Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHyperthymesia merupakan suatu fenomena neurologi yang amat unik dan jarang-jarang berlaku dalam kalangan individu di seluruh dunia. Penyelidikan terkini mendapati hanya segelintir individu yang memiliki keupayaan luar biasa ini. Kajian mendalam terhadap fenomena ini masih giat dijalankan kerana para saintis berusaha untuk memahami dengan lebih mendalam tentang kaedah otak manusia memproses dan menyimpan memori.
Individu yang mengalami hyperthymesia menjalani kehidupan seperti individu normal. Namun demikian, perbezaan yang ketara bagi golongan tersebut ialah keupayaan mereka untuk mengingati peristiwa kecil yang berlaku dalam kehidupan pada tahap terperinci berbanding dengan individu yang mempunyai daya ingatan biasa. Keadaan ini juga dikenali sebagai “memori autobiografi yang sangat unggul” atau highly superior autobiographical memory (HSAM).
Apabila diberikan tarikh secara rawak, seseorang yang mempunyai hyperthymesia lazimnya dapat menyatakan dengan tepat perkara yang berlaku pada hari tersebut, aktiviti yang diakukan serta sebarang peristiwa penting yang berlaku pada tarikh berkenaan. Kajian empirikal turut mendedahkan bahawa individu hyperthymesia mampu mengingati dengan jelas perkara yang mereka lakukan pada tarikh tertentu, walaupun peristiwa tersebut berlaku kira-kira sepuluh hari lalu.
Nima Veiseh, seorang individu yang mengalami hyperthymesia menggambarkan pengalamannya kepada majalah Future terbitan British Broadcasting Corporation (BBC) dengan berkata, “Ingatan saya adalah seperti sebuah perpustakaan pita VHS yang membolehkan saya menjelajahi setiap hari dalam kehidupan saya dengan jelas sebaik sahaja saya terjaga daripada tidur”.

Keupayaan dan Keterbatasan Hyperthymesia
Walaupun individu yang menghidap hyperthymesia memiliki keupayaan memori yang luar biasa, perlu difahami bahawa kemampuan tersebut mempunyai batasan tertentu. Pada kebiasaannya, keupayaan mereka tertumpu kepada mengingati peristiwa daripada kehidupan mereka sendiri dengan terperinci, bukannya fakta umum atau peristiwa luaran.
Penghidap hyperthymesia umumnya tidak mampu menjawab persoalan berkaitan dengan peristiwa sejarah yang berlaku sebelum kelahiran mereka atau mengenai kenangan daripada awal kehidupan mereka. Hal ini dikatakan kerana ingatan luar biasa mereka biasanya hanya bermula pada usia awal kanak-kanak atau pada permulaan usia remaja.
Hasil kajian para penyelidik juga mendapati bahawa individu hyperthymesia tidak sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang dalam ujian piawai yang direka untuk mengukur jenis ingatan lain. Contohnya, dalam eksperimen yang memerlukan mereka mengingati pasangan kata yang diberikan sewaktu kajian penyelidikan, prestasi mereka tidak selalunya menonjol. Kelebihan memori mereka khusus dan terhad kepada mengingati peristiwa dalam kehidupan peribadi mereka sahaja.
Gejala dan Ciri Utama
Terdapat beberapa gejala atau ciri utama yang telah dikenal pasti pada individu yang menghidap hyperthymesia. Antaranya termasuklah:
Cabaran dan Kajian Terkini
Memandangkan bilangan individu yang mengalami hyperthymesia adalah terhad, para penyelidik menghadapi cabaran besar dalam menjalankan kajian menyeluruh mengenai keadaan ini. Kekurangan subjek kajian yang mencukupi merupakan faktor utama yang menyukarkan penyelidikan tentang fenomena memori luar biasa ini.
Walaupun punca sebenar hyperthymesia masih belum dapat dikenal pasti dengan tepat, beberapa teori telah dikemukakan oleh para saintis. Kajian terkini mencadangkan beberapa kemungkinan penyebab seperti faktor biologi, genetik atau psikologi yang mungkin memainkan peranan dalam perkembangan keadaan ini.
Memandangkan hyperthymesia sering dianggap sebagai suatu kelebihan yang sangat jarang-jarang berlaku, sehingga kini tiada kaedah formal yang telah dibangunkan untuk mendiagnosis keadaan ini secara konklusif. Namun demikian, beberapa kajian telah mendapati bahawa individu dengan keadaan hyperthymesia menunjukkan aktiviti otak yang tidak seimbang pada bahagian tertentu.
Berdasarkan penemuan tersebut, para doktor kini berpotensi untuk menilai sama ada seseorang mempunyai HSAM atau tidak dengan melakukan pengimejan resonans magnetik (MRI) semasa subjek menjalani ujian memori. Proses penilaian ini termasuklah ujian memori autobiografi yang komprehensif dengan menguji keupayaan seseorang untuk mengingati peristiwa tertentu atau fakta khusus tentang pengalaman kehidupan awal mereka dengan terperinci.
Kelebihan atau Kelemahan pada Memori Manusia?
Hyperthymesia merupakan suatu keadaan yang tidak dapat diperoleh melalui bantuan perubatan atau cara lain. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan keupayaan memori seseorang. Antara langkah tersebut termasuklah dengan mendapatkan tidur yang mencukupi kerana kekurangan rehat boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk mengingati sesuatu dengan berkesan.
Selain itu, seseorang juga perlu sentiasa berada dalam keadaan yang aktif secara fizikal. Kajian menunjukkan bahawa latihan dengan intensiti sederhana boleh meningkatkan memori dan berkemungkinan memberikan kesan yang positif kepada bahagian otak yang berkaitan dengan memori. Pakar mencadangkan agar individu melakukan aktiviti berjalan laju sekurang-kurangnya dua jam setengah pada setiap minggu untuk memperoleh manfaat ini.
Di samping aktiviti fizikal, senaman otak juga tidak kurang pentingnya. Seseorang perlu menajamkan memori melalui pelbagai aktiviti seperti membaca bahan yang mencabar, bermain teka-teki silang kata, bermain permainan kad, mengingati lirik lagu atau bait puisi, bermain alat muzik atau mempelajari bahasa asing baharu. Kesemua aktiviti ini dapat merangsang fungsi kognitif dan meningkatkan keupayaan memori.
Banyak yang tertanya-tanya, “Mengapakah sesetengah manusia mempunyai hyperthymesia?” dan “Adakah hyperthymesia merupakan kelebihan atau sebaliknya yang membahayakan?” Beberapa kajian saintifik juga mencadangkan bahawa kawasan otak tertentu mungkin berbeza pada individu yang mengalami hyperthymesia berbanding dengan orang biasa.
Satu kajian mendalam telah mendapati bahawa individu dengan hyperthymesia mungkin mempunyai kecenderungan untuk lebih terserap dan tenggelam dalam pengalaman harian mereka. Mereka juga cenderung untuk memiliki imaginasi yang kuat dan kreatif. Penulis kajian tersebut mencadangkan bahawa kecenderungan ini membolehkan individu hyperthymesia memberikan lebih banyak perhatian terhadap peristiwa dalam kehidupan mereka. Kedua-dua faktor ini secara langsung membantu dalam mengukuhkan ingatan terhadap sesuatu peristiwa.
Para ahli psikologi turut membuat spekulasi bahawa hyperthymesia mungkin mempunyai kaitan dengan kecelaruan obsesif–kompulsif. Mereka telah mencadangkan bahawa individu hyperthymesia berkemungkinan menghabiskan lebih banyak masa mengingati dan merenung peristiwa daripada kehidupan mereka secara berulang kali.
Walaupun hyperthymesia mungkin kelihatan seperti kemahiran yang luar biasa dan istimewa untuk dimiliki, para penyelidik telah mendapati bahawa keadaan ini juga mempunyai aspek negatifnya. Memandangkan memori terhadap kenangan individu tersebut terlalu kuat dan jelas, mereka akan sentiasa mengingati peristiwa negatif pada masa lalu yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan kesejahteraan emosi mereka pada masa ini.
Namun begitu, hyperthymesia juga boleh memberikan kesan yang positif kerana menggalakkan seseorang melakukan perkara yang disukai ramai seperti mengatur kejutan pada hari lahir, membuat persiapan bagi meraikan hari istimewa dan sebagainya dengan lebih terperinci dan bermakna.
Walaupun keupayaan ingatan seseorang tidak dapat dikembangkan sehingga mencapai tahap hyperthymesia, memandangkan keadaan ini hanya wujud pada sebilangan kecil individu tertentu sahaja, terdapat banyak langkah yang dapat dilakukan untuk meningkatkan memori terhadap sesebuah kenangan. Antaranya termasuklah melalui latihan kognitif yang konsisten, mendapatkan tidur yang mencukupi dan mengulangi perkara yang ingin diingati secara berkala.
Yang paling utama, kewujudan hyperthymesia dalam kalangan sesetengah individu menunjukkan bahawa keupayaan memori manusia sebenarnya jauh lebih luas dan mendalam daripada sesuatu yang kita fikirkan selama ini. Fenomena ini juga membuka ruang kepada penyelidikan yang lebih mendalam tentang keupayaan otak manusia yang masih belum diteroka sepenuhnya.
Ts Mudiana Mokhsin @ Misron,
Pensyarah Kanan,
Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik,
Universiti Teknologi MARA.