Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSistem respirasi dan pencernaan mempunyai hubungan yang saling berkait rapat. Proses pencernaan bermula di rongga mulut apabila enzim dalam air liur memulakan pemecahan zarah makanan sebelum diteruskan ke perut untuk diproses dengan lebih lanjut menjadi partikel yang lebih kecil. Seterusnya, makanan yang telah dihaluskan akan dialirkan ke usus kecil untuk proses penyerapan nutrien yang lebih intensif.
Menurut Pakar Perunding Am dan Pakar Bedah Kolorektal dari Columbia Asia Hospital Bukit Jalil, Dr. Ruhi Fadzlyana Jailani, “Di dalam usus kecil, zat makanan diserap ke dalam salur darah, manakala serat yang tidak dapat dihadam akan terus bergerak ke usus besar dan akhirnya dibuang sebagai najis.”
Beliau turut menekankan bahawa sebarang gangguan pada mana-mana peringkat proses pencernaan boleh menyebabkan ketidakseimbangan bakteria di dalam usus dan rongga mulut yang seterusnya menghasilkan nafas berbau atau halitosis.

Hubungan antara Halitosis dengan Gangguan Pencernaan
Halitosis boleh menjadi petunjuk kepada masalah pencernaan yang tersembunyi. Sistem pencernaan yang tidak berfungsi dengan sempurna boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti refluks asid, sembelit atau pertumbuhan bakteria berlebihan di dalam usus yang kesemuanya berpotensi menyumbang kepada masalah nafas berbau.
Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan bahawa halitosis mungkin berkait dengan masalah pencernaan. Antaranya termasuklah bau nafas yang kurang menyenangkan dengan berterusan walaupun amalan kebersihan mulut dipatuhi dengan baik, gejala tambahan seperti perut kembung atau ketidakselesaan abdomen serta sejarah masalah pencernaan seperti sembelit, cirit-birit atau corak pembuangan yang tidak konsisten.
Masalah Pencernaan yang Berkaitan dengan Halitosis
Dr. Ruhi Fadzlyana Jailani menjelaskan bahawa terdapat beberapa masalah pencernaan yang lazimnya dikaitkan dengan halitosis. Antaranya termasuklah:
“Sekiranya anda mengesyaki bahawa halitosis yang dialami berkait dengan masalah pencernaan, adalah penting untuk merujuk pakar penjagaan kesihatan. Mereka dapat menilai gejala anda dengan teliti, melaksanakan ujian diagnostik yang bersesuaian jika perlu dan mencadangkan rawatan yang optimum,” tegas Dr. Ruhi Fadzlyana Jailani.
Faktor yang Mempengaruhi Pencernaan dan Halitosis
Penyahhidratan merupakan satu daripada faktor yang boleh mengganggu proses pencernaan dengan mengurangkan penghasilan air liur, menyebabkan xerostomia (mulut kering) dan seterusnya menggalakkan pembiakan bakteria yang menghasilkan bau. Dalam keadaan penghidratan yang mencukupi, air liur berfungsi sebagai agen pembersihan semula jadi yang membantu menghilangkan bakteria dan sisa makanan daripada rongga mulut, sekali gus mencegah pengumpulan sebatian yang menyebabkan bau.
Dr. Ruhi Fadzlyana Jailani menjelaskan, “Apabila badan mengalami penyahhidratan dan penghasilan air liur berkurangan, bakteria akan berkembang biak dengan lebih pesat pada permukaan lidah, gusi dan gigi. Bakteria ini menguraikan zarah makanan dan membebaskan sebatian sulfur meruap (VSC) seperti hidrogen sulfida dan metil merkaptan yang menghasilkan nafas berbau.“
Selain itu, tabiat merokok juga mempunyai implikasi negatif terhadap sistem pencernaan. “Merokok boleh melemahkan sfinkter esofagus bawah yang seterusnya meningkatkan risiko refluks asid selain mengurangkan penghasilan air liur yang sering kali menyumbang kepada masalah halitosis,” tambah beliau.
Dr. Ruhi Fadzlyana Jailani turut menekankan bahawa tabiat pemakanan tertentu seperti pengambilan makanan manis atau diproses secara berlebihan boleh mengganggu keseimbangan flora usus dan menyumbang kepada halitosis. Di samping itu, pengambilan makanan yang diketahui boleh menyebabkan gas atau kembung perut seperti produk tenusu, kafein dan minuman berkarbonat juga boleh memburukkan lagi masalah pencernaan dan halitosis.
Cara untuk Memperbaik Sistem Pencernaan dan Mengatasi Halitosis
Sistem pencernaan yang sihat memainkan peranan penting dalam mengekalkan nafas yang segar. Berikut dikemukakan lima pendekatan berkesan untuk memperbaik fungsi pencernaan dan mengatasi masalah nafas berbau:
1. Mengamalkan pemakanan yang seimbang
Pengambilan diet yang seimbang dan kaya dengan serat, buah-buahan dan sayur-sayuran amat penting. Serat memainkan peranan utama dalam melancarkan proses pencernaan dan menggalakkan pola pembuangan yang teratur dan konsisten. Sementara itu, vitamin dan mineral yang terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran menyumbang kepada kesihatan sistem pencernaan secara menyeluruh dan menyokong fungsi fisiologi yang optimum.
2. Memastikan tahap penghidratan yang mencukupi
Pengambilan air yang mencukupi sepanjang hari merupakan strategi penting untuk mengekalkan sistem pencernaan yang sihat. Tahap penghidratan yang optimum menyokong penghasilan air liur yang berperanan penting dalam mengekalkan kesihatan oral dan memudahkan proses pencernaan awal. Air liur yang mencukupi juga membantu membersihkan rongga mulut dan mengurangkan pembiakan bakteria yang boleh menyebabkan halitosis.
3. Mengamalkan kebersihan oral yang sempurna
Rutin kebersihan oral yang komprehensif harus merangkumi memberus gigi dan lidah dengan teliti dan kerap, menggunakan flos untuk menyingkirkan sisa makanan yang terperangkap di celah gigi serta menggunakan larutan antiseptik mulut yang mengandungi agen antimikrobial untuk mengurangkan populasi bakteria di dalam rongga mulut. Amalan ini akan mengurangkan risiko pembentukan plak gigi dan masalah periodontal yang boleh menyumbang kepada halitosis.
4. Mengurus tekanan dengan berkesan
Tekanan kronik boleh menjejaskan fungsi sistem pencernaan secara signifikan dan menyebabkan ketidakselesaan gastrointestinal serta nafas berbau. Orang ramai dinasihatkan untuk libatkan diri dalam aktiviti yang menggalakkan santaian dan kesejahteraan psikologi seperti melakukan aktiviti luar, meneroka minat dan hobi yang bermanfaat atau memperuntukkan masa untuk berinteraksi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Pendekatan holistik terhadap pengurusan tekanan turut menyumbang kepada kesihatan pencernaan yang lebih baik.
5. Mendapatkan nasihat kepakaran
Merujuk pakar penjagaan kesihatan untuk mendapatkan nasihat peribadi dan cadangan rawatan yang disesuaikan dengan keperluan individu amat digalakkan. Pndekatan proaktif dalam menangani sebarang masalah pencernaan atau kesihatan oral yang berterusan boleh diambil dengan mendapatkan penilaian profesional dan intervensi perubatan pada masa yang sesuai. Diagnosis dan rawatan awal juga dapat mencegah komplikasi lanjut dan meningkatkan keberhasilan terapi.