Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHutan digelar sebagai “paru-paru” dunia kerana sumbangannya yang besar dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem. Selain menyediakan oksigen melalui proses fotosintesis, hutan juga memainkan peranan penting sebagai bank karbon, pengawal iklim serta habitat kepada pelbagai spesies flora, fauna dan mikroorganisma.
Peranan Hutan dalam Ekosistem Global
Hutan memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem global melalui proses fotosintesis. Dalam proses ini, setiap daun menyerap cahaya matahari, karbon dioksida dan air bagi menghasilkan glukosa serta oksigen. Oksigen yang dihasilkan bukan sahaja menyokong kelangsungan hidup semua makhluk di bumi, malah proses ini turut membantu mengurangkan kepekatan karbon dioksida dalam atmosfera. Melalui penyerapan gas rumah hijau, hutan berfungsi sebagai penapis semula jadi yang berupaya mengawal perubahan iklim dan mengurangkan kesan pemanasan global.
Daun pada setiap pokok memainkan peranan yang amat penting dalam menjalankan proses fotosintesis, satu mekanisme asas yang menyokong kelestarian hutan. Dalam proses ini, karbon dioksida yang terdapat dalam atmosfera diserap dan ditukarkan kepada oksigen sebelum dilepaskan ke udara.
Oksigen yang dihasilkan bukan sahaja membolehkan manusia dan hidupan lain bernafas, malah proses ini turut membantu mengurangkan kepekatan karbon dioksida, iaitu gas rumah hijau utama yang menyumbang kepada pemanasan global. Selain itu, fotosintesis juga menyokong keseimbangan ekosistem dengan membekalkan oksigen kepada pelbagai spesies yang bergantung padanya untuk kelangsungan hidup. Jelas di sini bahawa setiap helaian daun memainkan peranan penting dalam ekosistem global, bukan sahaja sebagai pengeluar oksigen tetapi juga sebagai komponen utama dalam rantaian makanan dan keseimbangan alam sekitar.

Hutan Sebagai Bank Karbon
Hutan berfungsi sebagai bank karbon dengan menyimpan sejumlah besar karbon dalam batang, akar, daun dan tanah. Satu daripada peranan utama hutan, khususnya hutan tropika seperti Hutan Hujan Amazon di Brazil dan Hutan Simpan Belum-Temenggor di Malaysia adalah keupayaannya untuk menyerap dan menyimpan karbon dalam jumlah yang signifikan. Karbon yang terkandung dalam ekosistem hutan ini memainkan peranan penting dalam menstabilkan iklim global dengan mengawal keseimbangan karbon di atmosfera.
Selain itu, karbon yang disimpan di dalam tanah dan tumbuhan turut menjadi sumber nutrien penting bagi pertumbuhan pokok dan ekosistem hutan secara menyeluruh. Namun begitu, apabila hutan ditebang atau terbakar, karbon yang tersimpan ini akan terlepas ke atmosfera dalam bentuk karbon dioksida, sekali gus meningkatkan kesan pemanasan global.

Peranan Hutan dalam Kitaran Hidrologi
Selain berperanan dalam fotosintesis dan penyimpanan karbon, hutan turut memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan kitaran hidrologi. Satu daripada fungsi utama hutan adalah untuk mengawal pola hujan dan suhu melalui mekanisme semula jadi yang menyokong kestabilan ekosistem global.
Pokok bersaiz besar di dalam hutan berupaya melepaskan wap air ke atmosfera melalui proses transpirasi dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan awan dan menghasilkan hujan. Proses ini bukan sahaja penting bagi mengekalkan iklim tropika, malah turut mempengaruhi kawasan luar tropika yang bergantung pada aliran udara global. Selain itu, hutan membantu mengekalkan kelembapan tanah, mengurangkan kadar hakisan serta memastikan bekalan air yang berterusan kepada komuniti dan biodiversiti setempat.
Kehilangan kawasan hutan dalam skala besar juga boleh menyebabkan gangguan kepada kitaran hidrologi, sekali gus menyebabkan perubahan iklim mikro tempatan. Apabila kelembapan atmosfera berkurangan akibat penebangan hutan, jumlah hujan yang turun juga akan menurun. Keadaan ini boleh mengakibatkan fenomena kemarau yang memberikan kesan negatif kepada sektor pertanian, sumber air bersih dan kehidupan manusia secara keseluruhan.

Hutan Sebagai Pelindung daripada Perubahan Iklim
Hutan memainkan peranan penting sebagai penampan semula jadi terhadap kesan rumah hijau. Fungsi ini menjadikan hutan sebagai satu daripada komponen utama dalam usaha menangani perubahan iklim global. Keupayaannya yang menyerap karbon dioksida dari atmosfera melalui proses fotosintesis, hutan membantu mengawal dan mengurangkan kepekatan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.
Selain itu, hutan juga menghasilkan oksigen yang menyokong keseimbangan atmosfera, sekali gus memastikan kelangsungan hidup pelbagai spesies. Keupayaan hutan dalam menstabilkan iklim dan mengurangkan kesan perubahan iklim menegaskan kepentingan usaha pemuliharaan serta pengurusan hutan secara lestari. Tanpa perlindungan dan pemeliharaan yang mencukupi, kehilangan kawasan hutan boleh mempercepat kesan perubahan iklim, termasuklah peningkatan suhu global, perubahan pola cuaca dan bencana alam yang lebih kerap berlaku.

Perlindungan Biodiversiti
Hutan merupakan habitat semula jadi bagi jutaan spesies flora, fauna dan mikroorganisma yang membentuk ekosistem yang kompleks dan seimbang. Kepelbagaian biologi atau biodiversiti ini bukan sekadar khazanah alam yang tidak ternilai, malahmemainkan peranan yang kritikal dalam memastikan kestabilan ekosistem. Proses ekologi seperti pemecahan bahan organik, penyebaran biji benih dan kawalan semula jadi terhadap populasi spesies juga bergantung sepenuhnya pada keseimbangan biodiversiti yang wujud dalam hutan.
Kehadiran biodiversiti yang tinggi meningkatkan daya tahan ekosistem terhadap perubahan persekitaran, menjadikan hutan lebih kukuh dalam menghadapi cabaran alam sekitar seperti perubahan iklim dan bencana semula jadi. Justeru, kesedaran mengenai hubungan simbiotik antara ekosistem hutan, hidupan liar dan sumber air perlu diperkukuh melalui usaha pendidikan dan advokasi yang berterusan.
Sekiranya ekosistem hutan mengalami kemusnahan akibat pembalakan tidak terkawal, penebangan hutan atau pembangunan yang tidak lestari, impaknya akan turut menjejaskan kelangsungan hidupan liar serta bekalan air bersih. Oleh itu, perlindungan hutan perlu menjadi keutamaan dalam dasar pemuliharaan alam sekitar bagi menjamin kesejahteraan generasi kini dan akan datang.

Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai beberapa hutan yang memiliki biodiversiti tertinggi di dunia. Antara hutan yang memainkan peranan penting dalam pemeliharaan biodiversiti termasuklah Hutan Simpan Diraja Belum di Perak dan Hutan Paya Gambut di Selangor. Selain menjadi habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna, hutan ini turut berfungsi sebagai benteng semula jadi yang melindungi komuniti daripada bencana alam seperti banjir, kebakaran hutan dan tanah runtuh.
Dalam usaha memastikan kelestarian hutan negara, Malaysia telah melaksanakan pelbagai projek pemuliharaan dan pemulihan seperti Central Forest Spine (CFS) dan Heart of Borneo (HoB). Inisiatif ini mencerminkan komitmen negara dalam melindungi kawasan hutan yang semakin terancam akibat aktiviti pembangunan dan eksploitasi sumber semula jadi.
Ancaman terhadap Kelestarian Hutan
Meskipun hutan memberikan pelbagai manfaat kepada bumi, kelestariannya kini semakin terancam akibat pelbagai faktor yang berpunca daripada aktiviti manusia dan perubahan iklim. Antara ancaman utama tersebut termasuklah penebangan hutan untuk tujuan pertanian, pembalakan dan pembangunan infrastruktur.
Aktiviti ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan habitat penting bagi banyak spesies, malah turut mengurangkan keupayaan hutan dalam menyerap karbon serta menstabilkan ekosistem. Selain itu, penebangan hutan yang tidak terkawal melepaskan karbon yang tersimpan di dalam tanah dan pokok ke atmosfera, sekali gus menyumbang kepada pemanasan global.
Kebakaran hutan pula menjadi ancaman serius, sama ada disebabkan oleh perubahan iklim atau tindakan manusia seperti pembakaran terbuka. Kebakaran ini bukan sahaja merosakkan keseluruhan ekosistem dalam tempoh singkat, malah menyumbang kepada pelepasan karbon yang besar, meningkatkan tahap pencemaran udara dan memberikan kesan kepada kesihatan manusia.
Selain itu, penukaran guna tanah daripada hutan kepada kawasan pertanian atau perbandaran mengganggu keseimbangan ekosistem. Perubahan ini mengurangkan keupayaan hutan dalam menyerap karbon, sekali gus mempercepat perubahan iklim. Dalam jangka panjang, kemusnahan hutan turut meningkatkan risiko bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh yang boleh memberikan kesan buruk kepada komuniti setempat dan ekonomi negara.

Usaha Pemuliharaan: Program Penghijauan Malaysia
Pada setiap tahun, berjuta-juta hektar hutan dimusnahkan akibat aktiviti pertanian, pembalakan dan pembangunan yang menyebabkan kemerosotan ekosistem yang ketara. Kehilangan hutan ini bukan sahaja mengurangkan keupayaannya dalam menyerap karbon, malah turut memusnahkan habitat semula jadi bagi pelbagai spesies flora dan fauna. Akibatnya, kadar kepupusan spesies meningkat, manakala perkhidmatan ekosistem yang disediakan oleh hutan seperti penapisan udara, penyimpanan air dan kestabilan tanah semakin berkurangan.
Menyedari akan ancaman ini, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Kempen yang bermula pada tahun 2021 dan dijangka selesai pada tahun 2025 ini bertujuan untuk menanam 100 juta pokok sebagai usaha menggantikan pokok yang telah ditebang serta memperkukuh kelestarian hutan negara. Inisiatif ini juga merupakan bukti komitmen kerajaan dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara dilitupi hutan seperti yang telah dijanjikan dalam pelbagai forum antarabangsa.

Kebakaran Hutan: Ancaman Terhadap Ekosistem dan Iklim Global
Kebakaran hutan merupakan antara ancaman terbesar terhadap kelestarian ekosistem, sama ada berpunca daripada perubahan iklim atau aktiviti manusia. Kebakaran ini bukan sahaja menyebabkan kemusnahan besar terhadap flora dan fauna, malah turut menyumbang kepada pelepasan karbon dalam jumlah yang tinggi.
Sebagai contoh, kebakaran hutan berskala besar yang berlaku di California, Amerika Syarikat, baru-baru ini telah memusnahkan ribuan hektar kawasan hutan dan mengakibatkan pelepasan karbon yang besar ke atmosfera. Keadaan ini memburukkan lagi krisis iklim global dengan meningkatkan suhu bumi dan mengganggu keseimbangan ekosistem.
Di Malaysia dan Asia Tenggara, kebakaran hutan paya gambut menjadi antara cabaran utama yang memerlukan tindakan pencegahan segera. Kebakaran di kawasan ini sering berlaku akibat aktiviti pertanian yang tidak terkawal seperti pembakaran terbuka untuk pembersihan tanah. Keadaan ini juga mewujudkan konflik merentasi sempadan apabila negara jiran terjejas akibat pencemaran udara dan fenomena jerebu yang serius.
Selain menjejaskan kualiti udara dan kesihatan manusia, kebakaran hutan turut menyebabkan kehilangan habitat bagi pelbagai spesies hidupan liar. Kehilangan ini boleh menyebabkan kepupusan spesies tertentu serta ketidakseimbangan ekosistem yang sukar dipulihkan.

Pembangunan yang Tidak Terkawal: Ancaman kepada Kelestarian Hutan
Pembangunan infrastruktur yang tidak terkawal dan kurang terancang telah memberi kesan ketara terhadap ekosistem hutan. Aktiviti seperti pembinaan jalan raya, perumahan, perindustrian dan ladang komersial telah mengurangkan keluasan hutan secara drastik, sekali gus menjejaskan keupayaan hutan dalam menyerap karbon secara semula jadi serta menyediakan habitat bagi pelbagai spesies flora dan fauna.

Perubahan Kegunaan Tanah Ancaman kepada Keseimbangan Ekosistem
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hutan hujan tropika di Asia Tenggara telah mengalami proses penyahhutanan dan penukaran guna tanah yang pesat. Perubahan ini berlaku akibat pertambahan populasi dan keperluan ekonomi yang semakin meningkat dan mendorong aktiviti seperti pembukaan tanah untuk pertanian, pembangunan perbandaran serta pembinaan infrastruktur. Walaupun pembangunan ini memenuhi keperluan manusia, tindakan ini memberikan kesan yang besar terhadap alam sekitar dengan mengganggu kestabilan ekosistem semula jadi serta menjejaskan kehidupan flora dan fauna.
Apabila kawasan hutan ditukar menjadi ladang pertanian, kawasan perumahan atau bandar, kualiti tanah dan air terjejas secara langsung. Penebangan pokok menyebabkan struktur tanah menjadi longgar dan lebih mudah terhakis oleh air hujan. Hakisan tanah ini juga membawa lumpur dan bahan pencemar ke dalam sungai serta tasik dan seterusnya mengganggu sistem pengairan serta habitat akuatik.
Lebih membimbangkan, perubahan guna tanah yang tidak terkawal boleh mencetuskan bencana alam seperti banjir. Apabila hutan yang berfungsi sebagai penyerap air hujan ditebang, air hujan mengalir tanpa halangan ke kawasan rendah dan meningkatkan risiko banjir yang boleh memberikan kesan buruk kepada penduduk setempat dan ekonomi negara.

Penggunaan Teknologi dan Inovasi Moden dalam Pengurusan Hutan
Dalam usaha menangani pelbagai cabaran yang mengancam kelestarian hutan, teknologi dan inovasi moden telah dimanfaatkan secara meluas dalam pengurusan hutan. Penggunaan satelit dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) membolehkan penyelidik serta pengurus hutan memantau perubahan guna tanah, penyahhutanan dan kejadian kebakaran pada masa nyata. Teknologi dron pula digunakan bagi mendapatkan gambaran terkini tentang keadaan hutan dan memudahkan pengawasan kawasan yang sukar diakses.
Selain itu, usaha pemulihan hutan turut diperkukuh dengan teknik penghutanan semula yang menggunakan biji benih berkualiti tinggi serta amalan perhutanan tani untuk mempercepat proses pemulihan kawasan hutan yang telah terjejas. Integrasi sistem pengurusan digital dalam konsep “hutan pintar” menunjukkan potensi besar dalam meningkatkan keberkesanan pemantauan dan pengurusan hutan secara menyeluruh.
Selain teknologi, pelibatan masyarakat dan pendidikan alam sekitar memainkan peranan yang tidak kurang penting dalam usaha pemuliharaan hutan. Program pendidikan alam sekitar di sekolah serta lawatan sambil belajar ke kawasan hutan membantu meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan hutan dan tanggungjawab terhadap kelestariannya.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga giat melaksanakan kempen advokasi dan program kesedaran untuk menarik sokongan orang ramai dalam usaha pemuliharaan hutan. Dengan menanamkan kesedaran sejak awal, sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar dapat dipupuk dalam masyarakat, sekali gus memastikan kelangsungan usaha pemuliharaan untuk masa hadapan.
Melangkah ke hadapan, penggunaan kecerdasan buatan, sistem penderia dan aplikasi mudah alih dijangka akan meningkatkan kualiti pemantauan serta pengawalan kawasan hutan. Kerjasama antarabangsa dalam pertukaran teknologi, ilmu pengetahuan dan dana merupakan aspek penting dalam mengukuhkan dasar pengurusan hutan secara lestari.
Selain itu, usaha untuk memupuk ekonomi hijau melalui pembangunan lestari dan ekopelancongan di kawasan hutan dapat membuka peluang ekonomi baharu bagi komuniti setempat. Dengan pendekatan ini, hutan bukan sahaja dapat dipelihara sebagai khazanah semula jadi tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi rakyat, sekali gus mengukuhkan komitmen global terhadap kelestarian alam sekitar.
Secara keseluruhan, hutan memainkan peranan yang amat penting dalam mengekalkan keseimbangan alam, khususnya melalui proses fotosintesis, penyimpanan karbon dan pengurusan kitaran hidrologi. Selain itu, kepelbagaian biodiversiti yang wujud di dalam hutan memastikan ekosistem kekal stabil dan berdaya tahan terhadap perubahan persekitaran.
Namun demikian, pelbagai ancaman seperti penebangan hutan secara tidak terkawal, kebakaran hutan dan pembangunan yang pesat terus memberikan tekanan kepada kelangsungan ekosistem ini. Oleh itu, tindakan segera serta kerjasama bersepadu daripada semua pihak, termasuklah kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat amat diperlukan untuk memastikan kelestarian hutan.
Penerapan teknologi moden seperti pemantauan satelit, penggunaan dron dan sistem hutan pintar membolehkan pengurusan hutan dapat diperkasakan dengan lebih cekap. Pada masa yang sama, pelibatan aktif masyarakat melalui pendidikan alam sekitar dan kempen kesedaran juga memainkan peranan penting dalam menanamkan rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan hutan.
Azian Mohti (Pegawai Penyelidik), Mohd Rizal Mohd Kassim (Penolong Pegawai Penyelidik), Nur ‘Arif Mohd Tarmudi, Muhammad Farish Daniel Shamsul Imran dan Nurafiqah Nabilah Sarippudin,
Perubahan Iklim Perhutanan,
Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar,
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).