Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMatematik bukanlah sekadar angka dan formula yang tertulis di atas kertas. Sebaliknya, disiplin ini merupakan asas kepada corak dan struktur yang membentuk dunia di sekeliling manusia.
Keunikan alam semula jadi sering kali dianggap sebagai fenomena yang berlaku secara kebetulan. Walau bagaimanapun, apabila diperhatikan dengan lebih teliti, terdapat pola tersembunyi yang menentukan cara sesuatu unsur berkembang dan tersusun dengan sendirinya.
Daripada susunan kelopak bunga hinggalah kepada lingkaran galaksi, terdapat satu corak matematik yang kerap berulang dalam alam semesta. Fenomena ini tidak hanya terhad pada dunia tumbuhan dan haiwan, malah turut dapat diperhatikan dalam pelbagai bidang seperti seni, seni bina dan juga teknologi moden. Pola atau corak matematik yang menakjubkan ini dikenali sebagai urutan Fibonacci.
Urutan Fibonacci
Urutan Fibonacci merujuk satu siri nombor yang diperoleh dengan menjumlahkan dua nombor sebelumnya. Urutan ini bermula dengan 0 dan 1, diikuti oleh 1, 2, 3, 5, 8, 13, 21, 34 dan seterusnya.
Fenomena matematik yang menarik ini terletak pada nisbah antara dua nombor berturut-turut dalam urutan tersebut. Apabila nombor yang lebih besar dibahagikan dengan nombor sebelumnya seperti 34 dibahagi dengan 21 atau 144 dibahagi dengan 89, hasilnya semakin menghampiri nilai 1.618. Nilai ini dikenali sebagai nisbah emas atau golden ratio dan sering dikaitkan dengan keseimbangan dan kecantikan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Sejarah urutan ini bermula dengan sumbangan Leonardo Fibonacci, seorang ahli matematik terkenal dari Itali pada abad ke-13 melalui bukunya yang bertajuk Liber Abaci. Pada asalnya, Fibonacci menggunakan konsep ini untuk mengira kadar pertumbuhan populasi arnab dalam persekitaran terkawal. Beliau membentangkan satu permasalahan matematik yang menarik, iaitu jika sepasang arnab memerlukan sebulan untuk mencapai kematangan sebelum mula melahirkan sepasang anak dan anak-anak yang lahir juga akan membiak mengikut kadar yang sama setelah matang, maka jumlah arnab tersebut akan bertambah mengikut urutan Fibonacci.
Walaupun situasi yang dibentangkan oleh Fibonacci adalah secara teori, namun idea tersebut menunjukkan satu prinsip penting tentang cara matematik boleh digunakan sebagai alat untuk meramalkan pertumbuhan populasi dalam ekosistem semula jadi. Hubungan antara urutan Fibonacci dengan fenomena pertumbuhan dalam alam semula jadi ini telah menjadi asas kepada pelbagai penemuan saintifik yang penting dalam bidang biologi, astronomi dan fizik moden.

Urutan Fibonacci dalam Alam Flora
Dalam dunia tumbuhan, urutan Fibonacci muncul dalam susunan daun pada batang pokok, formasi biji bunga matahari dan sisik kon pain. Fenomena ini dikenali sebagai phyllotaxis, iaitu aturan semula jadi bagi pertumbuhan daun dan bunga untuk mengoptimumkan pendedahan kepada cahaya matahari.
Jika diperhatikan dengan lebih dekat, biji bunga matahari tersusun dalam pola spiral yang mengikuti urutan Fibonacci yang membolehkan setiap biji menerima cahaya matahari dan nutrien secara optimum. Perkara yang sama juga berlaku pada pokok pain yang menyusun sisik konnya dalam urutan Fibonacci bagi memastikan pengagihan benih yang lebih teratur.
Selain itu, kebanyakan bunga mempunyai jumlah kelopak yang bersamaan dengan nombor dalam urutan Fibonacci. Sebagai contoh, bunga teratai yang mempunyai lima kelopak atau bunga daisi yang mempunyai 34, 55 atau 89 kelopak. Buah nenas juga turut menunjukkan corak yang sama, yakni sisiknya tersusun dalam tiga siri lingkaran yang melibatkan nombor Fibonacci hasil daripada struktur heksagon semula jadinya.

Urutan Fibonacci dalam Dunia Haiwan dan Manusia
Selain tumbuhan, corak Fibonacci juga dapat diperhatikan dengan jelas dalam dunia haiwan. Satu contoh yang paling ketara ialah cangkerang siput yang membesar dalam bentuk spiral Fibonacci.
Pola spiral logaritma ini membolehkan siput mengekalkan bentuk asalnya tanpa mengubah struktur keseluruhannya semasa proses tumbesaran. Pertumbuhan sebegini adalah sangat berkesan dari segi penggunaan ruang dan juga kekuatan struktur.
Tanduk kambing turut menunjukkan persamaan dengan urutan Fibonacci, yakni cara pertumbuhannya mengikuti corak spiral yang sama. Fenomena ini membolehkan tanduk itu mengekalkan keseimbangan semasa haiwan tersebut membesar, sekali gus memastikan haiwan tersebut tidak terbeban dengan berat tanduknya sendiri.
Yang lebih menakjubkan ialah perkadaran tubuh manusia juga berkaitan rapat dengan nisbah emas. Sebagai contoh, nisbah panjang dari bahu ke siku dan dari siku ke hujung jari hampir menyamai nilai 1.618. Penemuan ini telah digunakan dalam pelbagai bidang seperti seni dan perubatan untuk memahami keseimbangan dan keharmonian pada struktur anatomi manusia.
Struktur telinga manusia juga mematuhi nisbah emas, iaitu panjang gelung telinga dan keseluruhan struktur telinga menunjukkan perkadaran Fibonacci. Penemuan ini bukan sahaja penting dari segi estetika, malah dari segi fungsi pendengaran. Dalam kajian berkaitan dengan bunyi dan gelombang, nisbah ini turut didapati berperanan dalam keupayaan telinga manusia untuk menangkap bunyi dalam pelbagai frekuensi secara lebih efisien.

Urutan Fibonacci dalam Seni dan Seni Bina
Keunikan corak Fibonacci bukan hanya terhad kepada alam semula jadi, malah juga telah dimanfaatkan secara meluas dalam bidang seni dan seni bina sejak zaman silam. Penggunaan nisbah emas sebagai prinsip estetik telah berkembang menjadi satu daripada kaedah utama dalam penciptaan karya yang memiliki keseimbangan dan daya tarikan visual yang tinggi.
Pelukis Barat yang terkenal pada era Renaissance seperti Leonardo da Vinci telah menerapkan nisbah emas dalam karya agungnya seperti Vitruvian Man dan Mona Lisa. Komposisi wajah Mona Lisa yang dipercayai mematuhi nisbah emas telah menjadikannya lebih harmoni secara visual dan mampu menarik perhatian pemerhati. Penggunaan prinsip matematik ini dalam seni lukis bukanlah sekadar kebetulan, sebaliknya merupakan penerapan sedar akan hubungan antara matematik dengan keindahan yang dapat dirasakan oleh manusia.
Dalam bidang seni bina pula, banyak bangunan bersejarah telah dibina berdasarkan nisbah emas bagi mencapai keseimbangan dan keindahan visual yang sempurna. Piramid Giza di Mesir yang telah wujud selama lebih daripada 4500 tahun lalu menunjukkan bukti penggunaan nisbah emas dalam reka bentuknya. Begitu juga dengan Parthenon di Greece, sebuah monumen agung yang dibina pada abad kelima sebelum Masihi yang merupakan antara contoh terbaik kaedah nisbah emas telah diterapkan dalam reka bentuk seni bina sejak ribuan tahun dahulu.

Urutan Fibonacci dan Nisbah Emas dalam Dunia Moden
Pada zaman moden ini, konsep nisbah emas terus digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam teknologi dan reka bentuk grafik. Banyak jenama terkenal seperti Apple, Twitter dan Pepsi telah menggunakan nisbah emas dalam pembentukan logo mereka untuk menghasilkan identiti visual yang lebih seimbang dan menarik perhatian. Penggunaan prinsip matematik ini juga merupakan strategi pemasaran yang bijak kerana logo yang mematuhi nisbah emas didapati lebih mudah diingati dan dikenali.
Dalam reka bentuk laman web dan aplikasi digital, nisbah emas turut diambil kira untuk mencipta susun atur yang lebih mesra pengguna dan intuitif. Pereka digital menggunakan nisbah ini untuk menentukan saiz elemen, ruang kosong dan hierarki visual yang optimum dan seterusnya meningkatkan pengalaman pengguna. Pendekatan ini telah terbukti berkesan dalam meningkatkan kadar pelibatan pengguna dan tempoh masa yang dihabiskan pada platform digital.
Selain itu, dalam bidang kejuruteraan dan sains komputer, urutan Fibonacci sering digunakan dalam pemprosesan isyarat, kecerdasan buatan dan analisis data untuk mengoptimumkan penyusunan maklumat. Algoritma berasaskan urutan Fibonacci telah membantu dalam penyelesaian masalah yang kompleks dalam dunia digital. Hal ini menunjukkan bahawa konsep matematik yang telah wujud sejak ratusan tahun dahulu masih kekal relevan dalam kehidupan moden kita pada hari ini.
Secara keseluruhannya, matematik merupakan asas kepada keseimbangan dan keindahan dalam alam semula jadi, seni, seni bina dan teknologi moden. Urutan Fibonacci membuktikan bahawa prinsip matematik memainkan peranan yang penting dalam pembentukan dunia kita.
Keindahan bunga, cangkerang siput dan bangunan bersejarah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan. Sebaliknya, fenomena ini mempunyai elemen pola matematik yang tersembunyi yang telah ditentukan oleh hukum alam.
Matematik sangat berkait rapat dengan kehidupan dan persekitaran manusia. Setiap ciptaan Tuhan mengandungi elemen matematik yang wajar dihargai oleh manusia. Keunikan ciptaan tersebut juga membentuk sumber pembelajaran matematik yang menarik dan bersifat kontekstual. Sekiranya elemen matematik dalam kehidupan ini diperkenalkan dalam kurikulum matematik di sekolah, bidang ini dapat membantu dalam meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran ini. Murid juga akan menyedari bahawa matematik wujud di mana-mana dalam kehidupan seharian mereka.
Pada masa yang sama, persepsi bahawa matematik itu sukar dan terpisah dari kehidupan dapat dibetulkan melalui pendekatan pembelajaran yang mengaitkan prinsip matematik dengan fenomena alam sekeliling. Oleh hal yang demikian, setiap ciptaan dalam alam manusia pasti mempunyai rahsia matematik yang wajar dikongsikan sebagai wadah ilmu matematik untuk manfaat semua.
Syed Azman Syed Ismail
Pelajar pascasiswazah,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Profesor Madya Dr. Siti Mistima Maat
Pensyarah,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.