Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZon penampan merupakan suatu kawasan peralihan atau sempadan yang diwujudkan secara strategik antara dua entiti yang memiliki tahap risiko, fungsi atau kepadatan aktiviti yang berbeza. Kawasan ini direka bentuk atau ditetapkan khusus untuk bertindak sebagai perantara antara aktiviti antropogenik dengan kawasan yang sensitif terhadap pelbagai bentuk bahaya seperti bencana alam, pencemaran dan risiko keselamatan. Dari perspektif kejuruteraan dan keselamatan, zon penampan memainkan peranan yang amat penting dalam usaha mengurangkan risiko serta memastikan keselamatan dan kelestarian sesuatu kawasan secara berterusan.
Dalam bidang kejuruteraan awam dan perancangan bandar, zon penampan boleh hadir dalam pelbagai bentuk fizikal. Antaranya termasuklah kawasan hijau, koridor tanah lapang, sistem parit saliran atau struktur buatan manusia seperti dinding penahan dan tembok penghadang. Fungsi utama zon ini adalah untuk menyerap, mengasingkan atau mengurangkan impak negatif, baik dari aspek fizikal, akustik, pencemaran, mahupun risiko keselamatan yang mungkin timbul.
Walaupun zon penampan sering dianggap secara zahirnya sebagai kawasan “kosong” atau tidak produktif, hakikatnya kawasan ini memainkan peranan yang sangat signifikan dalam konteks kejuruteraan, perancangan bandar dan keselamatan awam. Kehadiran zon penampan yang direka bentuk secara saintifik bukan sahaja dapat mengurangkan risiko bencana, malah turut menyumbang kepada peningkatan kualiti persekitaran dan kesejahteraan penduduk secara keseluruhannya. Oleh itu, aspek perancangan dan pengurusan zon penampan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya dalam sebarang inisiatif pembangunan mampan.
Reka Bentuk dan Fungsi Teknikal Zon Penampan
Dalam bidang kejuruteraan awam, zon penampan memainkan peranan utama sebagai langkah mitigasi terhadap pelbagai risiko bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran hutan. Zon penampan yang diwujudkan di persisiran sungai berfungsi mengelakkan kerosakan akibat banjir dengan menyediakan ruang yang mencukupi untuk air melimpah tanpa menjejaskan kawasan bangunan atau penempatan. Sistem zon penampan banjir seperti kolam tadahan dan rizab sungai berperanan menampung lebihan aliran air, sekali gus mengurangkan risiko limpahan yang boleh merosakkan infrastruktur jalan raya, bangunan dan jaringan utiliti.
Di kawasan berbukit pula, zon penampan memainkan fungsi dalam mengurangkan risiko tanah runtuh melalui pengekalan kawasan bervegetasi dan pencegahan aktiviti pembinaan yang berpotensi menjejaskan kestabilan tanah. Zon penampan cerun yang direka bentuk dengan teliti memastikan tiada pembinaan dijalankan berhampiran kawasan berisiko runtuhan serta dilengkapi dengan sistem penstabil cerun seperti cerucuk, geogrid atau benteng penahan yang mantap.
Dalam konteks kejuruteraan trafik, zon pemisah jalan (road buffer zones) memainkan fungsi kritikal dalam mengurangkan impak pelanggaran kenderaan, menyediakan ruang kecemasan strategik serta membantu dalam pengawalan tahap kebisingan dan pencemaran udara. Perlu ditekankan bahawa reka bentuk zon penampan yang efektif memerlukan analisis terperinci terhadap pelbagai faktor seperti jenis tanah, keamatan hujan, corak arah angin dominan serta keperluan struktur bersebelahan. Oleh hal yang demikian, zon penampan bukanlah sekadar sempadan fizikal semata-mata, namun merupakan komponen integral dalam sistem perlindungan kejuruteraan yang komprehensif.
Dari perspektif keselamatan, zon penampan bertindak sebagai mekanisme pelindung yang mengasingkan manusia dan harta benda daripada pelbagai risiko kecelakaan atau bahaya. Dalam konteks perancangan taman perindustrian atau kawasan perumahan yang terletak berdekatan dengan kawasan berbahaya, zon penampan dimanfaatkan untuk memisahkan aktiviti berisiko tinggi daripada kawasan kediaman. Melalui pendekatan ini, potensi berlakunya kejadian tidak diingini seperti kebakaran, pencemaran gas atau kemalangan industri dapat diminimumkan secara signifikan.
Nilai strategik zon penampan turut terserlah dalam konteks keselamatan awam dan pengurusan operasi kecemasan. Dalam sektor industri berat atau kawasan berisiko tinggi seperti kilang bahan kimia, loji jana kuasa atau depot bahan api, zon ini berfungsi sebagai lapisan keselamatan yang melindungi kawasan kediaman daripada ancaman letupan, kebocoran bahan berbahaya atau kejadian kebakaran.
Menurut peruntukan Gas Supply Regulations 1997, Zon Selamat bagi pemasangan paip gas yang telah dikenal pasti atau ditandakan ditentukan berdasarkan formula seperti yang berikut:
Sebagai contoh, bagi paip berdiameter 300 milimeter, zon selamat yang ditetapkan adalah sebanyak 1.3 meter (300 milimeter + 0.5 meter + 0.5 meter). Penetapan peraturan ini bertujuan memastikan tiada kerja penggalian atau pembinaan struktur dijalankan terlalu hampir dengan paip gas, sekaligus mengurangkan risiko kerosakan atau kebocoran gas yang boleh membawa implikasi serius.
Berdasarkan pandangan pakar perancangan bandar, Encik Abdul Razak Abdul Rahman, garis panduan semasa menetapkan jarak selamat minimum sebanyak 30 meter dari paip gas bertekanan tinggi. Walau bagaimanapun, beliau mengemukakan cadangan agar jarak ini diperluaskan kepada lingkungan antara 50 meter hingga 100 meter, terutamanya di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi atau kawasan berisiko tinggi seperti sekolah dan hospital.
Zon penampan turut digunakan secara meluas dalam perlindungan infrastruktur kritikal seperti loji jana kuasa, stesen minyak dan kemudahan pengangkutan. Melalui pewujudan zon penampan yang strategik, risiko kerosakan akibat kejadian tidak diduga seperti kebakaran, letupan atau kemalangan jalan raya dapat dikurangkan secara berkesan. Aspek ini amat penting dalam memastikan kesinambungan operasi dan mengelakkan sebarang gangguan yang boleh memberikan impak yang signifikan terhadap kesejahteraan masyarakat dan kestabilan ekonomi.
Dalam konteks perbandaran moden, selain berperanan dalam mengurangkan pencemaran dan tahap kebisingan, zon penampan yang diwujudkan antara kawasan perindustrian dengan kawasan kediaman turut berfungsi sebagai laluan strategik bagi memudahkan pergerakan pasukan keselamatan dan penyelamat sekiranya berlaku sebarang situasi kecemasan.
Dari sudut kejuruteraan alam sekitar, zon penampan memainkan peranan dalam menghalang penyebaran pencemaran ke kawasan sensitif ekologi seperti sungai, tasik dan kawasan hutan. Selain aspek teknikal dan keselamatan, zon penampan turut menyumbang secara signifikan kepada usaha pemeliharaan kelestarian alam sekitar.
Rizab hijau yang diwujudkan di sepanjang kawasan riparian sungai, sebagai contoh, bertindak sebagai sistem penapisan semula jadi yang berkesan dalam menyerap larian permukaan tercemar sebelum air tersebut memasuki sistem akuatik. Zon ini juga menyediakan habitat kepada kepelbagaian flora dan fauna, menyumbang kepada penyederhanaan suhu persekitaran dan mengurangkan kesan fenomena pulau haba bandar. Pendekatan ini semestinya menjamin kelestarian ekosistem semula jadi, memberikan manfaat kepada kesihatan penduduk sekitar dan mengimbangi proses pembangunan fizikal dengan usaha perlindungan ekosistem yang berterusan.
Zon penampan turut memainkan peranan sebagai ruang fleksibel yang strategik untuk mengimplementasikan pelbagai bentuk penyesuaian kejuruteraan pada masa hadapan. Hal ini termasuklah pembangunan sistem pengurusan risiko bencana yang lebih canggih, perancangan laluan evakuasi kecemasan yang efisien serta pembinaan infrastruktur sokongan tambahan yang diperlukan.
Keberadaan zon ini membolehkan sebarang pengubahsuaian atau peluasan infrastruktur dilaksanakan tanpa menjejaskan kawasan berisiko tinggi mahupun kawasan penempatan sedia ada. Pendekatan ini secara langsung meningkatkan tahap daya tahan dan keselamatan persekitaran binaan dalam jangka masa panjang, sekali gus menyokong strategi pembangunan yang mampan dan berdaya tahan.
Dalam perancangan bandar moden, zon penampan memungkinkan integrasi sistem pengurusan risiko bencana secara komprehensif seperti laluan evakuasi pintar, kemudahan tindak balas kecemasan dan pemasangan penderia pemantauan yang disambungkan kepada pusat kawalan bersepadu. Zon ini juga menyediakan ruang selamat untuk kerja menaik taraf atau penyelenggaraan infrastruktur kritikal seperti paip gas, kabel voltan tinggi dan saluran pembetungan tanpa mengganggu operasi atau keselamatan kawasan berpenduduk.
Cabaran dan Penyelesaian dalam Pelaksanaan Zon Penampan di Malaysia
Pelaksanaan zon penampan di kawasan bandar yang padat seperti di Lembah Klang sering berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antaranya termasuklah kekangan ketersediaan tanah, konflik penggunaan tanah dan kekeliruan dalam pematuhan keperluan teknikal yang ditetapkan oleh pelbagai agensi berkaitan dengannya. Tambahan pula, tahap kesedaran awam dan penguatkuasaan terhadap kepentingan zon penampan masih berada pada tahap yang rendah, lau menyebabkan banyak kawasan berisiko tinggi dibangunkan tanpa lapisan perlindungan yang mencukupi.
Bagi menangani cabaran ini, pendekatan teknologi pintar perlu diintegrasikan secara strategik. Antara kaedahnya termasuklah penggunaan pemodelan risiko berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS), sistem pemantauan tekanan paip secara masa nyata serta bahan binaan adaptif yang sesuai dengan keperluan keselamatan. Pendekatan teknologi ini perlu digabungkan dengan dasar perancangan yang lebih proaktif dan penyelarasan antara agensi yang berkesan.
Dalam konteks Malaysia, pembentukan zon penampan seharusnya berfungsi sebagai pelindung fizikal dan menjadi elemen penting dalam membangunkan daya tahan bandar yang mampan dan selamat untuk generasi akan datang. Usaha ini semestinya memerlukan kerangka perundangan yang jelas, garis panduan teknikal yang komprehensif serta komitmen jangka panjang daripada semua pihak yang berkepentingan.
Kesimpulannya, zon penampan merupakan komponen penting dalam sistem kejuruteraan dan keselamatan yang menyeluruh. Dalam era pembangunan yang semakin pesat dan menghadapi cabaran perubahan iklim serta peningkatan risiko bencana, zon penampan perlu diiktiraf sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan mampan. Melalui perancangan dan pelaksanaan yang teliti, zon penampan bukan sahaja berpotensi menyelamatkan aset fizikal, malah turut melindungi nyawa manusia dan menjamin kelestarian alam sekitar.
Oleh itu, perancangan dan pelaksanaan zon penampan wajar diberikan perhatian yang teliti dalam konteks pembangunan bandar serta reka bentuk infrastruktur. Pendekatan bersepadu yang melibatkan pakar kejuruteraan, perancang bandar, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat amat diperlukan bagi memastikan keselamatan masyarakat, perlindungan aset strategik dan kelestarian alam sekitar sentiasa terjamin daripada sebarang potensi ancaman atau bencana. Dalam usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju dan mampan, perhatian terhadap aspek teknikal dan keselamatan zon penampan merupakan komponen kritikal yang tidak boleh dipandang ringan.
Dr. Suzielah Rahmad,
Jurutera Perunding Bebas.