Diterbitkan pada 12 Mac 2025, 13:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ramadan merupakan bulan yang menyaksikan perubahan yang signifikan dalam tingkah laku pengguna, khususnya dari segi pemakanan dan pembelian. Sepanjang bulan ini juga, bazar Ramadan dan bufet di hotel menawarkan pelbagai jenis juadah yang bukan sahaja menarik selera, malah mendorong peningkatan kekerapan serta jumlah pembelian makanan.

Kemeriahan ini juga menyaksikan lonjakan yang ketara dalam pola perbelanjaan pengguna. Namun begitu, adakah orang ramai menyedari bahawa perubahan ini berpotensi menimbulkan beberapa permasalahan yang berkaitan dengan pembaziran makanan dan kesan negatif kepada kesihatan akibat pola pemakanan yang tidak terkawal?

Menyedari permintaan yang tinggi sepanjang bulan ini, hotel dan restoran pula mengambil peluang dengan menerapkan strategi pemasaran psikologi bagi menarik lebih banyak pelanggan ke bufet Ramadan yang diusahakan. Antara kaedah yang digunakan termasuklah konsep tempah awal dan menu masa terhad bagi mencetuskan keinginan pelanggan untuk membuat tempahan lebih awal. Tindakan ini juga meningkatkan jumlah tempahan dan keuntungan mereka.

Selain tawaran eksklusif dan promosi tempahan awal, strategi pemasaran ini turut diperkukuh dengan pengaruh selebriti serta pempengaruh media sosial yang memainkan peranan penting dalam menarik perhatian pengguna. Ulasan dan video mereka mengenai pengalaman berbuka puasa sering kali menjadi tular, sekali gus meningkatkan daya tarikan sesuatu lokasi makanan atau restoran yang dipromosikan.

Bukan sekadar daya tarikan promosi, pemasaran digital juga mencetuskan fenomena takut ketinggalan atau fear of missing out (FOMO) dalam kalangan pengguna. Dorongan psikologi ini menyebabkan banyak individu membeli makanan dalam jumlah yang berlebihan kerana takut kehabisan, walaupun pada akhirnya mereka tidak mampu menghabiskannya.

Bazar Ramadan: Tawaran Hebat, Pilihan Bijak

Bazar Ramadan sering menjadi tumpuan utama sepanjang bulan ini kerana menawarkan pelbagai juadah yang menggugah selera serta didukung oleh strategi pemasaran yang berkesan. Penggunaan platform media sosial seperti Instagram dan TikTok turut memainkan peranan penting dalam mempopularkan makanan tertentu, lalu menjadikannya tular dan mendorong pengguna untuk membeli dalam jumlah yang lebih banyak, kadangkala melebihi keperluan sebenar.

Namun begitu, di sebalik kemeriahan ini, fenomena pembelian berlebihan sering kali menyebabkan pembaziran makanan yang serius. Dianggarkan antara 30 peratus hingga 40 peratus makanan yang dibeli di bazar akhirnya dibuang. Situasi ini bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada ekonomi dan alam sekitar, malah menggambarkan kurangnya kesedaran pengguna terhadap kepenggunaan yang berhemah.

Lebih memburukkan keadaan, harga makanan di bazar turut mengalami kenaikan saban tahun. Permintaan yang tinggi sering kali dimanipulasi oleh segelintir peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga. Hal ini memberikan cabaran kepada pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang ingin menikmati juadah berbuka tanpa menambah beban kepada kewangan mereka.

Dilema Bufet Ramadan: Kelazatan atau Pembaziran?

Dalam era kemodenan ini, bufet Ramadan di hotel terkenal sememangnya menjanjikan pengalaman yang mewah melalui konsep “makan sepuasnya” yang sering dipromosikan dengan diskaun untuk tempahan awal, pakej berkumpulan dan kerjasama dengan selebriti. Namun demikian, konsep ini turut menyebabkan isu pembaziran yang ketara. Kajian mendapati bahawa lebih daripada 20 peratus makanan menjadi sisa dan situasi ini semestinya bercanggah dengan nilai semangat Ramadan.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang menyatakan bahawa pembaziran makanan meningkat sebanyak 15 peratus hingga 20 peratus sepanjang bulan Ramadan. Walaupun bufet Ramadan menjadi pilihan utama bagi golongan berpendapatan tinggi yang berhadapan dengan kekangan masa, konsep makan sepuasnya ini menimbulkan masalah lain.

Kecenderungan untuk mengambil makanan melebihi keperluan bukan sahaja mengakibatkan pembaziran, malah memberikan impak yang negatif terhadap kesihatan. Pilihan makanan yang sering kaya dengan lemak dan gula yang disajikan dapat meningkatkan risiko gangguan pencernaan dan peningkatan kadar gula dalam darah selepas berbuka. Sikap seperti “saya telah membayar, maka saya berhak makan sebanyak mungkin” juga mengakibatkan pengguna mengambil lebih daripada yang mereka mampu makan.

Pembelian Berlebihan Tetapi Tidak Dimakan: Pendekatan Sains Kesihatan

Dari perspektif sains kesihatan, tabiat membeli makanan secara berlebihan tetapi tidak menghabiskannya dapat dijelaskan melalui mekanisme psikologi dan fisiologi manusia yang kompleks. Hormon ghrelin yang dikenali sebagai hormon kelaparan akan meningkat semasa berpuasa, sekali gus meningkatkan keinginan untuk membeli makanan dalam kuantiti yang banyak. Namun demikian, ketika berbuka, hormon leptin yang menghantar isyarat kenyang kepada otak berfungsi, lalu membuatkan individu cepat berasa penuh dan meninggalkan sebahagian besar makanan yang dibeli tanpa disentuh.

Pengambilan makanan secara berlebihan dalam tempoh yang singkat ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah pencernaan seperti kembung perut, refluks asid dan peningkatan mendadak kadar gula dalam darah. Kajian juga telah mendapati bahawa pengambilan makanan manis yang tinggi selepas berbuka boleh menyebabkan lonjakan insulin yang drastik yang boleh menyumbang kepada risiko diabetes dalam tempoh jangka panjang. Selain itu, pengambilan makanan yang tinggi lemak dan minyak boleh menyebabkan gangguan metabolik dan peningkatan berat badan jika berlaku secara berlebihan sepanjang Ramadan.

Dari segi psikologi, fenomena “mata lebih besar daripada perut” sering berlaku apabila individu cenderung membuat keputusan pembelian berdasarkan keinginan segera dan bukannya keperluan sebenar. Hal ini juga diperburuk oleh strategi pemasaran yang licik seperti penggunaan gambar makanan yang sangat menggoda, tawaran diskaun masa terhad dan testimoni pelanggan yang memanipulasikan emosi pembeli.

Saranan Mengurangkan Pembaziran dan Implikasi Kesihatan

Pendidikan kesedaran pengguna memainkan peranan yang penting dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan, khususnya semasa bulan Ramadan. Kempen kesedaran yang dilaksanakan melalui media sosial dan platform digital dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang pentingnya pembelian yang berhemah serta amalan pemakanan yang sihat. Organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh memperkenalkan inisiatif seperti “Beli Apa yang Anda Mampu Makan” yang menggalakkan individu untuk membeli makanan mengikut keperluan sebenar mereka.

Pakar pemakanan turut menegaskan bahawa makan secara berlebihan selepas tempoh berpuasa boleh memberikan tekanan kepada sistem pencernaan. Sebagai contoh, mantan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah telah mencadangkan penggunaan konsep suku-suku-separuh untuk memastikan pengambilan makanan yang seimbang dan mengurangkan pembaziran makanan.

Dari segi strategi pemasaran, peniaga dan hotel pula boleh mengambil langkah yang proaktif dengan menawarkan saiz hidangan yang lebih kecil dan sistem pesanan yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan. Sebagai contoh, restoran boleh menggunakan konsep bufet yang bermaksud pelanggan hanya membayar berdasarkan jumlah makanan yang diambil. Usaha ini akan mengalakkan pengguna untuk lebih berhati-hati dalam pengambilan makanan mereka.

Menurut kajian oleh Dr. Brian Wansink, pengguna cenderung mengambil makanan dengan lebih banyak apabila hidangan yang disajikan adalah besar dan tidak menyedari tentang jumlah sebenar yang dimakan. Oleh itu, pendekatan yang membolehkan pengguna mengawal jumlah makanan yang diambil tidak hanya membantu mengurangkan pembaziran, malah mendukung amalan pemakanan yang lebih sihat.

Pengurusan Sisa Makanan: Langkah Penting dalam Memerangi Pembaziran

Pengurusan sisa makanan merupakan satu daripada langkah penting dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan. Hotel dan peniaga mempunyai peluang untuk memberikan sumbangan dengan mendermakan lebihan makanan kepada golongan yang memerlukan melalui kerjasama dengan makanan atau NGO. Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih daripada 800 juta orang di seluruh dunia masih mengalami kelaparan. Sementara itu, di Malaysia, hampir 3000 tan makanan yang masih boleh dimakan dibuang pada setiap hari.

Di samping itu, kepentingan pemakanan sihat tidak boleh dipandang ringan kerana memberikan manfaat yang besar kepada kesihatan fizikal dan mental. Diet yang seimbang yang kaya dengan serat, protein dan nutrien penting dapat membantu mengekalkan berat badan yang ideal dan mengurangkan risiko penyakit kronik. Pemakanan yang baik juga dikaitkan dengan peningkatan kesejahteraan mental dan dapat mengurangkan tekanan.

Teknologi moden turut menawarkan penyelesaian yang canggih dalam memantau dan mengurangkan pembaziran makanan. Aplikasi mudah alih yang dapat mengesan jumlah makanan yang dibuang dan teknologi kecerdasan buatan yang menganalisis corak pembaziran boleh membantu mencadangkan strategi yang lebih efektif untuk mengurangkan pembaziran. Laporan masa nyata pula memungkinkan pengguna dan peniaga untuk merancang pembelian serta pengambilan makanan dengan lebih bertanggungjawab dan seterusnya membantu mengurangkan pembaziran makanan dengan lebih berkesan.

Secara keseluruhannya, trend perilaku pengguna dan strategi pemasaran sepanjang bulan Ramadan mencerminkan budaya penggunaan yang meluas, selain terkait dengan isu pembaziran makanan dan implikasi kesihatan. Oleh itu, amat penting untuk mencipta keseimbangan antara menikmati sajian dengan mengamalkan sikap berhemat dalam pembelian serta pemakanan. Pengambilan pendekatan yang lebih bertanggungjawab juga akan membolehkan masyarakat dapat menghayati Ramadan tidak hanya dari aspek kerohanian, malah melalui amalan yang lebih lestari dan sihat.

Masyarakat pula harus lebih sensitif terhadap pilihan mereka yang perlu dilihat dari sudut ekonomi, kesihatan dan kelestarian alam sekitar. Para peniaga juga harus berperanan dalam menyokong inisiatif pemasaran yang lebih mampan untuk mengurangkan pembaziran dan mempromosikan gaya hidup sihat. Apabila perubahan ini dilaksanakan, maka budaya Ramadan akan lebih selaras dengan prinsip kesederhanaan dan keberkatan yang sebenar.

 

Dr. Nik Syuhailah Nik Hussin, Pensyarah Kanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.

Profesor Madya Ts. Dr. Zuraimi Abdul Aziz, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi