhnya. Kaca pula kekal wujud dalam bentuk asalnya selama berdekad-dekad, lalu menjadikannya antara sisa buangan yang paling kekal dalam alam sekitar.

Menangani Isu Sisa dan Pencemaran Plastik

Malaysia tidak terkecuali dalam menyokong usaha global tersebut. Negara ini turut mengguna pakai Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung PBB pada September 2015. Pelibatan ini menzahirkan komitmen Malaysia dalam melaksanakan kesemua 17 matlamat SDG secara menyeluruh, termasuklah usaha untuk mengurangkan kesan negatif penggunaan plastik terhadap alam sekitar.

Beberapa matlamat dalam SDG juga secara langsung menyentuh isu pencemaran alam sekitar, khususnya matlamat ke-11, iaitu Bandar dan Komuniti yang Mampan, serta matlamat ke-12, iaitu Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab. Kedua-dua matlamat ini merangkumi objektif yang memberikan penekanan terhadap pengurusan sisa secara mampan sebagai langkah yang penting dalam mencapai kelestarian bandar dan kelangsungan sumber.

Secara lebih terperinci, Matlamat 11.6.1 menetapkan keperluan untuk memastikan kutipan sisa pepejal bandar dilakukan secara berkala dan sistematik dengan pelepasan akhir yang mencukupi terhadap jumlah sisa yang dijana. Hal ini bertujuan untuk mengurangkan impak pencemaran dan meningkatkan kualiti persekitaran bandar.

Sementara itu, Matlamat 12.5 menyasarkan pengurangan dalam penjanaan sisa menjelang tahun 2030 menerusi pendekatan pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula. Pendekatan ini selaras dengan prinsip ekonomi kitaran yang menekankan pemanjangan jangka hayat sumber dan produk.

Selain itu, Matlamat 12.6 menggalakkan syarikat, khususnya entiti besar dan syarikat multinasional untuk mengamalkan amalan mampan dalam operasi perniagaan mereka. Hal ini termasuklah menyepadukan maklumat berkaitan dengan kemampanan dalam laporan korporat dan proses pelaporan tahunan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan alam sekitar.

Kesemua objektif ini memperlihatkan dengan jelas keterikatan erat antara perancangan pembangunan bandar, tadbir urus korporat dengan kelestarian alam sekitar yang tidak boleh bergerak secara terpisah. Sebaliknya, ketiga-tiga elemen ini perlu digerakkan secara sinergi dan bersepadu bagi memastikan agenda pembangunan mampan dapat dicapai secara menyeluruh dan berimpak tinggi.

Amalan Sifar Plastik

Seiring dengan seruan global untuk memperkukuh kelestarian alam sekitar, pelbagai inisiatif di Malaysia telah dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap plastik konvensional, terutamanya plastik sekali guna yang diketahui sebagai antara penyumbang utama kepada pencemaran darat dan laut. Inisiatif ini turut didorong oleh kesedaran bahawa plastik yang tidak terurai bukan sahaja mengancam kehidupan marin dan biodiversiti, malah berpotensi memberikan kesan negatif terhadap kesihatan manusia apabila memasuki rantaian makanan dalam bentuk mikroplastik.

Antara pendekatan paling signifikan yang dilaksanakan pada peringkat nasional termasuklah pengenalan dasar sifar plastik sekali guna yang diperkenalkan secara berperingkat, bermula dari sektor awam, komuniti perniagaan, sehinggalah ke institusi pendidikan. Pendekatan ini memberikan penekanan kepada perubahan struktur, budaya penggunaan dan penyediaan alternatif lestari yang lebih mesra alam dan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Dalam sektor peruncitan, pelaksanaan dasar ini mula dirasakan oleh pengguna apabila pasar raya besar seperti Giant, AEON, Tesco (kini Lotus’s) dan Mydin mengambil langkah drastik untuk menghentikan pemberian beg plastik secara percuma kepada pelanggan. Sebaliknya, pengguna digalakkan untuk membawa beg beli-belah sendiri atau membeli beg alternatif yang diperbuat daripada bahan kitar semula atau berasaskan kertas dengan bayaran minimum yang dikenakan sebagai insentif perubahan tingkah laku. Selain bersifat penguatkuasaan, langkah ini berfungsi sebagai mekanisme pendidikan sosial untuk memupuk kesedaran tanggungjawab individu terhadap penjagaan alam sekitar dalam kehidupan seharian.

Pendekatan pengurangan plastik ini turut diperluas ke sektor pentadbiran awam. Di Putrajaya, pelbagai kementerian dan jabatan telah mula melaksanakan amalan hijau dalam pengurusan majlis rasmi dan program berskala besar. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) muncul sebagai antara agensi terawal yang memperkenalkan larangan penggunaan plastik sekali guna dalam sebarang bentuk acara rasmi sejak tahun 2013. MOSTI menetapkan panduan yang jelas kepada warga kerja dan penganjur program untuk menggunakan bekas hidangan yang boleh diguna semula, mengelakkan botol plastik serta menggantikan kutleri pakai buang dengan alternatif yang lestari.

Susulan daripada tindakan tersebut, kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan turut mengikuti jejak langkah ini melalui pengeluaran pekeliling dalaman dan arahan rasmi yang menyokong pengurangan plastik dalam operasi harian dan pengurusan logistik acara. Di sesetengah kementerian, penggunaan tumbler atau bekas air sendiri telah dijadikan norma dalam mesyuarat, manakala penyediaan makanan dalam bekas plastik dan penggunaan straw plastik diharamkan sepenuhnya semasa penganjuran bengkel, seminar atau lawatan kerja.

Kesemua inisiatif ini mencerminkan transformasi pemikiran pentadbiran awam ke arah tadbir urus yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pada masa yang sama, tindakan ini selari dengan pendekatan Kerajaan Persekutuan yang meletakkan kemampanan sebagai salah satu tunjang dasar negara dalam kerangka Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kelestarian dan kesejahteraan sejagat.

Namun begitu, kejayaan pelaksanaan dasar ini memerlukan sokongan yang menyeluruh daripada semua sektor, termasuklah pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, komuniti sivil dan individu. Hanya melalui pendekatan menyeluruh, amalan sifar plastik dapat diterapkan secara berkesan dalam budaya masyarakat dan menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia.

Universiti Malaya sebagai Model Amalan Sifar Plastik

Dalam konteks institusi pendidikan tinggi, Universiti Malaya turut mengambil langkah proaktif dengan mengeluarkan pekeliling rasmi untuk melaksanakan dasar sifar plastik di seluruh kampus. Polisi ini bukan sahaja terpakai kepada semua jabatan dan fakulti (PTj) dalam menganjurkan majlis rasmi, malah turut dikuatkuasakan terhadap semua premis perniagaan yang beroperasi dalam kawasan kampus UM.

Komitmen Universiti Malaya terhadap pelaksanaan dasar sifar plastik sekali guna turut diperincikan melalui garis panduan dan mekanisme penguatkuasaan yang berfasa dan sistematik. Berdasarkan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh pihak universiti, beberapa ketetapan telah diputuskan bagi memastikan dasar ini dapat dilaksanakan secara berkesan di seluruh kampus.

Mulai 1 November 2024, semua Pusat Tanggungjawab (PTj) di Universiti Malaya diwajibkan menggunakan botol kaca, jag air, dan barangan seumpamanya dalam semua mesyuarat, majlis rasmi serta program atau aktiviti rasmi. Walaupun penggantian dengan karton kertas atau tin aluminium masih dibenarkan, penggunaannya tidak digalakkan kerana bertentangan dengan semangat inisiatif sifar sisa. Ketetapan ini disandarkan kepada dokumen Garis Panduan dan Pelaksanaan Sifar Plastik Sekali Guna (Fasa 1) yang dikeluarkan oleh universiti.

Selanjutnya, bermula 1 Disember 2024, penyewa premis makanan di kawasan kampus dilarang menggunakan atau menyediakan penyedut minuman dan kutleri plastik seperti sudu, garfu dan pisau. Sebagai alternatif, penyewa digalakkan untuk menyediakan penyedut minuman kertas dan kutleri mesra alam. Namun begitu, mereka tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang caj tambahan kepada pelanggan bagi penyediaan alternatif tersebut. Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan mendidik komuniti kampus untuk membudayakan amalan hijau dalam kehidupan seharian.

Bagi memperkukuh lagi pelaksanaan dasar ini, mulai 1 April 2025, penyewa premis makanan turut dilarang menggunakan bekas makanan berasaskan polisterin serta pembungkus plastik. Sebagai ganti, mereka dibenarkan untuk menggunakan bekas makanan berasaskan kertas dengan caj maksimum RM0.50 sen setiap satu. Walau bagaimanapun, penggunaan plastik masih dibenarkan untuk pembungkusan makanan berkuah atas pertimbangan keperluan praktikal.

Pada tarikh yang sama, satu lagi peraturan penting telah dikuatkuasakan, iaitu larangan penggunaan dan penyediaan beg plastik bertangkai, termasuklah  jenis biodegradasi oleh semua penyewa. Dalam hal ini, pelanggan digalakkan untuk membawa bekas makanan dan minuman sendiri, terutamanya bagi pesanan bawa pulang. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong pengurangan sisa plastik, malah membantu memperkasakan budaya kelestarian dalam kalangan warga universiti.

Pelaksanaan pada Peringkat Kebangsaan

Pada peringkat kerajaan pusat, usaha menangani isu penggunaan plastik sekali guna telah dimulakan secara rasmi oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada tahun 2018 melalui pelancaran dokumen dasar penting bertajuk Peta Jalan Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna: 2018–2030. Dokumen ini merupakan pelan induk yang menggariskan hala tuju negara dalam mengurangkan dan akhirnya menghapuskan penggunaan plastik sekali guna secara berperingkat.

Dokumen ini bukanlah sekadar dokumen dasar, malah turut merangkumi pendekatan pelaksanaan menyeluruh yang melibatkan kerajaan, pihak industri, komuniti pengguna, institusi pendidikan dan pelbagai pihak berkepentingan lain. Dokumen berkenaan boleh diakses oleh umum melalui pautan rasmi di sini.

Peta jalan ini dirangka dengan visi jangka panjang selama 13 tahun dan dibahagikan kepada lima fasa utama yang merangkumi pelbagai aspek seperti penggubalan dasar, penambahbaikan infrastruktur, penyelidikan teknologi alternatif, pendidikan pengguna serta kerjasama strategik antara sektor awam dengan swasta. Setiap fasa menetapkan sasaran khusus dalam tempoh masa tertentu bagi memastikan peralihan daripada penggunaan plastik sekali guna kepada alternatif mesra alam dapat dicapai secara berstruktur dan sistematik.

Namun begitu, setelah lebih separuh tempoh pelaksanaan berlalu, pelaksanaan sebenar di lapangan menunjukkan masih banyak aspek yang perlu diberikan perhatian yang serius. Kini, dengan hanya berbaki lima tahun sebelum pelan ini mencapai tempoh akhirnya pada tahun 2030, beberapa objektif utama dilihat masih belum mencapai kemajuan yang diharapkan.

Antara perkara tersebut termasuklah kelewatan dalam penggubalan rangka kerja perundangan khusus bagi mengawal selia penggunaan plastik sekali guna. Tanpa asas undang-undang yang kukuh, penguatkuasaan dasar ini menjadi longgar dan bergantung sepenuhnya pada komitmen serta inisiatif pentadbiran pada peringkat negeri dan tempatan.

Selain itu, pelaksanaan pengharaman penggunaan beg plastik secara menyeluruh masih belum dilaksanakan secara konsisten di seluruh negara. Pada masa ini, dasar ini hanya dikuatkuasakan secara aktif dan berkesan di negeri yang lebih maju dari segi ekonomi dan keupayaan pentadbiran seperti Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan. Di negeri-negeri tersebut, larangan penggunaan beg plastik telah bersekali dengan kempen kesedaran pengguna, insentif kepada peniaga yang menyokong amalan mesra alam serta pelaksanaan pemantauan yang lebih berstruktur.

Sebaliknya, negeri lain yang kurang maju dari sudut pembangunan sosioekonomi seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Sabah masih menunjukkan tahap pelaksanaan yang minimum. Antara faktor yang menyumbang kepada ketidakseimbangan ini termasuklah kekangan kewangan, kekurangan sumber manusia yang terlatih dalam aspek pengurusan sisa, tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah, serta ketiadaan sokongan politik yang konsisten pada peringkat negeri.

Perbezaan keupayaan pelaksanaan ini menimbulkan jurang yang ketara dalam usaha nasional menuju sifar plastik sekali guna. Keadaan ini juga memberikan gambaran bahawa komitmen terhadap kelestarian alam sekitar masih bersifat tidak sekata antara negeri dengan wilayah, sekali gus mencabar keupayaan negara untuk memenuhi sasaran yang telah ditetapkan dalam Peta Jalan 2018–2030. Sekiranya perkara ini tidak ditangani secara serius dan menyeluruh, Malaysia berisiko untuk gagal dalam mencapai aspirasi pembangunannya yang berteraskan prinsip kemampanan dan tanggungjawab alam sekitar.

Tanggungjawab Masyarakat

Berdasarkan pemerhatian dan analisis penulis, meskipun dasar nasional telah diwujudkan sejak sekian lama, keberkesanan pelaksanaannya pada peringkat akar umbi, termasuklah di universiti, institusi pendidikan tinggi dan sekolah rendah masih bergantung pada inisiatif serta komitmen individu dan organisasi masing-masing. Dalam hal ini, peranan masyarakat sebagai agen perubahan amat penting. Setiap individu perlu memikul tanggungjawab untuk mengurangkan penggunaan plastik tidak terurai, kecuali dalam keadaan yang benar-benar memerlukan. Antara langkah proaktif yang boleh diamalkan termasuklah membawa bekas makanan dan minuman sendiri, menggunakan beg kertas semasa membeli-belah serta menyokong produk yang menggunakan pembungkusan mesra alam.

Walaupun tindakan ini mungkin dilihat kecil dan tidak memberikan impak secara individu, jika diamalkan secara kolektif oleh sebahagian besar anggota masyarakat, usaha ini mampu memberikan kesan yang signifikan terhadap pengurangan penggunaan plastik sekali guna. Usaha ini juga secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar serta menyokong pencapaian SDG negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi