Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Malaysia bertuah kerana dikurniakan kekayaan alam semula jadi yang luar biasa seperti kawasan hutan simpan yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna. Antara khazanah alam yang bernilai tinggi ini termasuklah taman ekorimba yang berperanan sebagai kawasan rekreasi dan pusat pemuliharaan biodiversiti serta pendidikan alam sekitar bagi masyarakat.

Taman ekorimba diklasifikasikan berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuklah keunikan ekosistem hutan, kehadiran spesies flora dan fauna yang terancam serta potensinya sebagai lokasi aktiviti pendidikan dan rekreasi. Kepentingan taman ini bukan sekadar untuk pelancongan semata-mata, malah memainkan peranan penting dalam usaha pemeliharaan alam sekitar dan keseimbangan ekologi.

Malaysia memiliki lebih daripada 50 taman ekorimba di seluruh negara dan setiap negeri mempunyai kawasan hutan simpan tersendiri yang kaya dengan keistimewaan yang tersendiri. Antara taman ekorimba yang terkenal di negara ini termasuklah:

  • Taman Eko Rimba Kledang Saiong (Perak)
  • Taman Eko Rimba Kanching (Selangor)
  • Taman Eko Rimba Lentang (Pahang)
  • Taman Eko Rimba Bukit Wang (Kedah)
  • Taman Eko Rimba Kawang (Sabah)
  • Taman Eko Rimba Gunung Gading (Sarawak)

Selain itu, negeri lain seperti Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan turut memiliki taman ekorimba yang tidak kurang menariknya. Contohnya, Taman Eko Rimba Sungai Udang di Melaka dan Taman Eko Rimba Gunung Ledang di Johor yang masing-masing menawarkan pengalaman alam semula jadi yang tersendiri serta menjadi destinasi pilihan pengunjung yang ingin mendekati keindahan hutan hujan tropika.

Bagi memastikan kelestarian taman ekorimba, pengurusan dan penyelenggaraan kawasan ini berada di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri di setiap negeri. Pada peringkat nasional, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memainkan peranan penting dalam menyelaraskan dasar pemuliharaan serta memperkenalkan inisiatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan hutan.

Di Sabah dan Sarawak pula, tanggungjawab ini dipikul oleh Jabatan Perhutanan Sabah dan Sarawak yang berusaha memastikan hutan tropika di kawasan tersebut terus terpelihara melalui pelbagai langkah konservasi dan pengurusan yang mampan. Kerjasama erat antara agensi juga amat penting dalam memastikan ekosistem hutan kekal lestari serta dapat terus memberikan manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Berkeluasan lebih daripada 18.3 juta hektar hutan yang dilindungi di seluruh Malaysia, selain menjadi destinasi rekreasi, taman ekorimba melambangkan komitmen negara dalam memelihara khazanah alam semula jadi. Taman ini turut berperanan sebagai pusat pendidikan alam sekitar yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk memahami dengan lebih mendalam tentang kepentingan ekosistem hutan tropika.

Selain itu, taman ekorimba berfungsi sebagai lokasi strategik bagi pelbagai aktiviti seperti riadah, pembelajaran dan penyelidikan. Kepelbagaian peranannya menjadikan taman ekorimba sebagai elemen yang penting dalam usaha pemuliharaan biodiversiti serta pendidikan ekosistem semula jadi, sekali gus mengukuhkan peranan hutan sebagai aset berharga negara yang perlu dilindungi untuk generasi akan datang.

Tarikan Menarik di Taman Ekorimba

Setiap taman ekorimba di Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri dan sebagai destinasi yang menarik bagi pencinta alam dan penggemar aktiviti luar. Keistimewaan setiap lokasi juga memberikan pengalaman yang berbeza, bergantung kepada landskap, flora dan fauna yang terdapat di kawasan tersebut.

Di Perak, Taman Eko Rimba Kledang Saiong menjadi pilihan utama bagi peminat aktiviti mendaki kerana laluan pendakiannya yang mencabar. Selain itu, kawasan ini turut menyediakan ruang berkelah yang sesuai untuk keluarga yang ingin menikmati keindahan alam dalam suasana yang nyaman.

Di Selangor, Taman Eko Rimba Kanching memukau pengunjung dengan air terjun tujuh tingkatnya dan menjadikan lokasi ini ideal untuk aktiviti mandi-manda, berkelah dan mendaki. Keindahan air terjunnya yang bertingkat-tingkat menjadikan taman ini antara destinasi rekreasi yang paling popular di negeri tersebut.

Di Pahang, Taman Eko Rimba Lentang terkenal dengan laluan mendaki yang menarik serta peluang untuk memerhatikan pelbagai spesies burung yang jarang-jarang ditemukan. Keindahan flora dan fauna di kawasan ini menjadikan lokasi kegemaran bagi para pengkaji alam serta pencinta burung.

Bagi mereka yang berkunjung ke Sabah, Taman Eko Rimba Kawang yang menjadi habitat semula jadi pelbagai spesies orkid liar yang sukar ditemukan di tempat lain menjadikan taman ini sebagai tarikan utama bagi peminat botani dan pencinta alam. Di Sarawak pula, Taman Eko Rimba Gunung Gading menjadi destinasi wajib dikunjungi kerana kehadiran bunga Rafflesia, tumbuhan parasit terbesar di dunia yang hanya berkembang dalam tempoh tertentu. Selain itu, ekosistem serangga di kawasan ini menjadikan taman tersebut sebagai tempat yang ideal bagi mereka yang ingin meneroka biodiversiti hutan hujan tropika.

Aktiviti Menyeronokkan di Taman Ekorimba

Taman ekorimba menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk pelawat dari semua peringkat umur. Bagi pencinta aktiviti lasak, mendaki menjadi pilihan utama kerana terdapat laluan pada pelbagai tahap kesukaran yang sesuai untuk semua peringkat kecergasan. Sepanjang perjalanan, pengunjung akan disajikan dengan pemandangan hutan hujan tropika yang memukau.

Bagi mereka yang gemar bersantai, mandi-manda dan berkelah di sungai jernih yang mengalir di dalam kawasan taman merupakan aktiviti yang tidak boleh dilepaskan. Suasana yang tenang serta air sungai yang sejuk memberikan ketenangan dan kelegaan daripada kesibukan kehidupan seharian.

Bagi peminat fotografi alam, taman ekorimba merupakan lokasi terbaik untuk merakamkan keindahan flora dan fauna dalam habitat semula jadi. Daripada bunga eksotik sehinggalah kepada hidupan liar yang istimewa, setiap sudut taman ini memberikan peluang yang luar biasa untuk menghasilkan gambar yang menarik.

Selain itu, program pendidikan dan penerokaan alam turut dianjurkan untuk pelajar, keluarga dan pencinta alam. Program ini memberikan peluang kepada pelawat untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai pemeliharaan hutan tropika serta kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem.

Larangan untuk Menjaga Keindahan Taman

Bagi memastikan keindahan dan kelestarian taman ekorimba terus terpelihara, setiap pengunjung perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Antara larangan utama yang perlu dipatuhi termasuklah:

  • Dilarang memetik tumbuhan atau bunga – Tindakan ini boleh mengancam spesies tumbuhan tertentu dan mengganggu keseimbangan ekosistem semula jadi.
  • Tidak mengganggu hidupan liar – Memburu, memerangkap atau mengusik haiwan ialah perbuatan yang menyalahi undang-undang serta boleh menjejaskan kesejahteraan habitat semula jadi.
  • Membuang sampah pada tempatnya – Pencemaran akibat sampah yang dibuang merata-rata boleh merosakkan keindahan alam serta menjejaskan kehidupan flora dan fauna di kawasan taman.
  • Dilarang membuat api terbuka – Aktiviti ini berisiko tinggi menyebabkan kebakaran hutan, terutamanya pada musim kering yang boleh memberikan kesan buruk kepada ekosistem hutan.

Kebaikan Melawat Taman Ekorimba

1. Meningkatkan kesihatan fizikal dan mental
Meluangkan masa di persekitaran hijau yang segar terbukti dapat membantu mengurangkan tekanan, meningkatkan kesejahteraan mental serta memberikan kesan positif kepada kesihatan fizikal. Udara bersih, suasana yang tenang dan pemandangan semula jadi yang indah memberikan ketenangan dan kelegaan daripada kesibukan kehidupan seharian. Kajian juga menunjukkan bahawa berada di kawasan hijau boleh meningkatkan daya tumpuan, kreativiti dan keseimbangan emosi.

2. Kesedaran terhadap pemuliharaan alam
Pengalaman secara langsung di taman ekorimba memberikan kesedaran yang mendalam tentang kepentingan memelihara biodiversiti. Pelawat dapat memahami peranan ekosistem hutan dalam keseimbangan alam apabila menyaksikan sendiri keindahan serta kepelbagaian flora dan fauna. Pendidikan alam sekitar yang diperoleh di taman ini juga membantu meningkatkan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk menjaga alam semula jadi agar kekal terpelihara.

3. Menyokong ekonomi tempatan
Setiap kunjungan ke taman ekorimba turut memberikan manfaat kepada komuniti setempat. Bayaran tiket masuk, penyewaan kemudahan serta pembelian hasil kraftangan tempatan membantu menjanakan pendapatan penduduk sekitar. Selain itu, sektor ekopelancongan ini juga menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih mampan.

4. Menggalakkan aktiviti rekreasi yang bermakna
Taman ekorimba menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi yang menyeronokkan dan memberikan manfaat kepada badan serta minda. Antara aktiviti popular yang boleh dilakukan adalah seperti:

  • Mendaki – Menguji kecergasan sambil menikmati keindahan alam.
  • Berkelah dan mandi-manda – Menikmati suasana sungai yang jernih dan segar.
  • Memerhati burung – Meneroka pelbagai spesies burung yang unik dan sukar ditemukan.
  • Fotografi alam – Merakam keindahan flora, fauna serta landskap semula jadi.

5. Peranan aktif dalam pemuliharaan alam
Mengunjungi taman ekorimba membolehkan setiap individu memainkan peranan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Setiap lawatan pastinya memberikan impak yang positif seperti menyokong inisiatif pemeliharaan biodiversiti, meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kelestarian alam dan mempromosikan budaya bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pengunjung turut dapat menyumbang dengan mematuhi peraturan taman seperti tidak membuang sampah merata-rata, tidak memetik tumbuhan liar serta tidak mengganggu hidupan liar.

6. Destinasi ideal untuk percutian yang menyegarkan
Sekiranya anda mencari lokasi percutian yang menyegarkan, mendidik dan memberikan manfaat kepada minda serta jiwa, taman ekorimba merupakan pilihan yang tepat. Keindahan alam semula jadinya yang menakjubkan serta pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan menjadikan taman ini sebagai destinasi ideal untuk pengalaman luar biasa yang sukar diperoleh di tempat lain.

 

Azharizan Mohamad Norizan, Nurul Hudaini Mamat dan Nur Syuhadah Isa,
Instutut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Mohd Yussainy Md Yusop,
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi