Diterbitkan pada 21 April 2025, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kecerdasan buatan atau dikenali sebagai artificial intelligence (AI) merupakan cabang ilmu dalam bidang sains komputer yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia. Istilah ini merujuk keupayaan mesin atau komputer untuk melaksanakan tugas dan fungsi yang menyerupai pemikiran manusia.

AI merangkumi pelbagai teknik canggih, termasuklah pembelajaran mesin, pemprosesan bahasa semula jadi, robotik dan visi komputer. Secara umumnya, teknologi ini dilatih untuk mengenali corak data, membuat ramalan yang tepat serta menyediakan cadangan berdasarkan data yang telah diproses secara sistematik.

Dalam konteks pembangunan sesebuah negeri seperti Perlis, AI mempunyai potensi yang amat besar untuk menjadi pemangkin kepada transformasi dalam pelbagai sektor. Satu daripada aspek utama yang boleh ditingkatkan ialah kecekapan pentadbiran kerajaan negeri. Melalui teknologi AI, pentadbiran negeri dapat meningkatkan pengurusan dan kecekapan perkhidmatannya dengan mengurangkan masa menunggu bagi urusan pentadbiran, menyediakan penyelesaian yang lebih berkesan untuk masalah yang dihadapi rakyat, melaksanakan pengurusan kewangan pintar yang lebih telus serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada penduduk setempat.

Dari sudut pembangunan dan kemampanan ekonomi pula, penggunaan AI melalui penggunaan data raya (big data) dapat membantu kerajaan negeri untuk memahami keperluan ekonomi dengan lebih mendalam dan seterusnya merancang dasar pembangunan yang lebih tepat dan efektif. Pendekatan ini membolehkan perancangan strategik yang lebih bersasar dan berasaskan bukti, lantas menjadikan penggunaan sumber yang terhad lebih cekap dan berkesan.

Dalam sektor pertanian yang menjadi tunjang ekonomi Perlis, khususnya penanaman mangga harum manis yang menjadi identiti negeri tersebut, AI boleh dimanfaatkan untuk membantu petani dan peladang memantau keadaan tanaman, kualiti tanah dan perubahan cuaca secara masa nyata. Teknologi ini juga dapat membantu dalam pengoptimuman penggunaan sumber pertanian seperti air dan baja, seterusnya meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan pembaziran.

Potensi AI dalam memperkasakan sektor pelancongan di Perlis juga tidak boleh dipandang ringan. Teknologi ini boleh digunakan untuk mewujudkan pengalaman pelancongan yang lebih peribadi dengan menyediakan cadangan tempat menarik berdasarkan minat individu pelancong. Pendekatan yang diperibadikan ini berpotensi menarik lebih banyak pelancong dan memperkenalkan keunikan Perlis kepada pasaran global. Di samping itu, teknologi AI juga boleh dimanfaatkan untuk merancang strategi promosi dan pemasaran yang lebih tepat sasaran, seterusnya memaksimumkan pulangan pelaburan dalam sektor pelancongan.

Selain sektor ekonomi, AI turut mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk melalui penggunaannya dalam pelbagai bidang seperti keselamatan awam, pengangkutan dan perkhidmatan sosial yang inklusif. Sebagai contoh, sistem keselamatan berasaskan AI boleh membantu pihak berkuasa untuk memantau kawasan awam dengan lebih berkesan dan menyediakan amaran awal mengenai sebarang aktiviti mencurigakan. Dalam konteks perkhidmatan sosial pula, AI dapat membantu pihak berwajib untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan dengan lebih tepat dan menyediakan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa dalam usaha untuk meningkatkan kebolehdayaan sesebuah negeri seperti Perlis dalam aspek penggunaan AI, pembinaan ekosistem yang holistik dan melibatkan pelbagai sektor adalah amat penting. Ekosistem yang komprehensif ini perlu menyokong pembangunan bakat tempatan, menggalakkan budaya inovasi, mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta mewujudkan infrastruktur digital yang kukuh dan mampan. Di samping itu, pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam bidang AI juga merupakan faktor kritikal yang akan menentukan kejayaan agenda transformasi digital negeri berkenaan.

Pembangunan Bakat dan Pendidikan Melalui Program Latihan dan Kursus

Pembangunan bakat merupakan komponen yang perlu diberikan perhatian serius dalam usaha mewujudkan ekosistem AI yang berdaya saing di Perlis. Aspek ini menjadi tunjang utama bagi membolehkan penduduk negeri memiliki tahap kesedaran, penguasaan, pengetahuan dan minat yang tinggi terhadap teknologi canggih ini. Lebih penting lagi, inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan masyarakat Perlis dalam mendepani lonjakan perkembangan teknologi yang pantas dan semakin kompleks dalam era digital ini.

