Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKes pembunuhan Zayn Ryan, seorang kanak-kanak istimewa pada penghujung 2023 telah mengejutkan Malaysia dan memberikan kesan yang mendalam kepada seluruh negara. Yang lebih mengejutkan ialah fakta bahawa suspek utama dalam kes tragis ini adalah ibu kandungnya sendiri.
Kejadian ini juga mencetuskan pelbagai persoalan tentang hubungan antara kesihatan mental ibu dengan tindakan ekstrem yang diambil oleh individu yang terperangkap dalam keadaan tertekan. Persoalan lain yang berkaitan dengannya termasuklah bebanan emosi dan psikologi yang ditanggung oleh ibu yang mempunyai anak istimewa benar-benar mampu mendorong seseorang itu untuk melakukan perkara yang tidak tergambar oleh akal yang sihat.
Cabaran Kesihatan Mental Ibu
Ibu yang membesarkan anak istimewa berhadapan dengan pelbagai cabaran luar biasa. Hal ini bukan sekadar melibatkan penjagaan fizikal, malah memberikan kesan yang mendalam kepada keadaan mental dan emosi mereka. Selain menuntut keperluan tenaga, anak berkeperluan khas juga mampu mencabar ketahanan mental ibu bapa mereka dari semasa ke semasa.
Beban ini didapati semakin bertambah berat apabila ibu bapa berasa terasing, tertekan dan kurang mendapat sokongan yang diperlukan daripada persekitaran sosial mahupun sistem yang sedia ada. Ibu bapa, terutamanya ibu kerap menjadi individu utama yang menguruskan segala keperluan anak mereka. Situasi ini menyebabkan mereka mempunyai ruang yang amat terhad untuk diri sendiri, lantas memberikan impak yang negatif terhadap kesejahteraan psikologi secara keseluruhan.
Ketidakstabilan emosi yang dihadapi oleh ibu dalam keadaan sedemikian sering tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada masyarakat. Keadaan ini boleh mengundang risiko terhadap kemunculan gangguan mental seperti kemurungan, kebimbangan atau dalam kes yang ekstrem, boleh mendorong kepada tindakan luar jangka yang serius dan membimbangkan.
Oleh itu, amat penting untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai kesihatan mental ibu yang menjaga anak istimewa. Pengabaian isu ini menjadi risiko yang besar terhadap kesejahteraan ibu serta keselamatan keluarga secara menyeluruh. Persoalan ini juga adalah melebihi skop individu dan melibatkan peranan masyarakat serta kecekapan sistem sokongan dalam menangani cabaran kompleks yang dihadapi oleh ibu bapa anak istimewa.
Beban Emosi dan Psikologi
Menguruskan anak istimewa memerlukan perhatian yang sangat tinggi. Anak yang mengalami masalah perkembangan seperti autisme, sindrom Down atau gangguan kecelaruan intelektual sering kali memerlukan terapi, rawatan perubatan dan penjagaan khas yang berterusan.
Dalam hal ini, ibu sebagai penjaga utama, sering mengambil tanggungjawab menguruskan keperluan harian anak ini secara mendalam. Tanggungjawab berat ini berpotensi mengakibatkan tekanan mental yang ketara kepada ibu.
Perasaan tertekan, keresahan dan keletihan kronik kerap dialami boleh berkembang menjadi gangguan emosi yang lebih serius. Dapatan kajian menunjukkan bahwa ibu yang menjaga anak istimewa mengalami tahap tekanan lebih tinggi seperti mempunyai perasaan terpinggir, ketidakberdayaan dan kehilangan kawalan terhadap kehidupan mereka sendiri berbanding dengan ibu yang tidak mempunyai anak berkeperluan khas.
Tekanan Sosial dan Stigma
Stigma sosial merupakan antara faktor yang memberikan impak terhadap kesihatan mental ibu yang membesarkan anak istimewa. Dalam konteks ini, masyarakat sering gagal memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh penjaga anak berkeperluan khas. Stigma ini menyebabkan ibu mengalami perasaan malu, terpinggir dan kurang dihargai dalam konteks sosial mereka.
Ekspektasi budaya yang menetapkan bahawa ibu seharusnya cekap dan serba boleh dalam menguruskan rumah tangga, pekerjaan dan anak-anak menambahkan tekanan kepada mereka. Keadaan ini mencipta beban yang berganda bagi ibu yang sudah bergelut dengan cabaran anak istimewa.
Selain itu, kekurangan sokongan sosial daripada rakan, keluarga atau persekitaran masyarakat yang tidak memahami situasi mereka mewujudkan perasaan kesunyian dalam perjuangan mereka. Ketiadaan rangkaian sokongan yang mencukupi ini seterusnya memperdalam tekanan psikologi yang dialami oleh ibu.
Implikasi Kewangan
Pembiayaan keperluan bagi anak istimewa melibatkan kos yang jauh lebih tinggi. Perbelanjaan ini merangkumi rawatan perubatan khusus, sesi terapi pelbagai jenis, perkhidmatan penjagaan khas dan peralatan bantuan yang sesuai dengan keperluan masing-masing. Beban kewangan yang signifikan ini seterusnya menambah lapisan tekanan baharu kepada ibu bapa, terutamanya bagi keluarga yang mempunyai sumber kewangan yang terhad.
Selain implikasi kewangan, struktur kehidupan harian ibu turut mengalami gangguan yang mendalam. Keperluan untuk memberikan perhatian yang lebih intensif dan berterusan kepada anak berkeperluan khas berisiko menyebabkan perubahan drastik dalam rutin harian. Kesannya juga melangkaui aspek pekerjaan dengan pengurangan peluang kerjaya dan pendapatan di samping mengecilkan ruang sosial yang amat diperlukan untuk kesejahteraan psikologi mereka.
Tanda Gangguan Kesihatan Mental dalam Kalangan Ibu
Pengenalpastian awal tanda gangguan kesihatan mental dalam kalangan ibu yang membesarkan anak istimewa adalah penting untuk intervensi yang berkesan. Manifestasi gejala psikologi yang perlu diberikan perhatian yang serius adalah seperti berikut:
Pendekatan untuk Meningkatkan Kesejahteraan Mental Ibu
Peningkatan kesejahteraan mental ibu yang membesarkan anak istimewa memerlukan pendekatan yang komprehensif dan holistik. Beberapa strategi intervensi yang berkesan adalah merangkumi:
Kesimpulannya, kesihatan mental ibu yang membesarkan anak istimewa merupakan isu kritikal yang memerlukan perhatian mendalam daripada semua pihak berkepentingan dalam masyarakat. Kombinasi antara beban emosi, tekanan sosial, cabaran kewangan dan gangguan kehidupan harian sedikit sebanyak akan mempengaruhi kesejahteraan psikologi golongan ibu ini serta berpotensi memberikan implikasi yang serius jika tidak ditangani dengan sewajarnya.
Penyediaan rangkaian sokongan komprehensif yang merangkumi dimensi emosi, sosial dan kewangan menjadi langkah kritikal dalam menangani isu ini. Pemerkasaan ibu melalui sokongan yang bersesuaian akan mempertingkat kesejahteraan psikologi mereka, di samping melindungi anak istimewa supaya kekal berada dalam persekitaran tumbesaran yang sihat, selamat dan penuh kasih sayang.
Usaha menangani masalah kesihatan mental ibu yang membesarkan anak istimewa juga melangkaui skop tanggungjawab individu. Usaha ini merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan pelibatan aktif daripada pelbagai pihak seperti keluarga, masyarakat sekeliling, institusi pendidikan, sistem penjagaan kesihatan dan penggubal dasar dalam membentuk sistem sokongan berkesan serta mampan.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan bidang Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.