Oleh itu, program berbentuk latihan dalam bidang AI, pembelajaran mesin, analisis data dan pembangunan perisian perlu diperkenalkan secara sistematik kepada segenap peringkat penduduk. Pendekatan holistik yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat akan memastikan tiada kumpulan yang tercicir daripada arus pemodenan digital ini.

Dalam aspek ini, Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang dipengerusikan oleh Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Kamarudin Husin telah mengorak langkah proaktif dengan memainkan peranan penting dalam mencorakkan pendidikan berkaitan dengan AI dan robotik AI pada peringkat awal. Pusat ini telah berjaya melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam pelbagai program dan inisiatif yang menjurus kepada pembangunan kemahiran digital generasi muda.

Usaha bernas yang dirintis oleh FCoEE ini perlu diteruskan dan diperluaskan dengan pembinaan modul asas yang komprehensif untuk membangunkan bakat pada semua peringkat umur di seluruh Perlis. Selain itu, inisiatif kerjasama strategik dengan platform pembelajaran dalam talian terkemuka seperti Coursera, edX atau Udacity juga boleh dilaksanakan bagi mempercepat proses penyediaan bakat anak tempatan.

Sementara itu, hubungan kerjasama dengan pihak industri juga perlu diperkukuh melalui program penempatan latihan industri yang berstruktur dan peluang penempatan pekerjaan melalui projek kerjasama dalam bidang AI. Pendekatan yang bersepadu antara institusi pendidikan dengan industri ini dapat memastikan bahawa kurikulum dan latihan yang disediakan adalah relevan dan memenuhi keperluan pasaran kerja sebenar, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan.

Penumpuan kepada pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) oada peringkat awal persekolahan juga perlu diberikan penekanan khusus dalam usaha untuk mencipta asas yang kukuh bagi penyediaan bakat AI untuk masa hadapan. Dengan menanam minat dan kecenderungan terhadap bidang ini sejak dari usia muda, Perlis dapat membina saluran bakat yang berterusan untuk memenuhi keperluan ekosistem AI pada masa akan datang.

Program inovatif berkonsepkan STEM seperti C.O.M.E.L Perlis yang diketuai oleh penulis telah membuktikan keberkesanannya dalam menggalakkan minat terhadap bidang teknikal dalam kalangan pelajar. Inisiatif cemerlang ini wajar diketengahkan dan diperluaskan secara menyeluruh di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri. Pendekatan ini bukan sahaja akan menarik minat pelajar terhadap bidang STEM, malah memberikan pendedahan awal yang bermakna tentang konsep asas yang menjadi tonggak kepada pembangunan AI.

Penyelidikan dan Pembangunan dalam Ekosistem AI

Dalam mendepani perkembangan teknologi AI yang semakin pesat dan dinamik, penyelidikan dan pembangunan perlu diberikan penekanan yang sewajarnya dalam pembinaan ekosistem AI yang komprehensif. Walaupun terletak di hujung utara tanah air, Perlis memiliki kelebihan strategik dari segi kewujudan beberapa institusi pengajian tinggi yang berpotensi menjadi pemangkin dalam agenda ini.

Perlis dianugerahkan dengan kehadiran beberapa institusi pengajian tinggi yang disegani seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS). Selain itu, kedudukan geografinya yang bersempadan dengan Thailand membolehkan kerjasama akademik dan penyelidikan dijalinkan dengan institusi pengajian tinggi di selatan Thailand seperti Prince of Songkhla University, Thaksin University, Hatyai University dan Rajamangala University of Technology Srivijaya. Kepelbagaian institusi ini merupakan aset intelektual yang bernilai dan boleh dimanfaatkan sepenuhnya dalam merancakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam bidang AI.

Kewujudan institusi pengajian tinggi tersebut juga membuka ruang untuk satu rangkaian kerjasama strategik yang erat dan berkesan dengan Kerajaan Negeri Perlis. Hubungan sinergi ini berpotensi untuk menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dan menghasilkan inovasi yang dapat digunakan secara langsung dalam penyelesaian masalah tempatan dan pembangunan sosioekonomi negeri.

Bagi memaksimumkan impak kerjasama ini, institusi pengajian tinggi tersebut boleh mewujudkan satu konsortium kecemerlangan dalam bidang AI. Konsortium ini akan membantu kerajaan negeri dalam membuat penyelidikan yang relevan dengan perkembangan teknologi terkini, mewujudkan makmal penyelidikan dan pengujian AI serta menyediakan sumber untuk menjalankan eksperimen dalam pelbagai bidang seperti pembelajaran mesin, robotik, visi komputer dan pemprosesan bahasa semula jadi.

Kerjasama antara Sektor Awam dengan Swasta

Pembangunan ekosistem AI yang mampan di Perlis memerlukan kerjasama strategik dan berterusan antara sektor awam dengan swasta. Pendekatan kolaboratif ini merupakan tunjang penting dalam mempercepat perkembangan teknologi AI dan memastikan penggunaannya memberikan manfaat yang optimum kepada pembangunan sosioekonomi negeri.

Beberapa asas kerjasama antara sektor awam dengan swasta yang boleh diketengahkan termasuklah pelaksanaan dasar kerajaan yang proaktif dan menyokong perkembangan teknologi AI. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Perlis boleh memainkan peranan sebagai pemangkin dengan menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkan pelaburan dalam bidang teknologi maju ini. Antara insentif tersebut termasuklah pengecualian atau pengurangan cukai untuk tempoh tertentu, penyediaan subsidi bagi projek inovatif berkaitan dengan AI serta pemberian geran penyelidikan untuk syarikat dan penyelidik yang melabur masa dan sumber dalam membangunkan teknologi AI yang relevan dengan keperluan tempatan.

Selain itu, dasar kerajaan negeri juga boleh meliputi usaha mengurangkan halangan perundangan dan birokrasi yang mungkin mengekang penggunaan teknologi baharu. Langkah ini penting untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi inovasi dan penggunaan teknologi AI dalam pelbagai sektor.

Sokongan khusus untuk syarikat pemula (startup) dalam bidang AI juga merupakan komponen penting dalam strategi kerjasama antara sektor awam dengan swasta. Kerajaan negeri boleh memberikan akses kepada pelbagai bentuk pembiayaan untuk syarikat pemula AI, sama ada melalui dana modal teroka (venture capital) yang disokong oleh kerajaan, skim pembiayaan mikro atau melalui program pemadanan dana, yakni kerajaan memadankan jumlah pelaburan yang diterima daripada pelabur swasta. Usaha menyokong syarikat pemula ini juga perlu dilengkapi dengan penciptaan persekitaran yang mesra perniagaan yang membolehkan syarikat baharu dalam bidang AI diberikan peluang untuk berkembang dan memperkukuh kedudukan mereka dalam pasaran.

Infrastruktur Digital

Infrastruktur digital yang mantap dan mampan merupakan komponen asas yang amat kritikal dalam mewujudkan dan menyokong pertumbuhan ekosistem AI di Perlis. Tanpa prasarana digital yang memadai, usaha untuk memajukan penggunaan AI tidak akan dapat direalisasikan secara optimum, sekaligus menjejaskan potensi pembangunan teknologi ini dalam pelbagai sektor.

Satu daripada elemen penting dalam pembangunan infrastruktur digital ialah pembinaan rangkaian Internet berkelajuan tinggi. Rangkaian ini merupakan “tulang belakang” yang diperlukan untuk menyokong pelbagai aspek teknologi maju seperti infrastruktur pengkomputeran awan, pemprosesan data raya dan penggunaan AI. Kesemua teknologi tersebut memerlukan sambungan Internet yang bukan sahaja stabil dan boleh dipercayai, tetapi juga mempunyai kelajuan tinggi dengan kelewatan minimum.

Selain itu, sudah tiba masanya untuk Kerajaan Negeri Perlis mempertimbangkan pewujudan pusat data dan infrastruktur pengkomputeran awan. Pelaburan strategik dalam menyediakan fasiliti pusat data yang berkesan dan moden akan membolehkan penyimpanan dan pemprosesan data tempatan dilakukan dengan lebih cekap dan selamat.

Pusat data ini boleh direka bentuk mengikut piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, kecekapan tenaga dan ketahanan terhadap bencana alam. Pada masa yang sama, penggunaan pengkomputeran awan perlu digalakkan dalam kalangan agensi kerajaan dan syarikat tempatan kerana pendekatan ini membolehkan penggunaan AI dijalankan pada skala besar tanpa perlu melabur dalam infrastruktur pengkomputeran fizikal yang mahal.

Selari dengan itu, penubuhan ruang inkubator dan makmal inovasi khusus untuk AI merupakan langkah strategik yang boleh dilaksanakan. Ruang ini akan berfungsi sebagai hab bagi syarikat pemula dan usahawan tempatan yang berpeluang untuk menguji idea dan teknologi baharu dalam bidang AI dalam persekitaran yang kondusif.

Pelibatan Komuniti dan Kesedaran Teknologi

Pelibatan masyarakat dan kesedaran teknologi merupakan elemen penting dalam pembangunan ekosistem AI yang holistik di Perlis. Aspek ini tidak boleh diketepikan memandangkan masyarakat adalah pengguna utama dan penerima manfaat langsung daripada teknologi baharu yang diwujudkan. Oleh itu, masyarakat perlu dilibatkan secara aktif dan berterusan dalam setiap fasa pembangunan ekosistem ini bagi membolehkan mereka memperoleh kesedaran yang mendalam tentang teknologi AI dan mengelakkan jurang digital yang boleh menyebabkan sebahagian masyarakat ketinggalan dalam arus kemajuan.

Antara inisiatif strategik yang boleh dilaksanakan termasuklah pelancaran kempen kesedaran AI yang komprehensif dan disasarkan kepada setiap peringkat umur. Kempen ini perlu direka bentuk dengan pendekatan yang berbeza mengikut kumpulan sasaran, yakni daripada kanak-kanak sekolah sehinggalah kepada warga emas. Objektif utama kempen ini adalah untuk mewujudkan kesedaran meluas dalam kalangan masyarakat umum tentang manfaat dan potensi AI dalam meningkatkan kualiti hidup mereka.

Program pendidikan tidak formal yang terstruktur juga perlu dianjurkan untuk semua peringkat masyarakat. Program ini akan membantu masyarakat memahami secara praktikal kaedah atau cara penggunaan AI buatan dapat diintegrasikan dalam kehidupan seharian dan meningkatkan kecekapan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Selain itu, penerapan konsep inklusiviti dalam teknologi merupakan aspek asas yang perlu diberikan penekanan. Pendekatan ini melibatkan usaha proaktif untuk menggalakkan penyertaan golongan muda, wanita, orang kurang upaya dan komuniti yang kurang mendapat peluang untuk terlibat secara aktif dalam bidang AI.

Penggunaan AI dalam Sektor Awam

Penggunaan AI dalam sektor awam merupakan komponen penting dalam agenda transformasi digital di Perlis. Usaha berterusan kerajaan negeri dalam menggalakkan integrasi AI ke dalam perkhidmatan kerajaan perlu dipergiatkan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. Pendekatan ini merangkumi penggunaan AI dalam pelbagai bidang strategik seperti sistem e-kerajaan yang bersepadu, perkhidmatan penjagaan kesihatan awam yang lebih responsif dan pengurusan bandar pintar yang optimum.

Selain itu, inisiatif untuk menggalakkan agensi kerajaan negeri mengambil pendekatan pembuatan keputusan berdasarkan data (data-driven decision making) perlu dipertingkatkan. Melalui pendekatan ini, agensi kerajaan digalakkan untuk menganalisis data raya yang terkumpul dalam sistem dengan menggunakan algoritma AI untuk mendapatkan pandangan yang lebih mendalam dan komprehensif. Analisis prediktif yang dipacu oleh AI boleh membantu dalam meramalkan trend masa hadapan, mengenal pasti risiko dan merancang langkah pencegahan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Pelaksanaan strategi jangka panjang yang terancang dan sistematik akan membolehkan Perlis untuk berkembang sebagai sebuah negeri yang mempunyai keupayaan ekosistem AI yang inovatif dan berdaya saing. Ekosistem yang mantap ini akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan negeri secara menyeluruh dan meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat melalui perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berpusatkan rakyat.

Secara keseluruhannya, usaha transformasi digital melalui pengintegrasian AI dalam sektor awam di Perlis dapat direalisasikan melalui kerjasama kukuh dan sinergi antara pelbagai pihak berkepentingan, termasuklah sektor awam, swasta, universiti dan komuniti setempat. Pendekatan ini akan memastikan pembangunan ekosistem AI yang mampan, inklusif dan memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat, sekali gus menjadikan Perlis sebagai model kejayaan dalam penggunaan AI untuk pembangunan negeri di Malaysia.

Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ialah mantan Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi